PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Jumaat, 9 Oktober 2009

Lesen niaga & PBT: Orang nak cari rezeki, apa salahnya!

Oleh Mohd Fuad Razali

BERNAMA semalam melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah memudahkan permohonan lesen berniaga kepada mereka yang mula minat dalam perniagaan. Alasannya, kerajaan tidak mahu rakyat patah hati pada peringkat awal lagi disebabkan kesukaran untuk memohon lesen perniagaan ini.“Kita sudah beritahu PBT supaya keluarkan banyak lessen. Jika 1,000 orang mohon, apa salahnya 1,000 lesen dikeluarkan. Untung dan rugi itu soal lain tetapi kita sudah permudahkan peluang rakyat untuk berniaga,” katanya semasa berucap di majlis Sembang Jaya Usahawan Bersama Pemimpin.

Sebagai usahawan (kalau boleh katalah!), saya mengalu-alukan pengumuman dan arahan ini. Bahkan sejak dahulu lagi saya selalu hairan dengan sikap PBT yang mengehadkan pengeluaran lesen perniagaan, terutama sekali untuk penjaja, peniaga kecil dan peniaga pasar malam. Kehairanan itu timbul kerana beberapa penjaja dan peniaga kecil pernah memberitahu mereka sukar mendapat lesen untuk berniaga.

Jumaat, 2 Oktober 2009

4 strategi kekal kenyang secara sihat

Oleh Mohd Fuad Razali

HARI ini sudah masuk 13 hari bulan Syawal. Suasana raya masih lagi ada. Sana sini, orang masih sibuk mengadakan rumah terbuka. Maklumlah, puasa sebulan. Jadi, raya pun sebulanlah!

Apabila menjelang raya, satu masalah yang selalu timbul adalah makan. Bukan masalah tak cukup makan, tetapi terlebih makan. Jika ada yang boleh mengawal pemakanan sepanjang Ramadan lalu, bila dah menjelang Syawal, belum tentu lagi mampu mengawal nafsu makan.

Khamis, 16 April 2009

Harta lebih berharga daripada kesihatan?

Oleh Mohd Fuad Razali

ADA dua berita dalam akhbar Berita Harian, hari ini, yang menarik perhatian saya. Pertama, berita kematian bekas anggota Askar Wataniah, Mohd Naim Itam Ahmad, 44, mengakhiri penderitaannya selama setahun akibat berat badannya yang melebihi 350 kilogram.

Kedua, kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri bahawa kerajaan akan menimbang secara serius cadangan menghentikan perjalanan bas ekspres tengah malam hingga awal pagi untuk mengelak nahas yang kerap berlaku membabitkan perkhidmatan pengangkutan berkenaan. Antara punca yang selalu dikaitkan dengan nahas bas ekspres itu ialah pemandu mengantuk, keletihan atau tidak produktif.

Sabtu, 11 April 2009

Najib yang saya kenali

Oleh Mohd Fuad Razali

HARI ini, sudah sembilan hari Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Dalam tempoh seminggu saja mengambil alih jawatan berkenaan, Najib telah menyenaraikan barisan kabinetnya. Senarai yang dikeluarkan akhbar pada hari selepas pengumuman kabinet itu, sama seperti yang diumumkan oleh Najib pada petang Khamis lalu, yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen ke seluruh negara. Maknanya, tidak ada nama yang tercicir atau tidak disebutkan sewaktu pengumuman itu.

Saya tidak berhasrat untuk mengulas mengenai barisan kabinet itu, tetapi yang nak saya katakan bahawa begitulah Najib yang saya kenali sewaktu saya bertugas di akhbar Berita Harian dulu. Daripada cara gaya pengumuman yang dibuat Khamis lepas, nampaknya Najib memang masih seorang yang berhati-hati dan teliti.

Khamis, 12 Mac 2009

SPM: Tanpa guru siapalah anak saya!

Oleh Mohd Fuad Razali

HARI ini anak saya menyertai lebih 400,000 bekas pelajar tingkatan lima yang lain, mendapatkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang didudukinya tahun lalu. Alhamdulillah, anak kedua saya itu, mendapat keputusan 10 1A dan 1 2A.

Tahun lalu kami sekeluarga menyaksikan anak saya yang sulung, mendapat keputusan 8A 3B dan muncul sebagai pelajar terbaik SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar, Alor Setar. Saya tidak pasti apakah kali ini anak saya yang belajar di MRSM Pendang itu turut mencatatkan rekod yang sama. Begitu juga saya tidak pasti sama ada beliau mempertahankan rekodnya sebagai pelajar terbaik yang pernah dicatatkannya sewaktu menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2006 yang lalu di maktab yang sama.

Khamis, 19 Februari 2009

7 masalah pembelajaran murid peringkat rendah

Oleh Mohd Fuad Razali

HARI ini saya menghadiri perjumpaan dengan ibu bapa murid-murid Tahun Enam di sebuah sekolah di Alor Merah, Alor Setar, Kedah.

Pihak sekolah mengaturkan pertemuan itu untuk membentangkan kepada ibu bapa mengenai perancangannya bagi mempersiapkan murid-murid Tahun Enam menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Ia juga membolehkan ibu bapa memberi maklum balas dan cadangan berhubung perancangan itu, terutama yang membabitkan masalah pembiayaan.

Isnin, 16 Februari 2009

Belajar main-main, main pun main-main

Oleh Mohd Fuad Razali

SEMALAM saya menghadiri satu ceramah mengenai perjuangan rakyat Palestin yang diadakan di sebuah sekolah di Perlis. Ceramah itu disampaikan oleh Dr Asmarawati Mohamad Yatim, pakar bius Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, yang mengikuti kumpulan kelima Mercy Malaysia yang menyertai misi bantuan perubatan di Gaza, bulan lalu.

Saya tertarik dengan ulasan yang diberikan oleh guru sekolah berkenaan selepas selesai majlis ceramah itu. Guru itu memberi perangsang kepada pelajar-pelajarnya mengenai kepentingan untuk belajar bersungguh-sungguh demi kemajuan dan membela masa depan umat Islam.

Selasa, 10 Februari 2009

Berjalan untuk hidup sihat dan cergas

Oleh Mohd Fuad Razali

KALI ini saya nak kongsi maklumat mengenai kesihatan. Maklumat ini sebenarnya saya peroleh menerusi emel yang saya terima daripada enjin carian Yahoo. Saya tertarik hati juga membacanya. Bendanya nampak remeh dan mudah, tetapi sebenarnya penting untuk kita memastikan sentiasa sihat dan cergas.

Rencana ini menyarankan supaya kita menjadi berjalan sebagai salah satu senaman harian. Saya sebenarnya sekarang ini berjoging. Tak apalah berjoging atau berjalan, mana-mana pun tak apa, asalkan kita bersenam.

Isnin, 2 Februari 2009

IPTA: Pohon kursus sesuai dengan keputusan dan minat

Oleh Mohd Fuad Razali

MENGIKUT iklan yang disiarkan dalam akhbar Berita Minggu, mulai jam 12 tengah hari esok (3 Februari 2009), semua lepasan sekolah yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), boleh mengakses laman web Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengemukakan permohonan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2009/2010 yang akan bermula pertengahan tahun ini.

Khamis, 15 Januari 2009

Pendidikan tonggak kekuatan Yahudi

Oleh Mohd Fuad Razali

SEWAKTU melayari beberapa blog, saya terjumpa satu blog menarik yang menceritakan serba sedikit mengenai siapa orang Yahudi - mengenai kejayaan mereka menguasai pelbagai bidang di dunia ini serta punca utama kejayaan mereka.

Rencana itu sebenarnya sedutan tulisan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan Pakistan, Dr Farrukh Saleem. Mengikut maklumat itu, bagi bilangan Yahudi di dunia ini tidaklah ramai iaitu 14 juta sahaja - 7 juta di Amerika, 5 juta di Asia, 2 juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Katanya, bagi setiap seorang Yahudi ada 100 orang Islam. Tetapi mengapa Yahudi 100 kali lebih berkuasa daripada orang Islam?

Rabu, 14 Januari 2009

e-Buku lonjak pencapaian akademik, selesai masalah beg berat?

Oleh Mohd Fuad Razali

PADA 12 Januari lalu, Bernama Online melaporkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, Kementerian Pelajaran akan mengkaji terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan program e-Buku (e-Book) yang dilancarkan di Terengganu, pada hari berkenaan, sebelum diperluas dalam sistem pendidikan negara. Mengikut laporan itu, Terengganu menjadi negeri perintis program e-Buku yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah.

Ada beberapa fakta dalam laporan berita itu yang menarik perhatian saya:

Isnin, 12 Januari 2009

Gerhana Matahari Separa Pada 26 Jan

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Separa pada kira-kira pukul 4.30 petang pada 26 Jan ini.

Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Gerhana Matahari Anulus akan berlaku pada tarikh itu selama tiga jam 46 minit bermula dari lautan India ke sebelah Barat Indonesia.

Dalam satu kenyataannya, Angkasa berkata fenomena ini berlaku apabila bulan merentas di hadapan matahari, tetapi tidak menutup matahari sepenuhnya kerana saiz ketara bulan adalah lebih kecil daripada matahari.

"Rakyat Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Separa pada kira-kira jam 4.30 petang apabila Bulan mula menyentuh cakera matahari. Keadaan ini dikenali sebagai 'sentuhan pertama' iaitu permulaan Gerhana Matahari Separa.

"Angkasa menjemput orang ramai untuk menyaksikan fenomena itu dengan menyertai program Pencerapan Gerhana Matahari Separa yang dianjurkannya secara percuma mulai pukul 4.30 petang hingga 7 petang pada 26 Jan ini di Planetarium Negara Kuala Lumpur.

Antara aktiviti pada hari berkenaan ialah tayangan filem "SOS Planet" di Teater Angkasa pada 5 petang dan Tayangan Laser "The Legend of the Night Sky".

Orang ramai juga boleh menyaksikan Pameran Gerhana Matahari dan menyertai pelbagai aktiviti lain secara percuma menerusi Program Harian Gerhana Matahari Separa pada 20 hingga 30 Jan ini di tempat yang sama.

Menurutnya, tujuan menganjur program ini adalah untuk memberi pendedahan sekali gus menanam minat terhadap astronomi di kalangan rakyat Malaysia selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Bagi yang tidak berkesempatan untuk ke Planetarium Negara, mereka boleh menyaksikan siaran langsung Gerhana Matahari Separa mulai pukul 4.30 petang hingga 6.30 petang pada 26 Jan melalui laman web www.angkasa.gov.my.-- BERNAMA

Boleh pun kerja lebih efisien!

Oleh Mohd Fuad Razali

SEMALAM anak kedua saya mendaftar di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak. Anak saya yang baru tamat tingkatan lima dan sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu terpilih mengikuti pengajian di universiti berkenaan menerusi program Skim Pelajar Cemerlang Mara-UTP.

Dia akan mengikuti Program Teknologi Asas selama setahun. Jika berjaya menamatkan pengajian dalam program itu, dia akan meneruskan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi pada peringkat ijazah, selama tiga tahun, di universiti yang sama, insya Allah.

Sepanjang empat tahun di UTP itu, pengajiannya akan dibiaya oleh Mara. Terima kasih kepada Mara atas komitmen berterusan terhadap masa depan pendidikan anak-anak Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Saya sekeluarga tiba di UTP kira-kira jam 10 pagi untuk tujuan pendaftaran itu. Pendaftaran pelajar bermula di Bangunan Canselor, bangunan kaca yang dibuat menggunakan konsep terbuka. Cantik sungguh binaannya! Sebelum itu, sebaik kereta kami naiki sampai di balai pengawal, kami disambut sekumpulan pelajar bersama pengawal keselamatan UTP. Seorang fasilitator menghulurkan sebungkus gula-gula sebagai door gift.

Saya tertarik dengan kelancaran proses pendaftaran semalam. Hanya pelajar dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk mendaftar. Ibu bapa pula boleh melihat proses itu dari tempat duduk yang disediakan di dalam dewan. Untuk itu, ibu bapa boleh menaiki tangga di tepi dewan untuk ke tempat duduk berkenaan.

Sebelum memanjat tangga berkenaan, saya bertanya kepada seorang pelajar yang menjadi fasilitator Minggu Aluan Siswa, proses pendaftaran itu mengambil masa berapa lama. "Kira-kira 15 minit," katanya. Selepas itu saya pun membuka langkah memanjat tangga berhampiran pintu masuk ke dalam dewan.

Tidak ramai ibu bapa yang naik ke situ. Mungkin disebabkan terpaksa memanjat tangga. Jika tidak silap ingatan saya, tiga kali pusing juga untuk sampai ke atas. Mungkin sebab itu, ramai lebih suka menunggu di ruang legar.

Ada enam kuanter pendaftaran disediakan di dalam dewan itu. Setiap kaunter mempunyai ramai petugas. Ada kaunter mempunyai tujuh meja - maknanya tujuh petugaslah. Ada juga yang menyediakan lima meja. Pada masa sama, UTP turut menayangkan carta aliran pendaftaran pada skrin di dalam dewan itu.

Saya menjangkakan proses pendaftaran seorang pelajar mengambil masa tidak sampai 15 minit, sebenarnya. Sebab tak sempat pun panas punggung duduk di kerusi dalam dewan berkenaan, saya lihat anak saya sudah berjalan ke luar dewan.

Selepas itu, kami menuju ke asrama pula untuk pendaftaran penginapan. Sewaktu berjalan menuju ke tempat letak kereta untuk menuju ke asrama, tiga kali saya sekeluarga disapa oleh empat fasilitator, bertanyakan sama ada sudah selesai pendaftaran dan sudahkah mendaftar di asrama.

Asrama tidaklah jauh sangat dari Bangunan Canselor. Terletak betul-betul berdepan dengan masjid UTP dan bersebelahan tasik. Proses pendaftaran di asrama pun mudah. Kami pergi ke khemah pendaftaran yang disediakan di dataran asrama. Ada empat atau lima orang petugas di situ. Anak saya hanya memberitahu blok bangunan yang sudah ditetapkan untuknya, dan kemudian dia dikehendaki mengisi namanya dalam borang yang disediakan. Selepas itu, diberikan kunci bilik. Selesai.

Di bawah khemah yang sama juga, Koperasi UTP menjual alat-alat yang diperlukan pelajar seperti bantal, baldi, penyapu, mangga kunci. Malah, seterika, pemanas air dan basikal pun ada!
Selepas mendaftar di khemah itu, kami pun mengangkat beg anak saya ke biliknya di tingkat satu. Selepas itu, turun melihat dan membeli beberapa barang yang ada untuk keperluannya. Selepas menghantar barang-barang itu ke atas, jam 11.30 pagi kami ke luar ke Bandar Universiti untuk membeli beberapa barang lain lagi.

Jam 1 tengah hari kami kembali ke kampus itu. Selepas makan tengah hari bersama, kemudian naik menghantar barang-barangnya, kira-kira jam 2 petang kami sekeluarga balik ke rumah penginapan di Bandar Seri Iskandar.

Saya difahamkan jam 2 petang, program suai kenal (orientasi) sudah bermula. Ia dimulakan dengan sesi penerangan cara mengisi borang permohonan pinjaman Mara oleh pegawai Mara sendiri. Saya menelefon anak saya petang tadi dan dberitahu, semua pelajar ditunjukkan cara mengisi borang berkenaan. Borang-borang itu sudah diserahkan semalam juga.
Inilah yang membuatkan saya tertarik. Proses pendaftaran pun lancar, dan urusan permohonan pembiayaan pinjaman pun selesai. Tahniah kepada UTP dan Mara.

Mengikuti proses pendaftaran semalam, mengingatkan saya sewaktu saya mendaftar memasuki Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) di Serdang, Selangor pada 1982. Prosesnya mengambil masa, dari pagi hingga ke tengah hari. Bapa saya bersama jiran sekampung, Subki Haji Ahmad, yang menghantar saya ke UPM pada hari itu terpaksa menunggu berjam lamanya di luar dewan. Saya tidak tahu bagaimana kelancaran proses pendaftaran di UPM sekarang, kerana saya pun sudah 20 tahun meninggalkan universiti itu.
Mungkin ketika itu, pendaftaran masih secara manual. Tambahan pula pelajar yang memasuki UPM ketika itu, ramai. Jadi, hari pertama pendaftaran di universiti ketika itu biasanya memang merimaskan!

Ketika itu, saya hanya mendapat borang perjanjian dermasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dihantar bersama-sama surat tawaran kemasukan ke universiti. Baca sendirilah garis panduan yang disertakan mengenai cara nak mengisi borang berkenaan, tidak ada majlis taklimat seperti sekarang.

Apabila dah berada di universiti, pelajar dinasihatkan supaya rajin-rajinlah pergi ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan tengok papan kenyataan, jika belum dapat sebarang tawaran biasiswa atau pinjaman. Jika ada sebarang notis mengenai tawaran biasiswa atau pinjaman, minta borang pada HEP atau pada alamat yang tertera pada notis berkenaan.

Tetapi hari ini, kemajuan teknologi maklumat banyak mempermudahkan urusan pendaftaran pelajar memasuki universiti. Walau seramai mana pun pelajar yang memasukinya, urusannya dapat dipercepatkan. Malah ada yang sudah diselesaikan sebelum pelajar baru sampai ke laman universiti. Misalnya, yuran dibayar di kaunter bank, dan resitnya berserta borang jawapan menerima tawaran dan borang akujanji difakskan ke universiti terlebih awal. Jadi, pada hari pendaftaran hanya hendak menyerahkan salinan asalnya saja.

Saya teruja dengan kecekapan petugas-petugas di UTP semalam. Ia mengingatkan saya pada akhir Jun tahun lalu, sewaktu menghantar anak sulung saya memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Bandar Seri Iskandar, kira-kira satu kilometer dari UTP. Kelancara proses pendaftaran pelajar pada hari pertama juga tidak kurang hebatnya.

Saya masih ingat lagi, sebaik saja kereta kami sekeluarga tiba di balai pengawal UiTM, seorang fasilitator hanya bertanya, sama ada anak kami yang nak belajar di situ lelaki atau perempuan. Selepas memberitahu bahawa anak kami itu perempuan, dia menyerahkan kunci asrama sambil menunjukkan arah asrama. Jadi, kami pun terus ke asrama. Tiada sebarang pendaftaran, terus mengangkat beg masuk bilik.

Di dalam bilik, ada satu double decker dan satu katil bujang serta tiga meja belajar. Di atas setiap meja, sudah tersedia sebuah fail yang lengkap dengan borang untuk pendaftaran. Selepas mengisi borang itu, kira-kira jam 11.30 pagi, ada fasilitator yang datang memungutnya. Kemudian saya sekeluarga membawa anak saya ke Bandar Universiti untuk membeli barang keperluannya. Selepas makan tengah hari, kami kembali ke kampus jam 3 petang kerana program orientasi bermula jam 4.30 petang.

Semua ini membuktikan era dan cara bertugas di universiti sudah berubah. Selain kehadiran teknologi maklumat dan komunikasi, saya percaya keinginan dan kemahuan untuk berubah sudah tentu menjadi pendorong terbesar ke arah perubahan cara bekerja itu. Walau banyak mana pun kemudahan yang kita ada, jika kita tidak mahu berubah, perubahan tetap tidak akan berlaku. Jadi, pilihan untuk berubah atau tidak, terletak pada diri kita.

Rabu, 7 Januari 2009

Pengetua cadang bantuan KWAPM guna kaedah dan prosedur beri biasiswa

Oleh Mohd Fuad Razali
SEMALAM saya berjumpa dengan seorang pengetua. Dalam pertemuan itu, saya sempat juga membangkitkan isu pengagihan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), yang saya tuliskan sebelum ini.

Pengetua itu mengakui akan perkara yang saya nyatakan sebelum ini, iaitu masalah ketidakjujuran sesetengah pihak kerana mahu mendapatkan bantuan berkenaan serta masalah penyalahgunaan wang bantuan berkenaan oleh kumpulan sasaran.

Mengikut ceritanya, nilai bantuan KWAPM yang diterima pelajar miskin dan kurang berkemampuan di sekolahnya awal tahun ini ialah RM600 seorang. Seperti biasa, yang menerimanya adalah ibu bapa.

Seperti pengetua dan guru besar lain, beliau juga bimbang akan penyalahgunaan wang berkenaan disebabkan perkara itu memang berlaku - bukan digunakan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah tetapi digunakan untuk tujuan lain.

Bagaimanapun pengetua itu tidak bersetuju dengan cadangan supaya kaedah pengagihan bantuan berkenaan balik kepada cara asal iaitu dalam bentuk barangan. "Nanti mereka kata kita berniaga pula," katanya. Mmmm, ya tak ya juga. Hati manusia bukan serupa, kan?

Jadi, bagi mengatasi masalah penyalahgunaan itu, pengetua berkenaan mencadangkan supaya bantuan itu menggunakan pendekatan dan peraturan yang sama seperti pemberian Biasiswa Kecil Persekutuan.

Ini bermakna bantuan itu tetap diberikan dalam bentuk wang tetapi disalurkan terus ke dalam akaun simpanan bank pelajar. Buku akaun simpanan itu hendaklah disimpan oleh sekolah.

Apabila pelajar hendak menggunakan wang berkenaan, dia perlu berjumpa dengan guru yang bertanggungjawab dan memberitahu tujuan hendak mengeluarkan wang berkenaan - sudah tentulah hanya untuk tujuan yang sudah ditetapkan iaitu membeli uniform dan peralatan sekolah serta membayar yuran peperiksaan.

Selepas itu, pelajar berkenaan akan diberikan buku akaunnya dan hanya dibenarkan mengeluarkan wang mengikut jumlah yang diperlukan sahaja. Selepas itu buku akaun berkenaan hendaklah diserahkan kembali kepada guru yang bertanggungjawab.

Saya rasa idea ini agak menarik dan patut dilihat dan dipertimbangkan oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskan bantuan KWAPM.

Dalam hal ini, biarlah dilihat 'menyukarkan' sedikit, tetapi demi kebaikan pelajar berkenaan dan keluarga mereka sendiri bagi memastikan bantuan berkenaan benar-benar digunakan untuk membiayai persekolahan pelajar-pelajar terbabit.

Isnin, 5 Januari 2009

Kaji semula kaedah pemberian KWAPM

Oleh Mohd Fuad Razali

SEWAKTU membaca akhbar Berita Harian hari ini, perhatian saya tertarik kepada berita mengenai peruntukan sebanyak RM3.39 bilion tahun ini khusus untuk bantuan pelajaran kepada pelajar kurang berkemampuan, pada tahun ini. Peruntukan itu bertujuan membantu meringankan ibu bapa dan pelajar kurang berkemampuan bagi memastikan tidak ada yang tercicir daripada menerima pendidikan berkualiti.

Laporan itu memetik Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, sebagai berkata peruntukan itu diagihkan melalui 17 saluran untuk menjamin semua golongan, termasuk pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah, menerima pendidikan. Antara 17 saluran bantuan itu ialah:

  1. Bantuan Makanan Asrama (RM1 bilion)
  2. Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (RM400 juta)
  3. Rancangan Makanan Tambahan (RM270.4 juta)
  4. Biasiswa Kecil Persekutuan (RM238 juta)
  5. Skim Bantuan Tuisyen (RM180 juta)
  6. Bantuan Geran Perkapita (RM740 juta)
  7. Skim Pinjaman Buku Teks (RM180 juta)
  8. Bantuan Kokurikulum Ke Sekolah (RM79.8 juta)
  9. Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform (RM20.1 juta)
  10. Elaun Murid Bekeperluan Khas (RM72 juta)
  11. Yuran Khas Sekolah (RM42 juta)

Sepanjang pengetahuan saya, daripada 11 bantuan di atas, Bantuan Makanan Asrama dan Rancangan Makanan Tambahan disampaikan kepada pelajar dalam bentuk makanan; Skim Pinjaman Buku Teks pula diberikan terus kepada pelajar dalam bentuk buku teks; Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform disampaikan kepada pelajar dalam bentuk pakaian seragam.

Skim Bantuan Tuisyen, Bantuan Geran Perkapita, Bantuan Kokurikulum Ke Sekolah dan Yuran Khas Sekolah pula diberi kepada sekolah dan diuruskan oleh sekolah. Skim Bantuan Tuisyen untuk membayar elaun guru yang mengendalikan tuisyen, menyediakan makanan sebelum murid menghadiri kelas tuisyen di sekolah dan belanja pengurusan mengendalikan kelas tuisyen seperti bayaran air dan elektrik.

Bantuan Geran Perkapita diserahkan kepada sekolah untuk kegunaan mata pelajaran dan bukan mata pelajaran, Bantuan Kokurikulum untuk pengurusan kegiatan kokurikulum manakala Yuran Khas yang bernilai RM4.50 di sekolah rendah dan RM9 lebih di sekolah menengah (menggantikan yuran khas yang dimansuhkan oleh kerajaan dan tidak perlu lagi dibayar oleh ibu bapa) pula difahamkan kegunaan perpustakaan, kegiatan pendidikan seni dan sukan.
Hanya Biasiswa Kecil Persekutuan (untuk pelajar sekolah menengah), Elaun Murid Bekeperluan Khas dan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) disampaikan dalam bentuk wang kepada pelajar dan keluarga mereka.

Pada kesempatan ini, saya hanya ingin menyentuh mengenai KWAPM. Penubuhan KWAPM diluluskan oleh Dewan Rakyat mengikut Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957, pada 10 April 2003 , selaras dengan pelaksanaan dasar pendidikan wajib dibawah Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 mulai Januari 2003, yang mewajibkan ibu bapa atau penjaga menghantar anak mereka bersekolah rendah dari tahun satu sehingga tahun enam.

KWAPM ditubuhkan berikutan matlamat kerajaan untuk mencapai matlamat`keciciran sifar' di kalangan murid sekolah rendah yang berpunca daripada kemiskinan dan seterusnya menjana kecemerlangan pendidikan secara menyeluruh. Kumpulan wang amanah itu diletakkan di bawah kelolaan Bahagian Biasiswa Kementerian Pelajaran dengan menggunakan motto `Pelajar Cemerlang NegaraGemilang'. Tabung ini dilancarkan pada tahun yang sama oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengikut laporan akhbar, jenis bantuan yang diberikan kepada setiap murid ialah Bantuan Am Pelajar Miskin (RM100 sebulan), Bantuan Yuran Sekolah/Peperiksaan (RM80setahun), Bantuan Pakaian Sekolah (RM120 setahun), Bantuan Peralatan Sekolah (RM200 setahun) serta Bimbingan dan Latihan (RM50 sebulan) (rujuk laporan Berita Harian, 23 Jun 2003, halaman 7).

Saya difahamkan Bantuan Am Pelajar Miskin diberikan dalam bentuk wang hanya kepada pelajar yang keluarganya benar-benar daif manakala bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah disampaikan kepada pelajar dalam bentuk pakaian dan peralatan sekolah.

Bagaimanapun, daripada maklumat pada peringkat akar umbi, sejak setahun dua yang lalu, saya difahamkan, hanya pada tahun pertama saja, bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah dalam bentuk barang berkenaan disampaikan kepada pelajar. Difahamkan, pada tahun berikutnya hinggalah sekarang, bantuan pakaian dan peralatan sekolah itu kini diberikan dalam bentuk wang kepada keluarga pelajar terbabit. Kononnya, bentuk bantuan itu ditukar ke dalam bentuk wang berikutan komplen daripada kumpulan sasaran sendiri.

Rungutan yang disampaikan guru-guru dan pentadbir sekolah ialah ada di kalangan ibu bapa yang datang mengambil bantuan berkenaan diragui kejujuran mereka. "Bagi ibu bapa yang bekerja makan gaji, tak ada masalah kerana penyata pendapatan boleh digunakan untuk menentukan mereka layak atau tidak. Yang menjadi masalah yang tidak mempunyai penyata pendapatan dan bekerja sendiri. Mereka hanya perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan kemudian mendapatkan pengesahan daripada penghulu atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bahawa mereka miskin. Masalahnya, ada di kalangan mereka ni, ada motosikal, berkereta, ada telefon bimbit lagi," kata seorang guru.

Ini masalah yang sukar diatasi oleh guru dan sekolah. Walaupun setiap kali hendak menerima bantuan berkenaan, taklimat diberikan bahawa bantuan itu hanya untuk mereka yang benar-benar miskin saja, bagaimana hendak memastikan siapa di kalangan mereka yang benar-benar layak. Kata seorang guru besar, ibu bapa yang jujur meminta namanya dipotong daripada senarai penerima bantuan itu selepas merasakan anaknya tidak lagi layak menerima bantuan berkenaan, tetapi jumlahnya tidak ramai. Yang lain, tak peduli hal itu semua, yang penting mereka dapat. Bagi golongan ini hujah al-Quran dan hadis pun tak masuk dalam hati dan kepala mereka!

Di kalangan yang benar-benar layak mendapat bantuan berkenaan pula, ada masalah lain pula. Apabila menerima wang bantuan berkenaan, ada yang telah menyalahgunakannya. Wang itu bukan digunakan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah, sebaliknya digunakan untuk perbelanjaan harian rumah tangga. "Jadi, anak tetap tak datang sekolah juga. Ataupun anak datang dengan pakaian selekeh juga!" rungut seorang guru besar. Padahal wang itu diberikan untuk membolehkan anak mereka belajar. Mudah-mudahan dapat membantu mengeluarkan mereka sekeluarga daripada lingkaran kemiskinan pada masa depan.

Saya rasa Kementerian Pelajaran patut mengkaji semula bentuk bantuan KWAPM ini. Janganlah kita terikut-ikut sangat desakan dan tekanan yang tidak munasabah ini, jika kita benar-benar sayangkan anak bangsa dan masyarakat kita.

Sekolah tempat ideal galakkan integrasi kaum: Lee Lam Thye

Oleh Mohd Fuad Razali

BERNAMA Online semalam melaporkan saranan Anggota Panel Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye kepada remaja di negara ini supaya memberi tumpuan ke arah memperkukuhkan integrasi kaum dan menggalakkan perpaduan antara kaum di tahun baru ini sebagai sebahagian daripada sumbangan mereka ke arah pembinaan sebuah negara berbilang bangsa yang sebenar. Beliau berpendapat sekolah sebagai tempat yang ideal untuk mengalakkan mereka bergaul dan memahami antara satu sama lain.

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Remaja Malaysia yang berbilang kaum perlu memberi tumpuan ke arah memperkukuhkan integrasi kaum dan menggalakkan perpaduan antara kaum di Tahun Baru ini sebagai sebahagian daripada sumbangan mereka ke arah pembinaan sebuah negara berbilang bangsa yang sebenar.

Anggota Panel Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata mereka perlu mengabaikan hakikat bahawa orang yang dekat dengan mereka adalah daripada kaum dan agama yang berlainan, sebaliknya harus menyedari hanya satu perkara, bahawa orang itu adalah rakan mereka.

"Mereka perlu menghapuskan jurang perkauman, mendekati dan menjalin persahabatan dengan rakan-rakan daripada kumpulan kaum yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata sekolah adalah tempat yang ideal untuk menggalakkan integrasi kaum dan guru serta ibu bapa perlu melaksanakan peranan masing-masing bagi membantu proses itu.

Beliau berkata ibu bapa mesti menggalakkan anak-anak mereka supaya bergaul dengan rakan-rakan berlainan kaum agar mereka lebih saling memahami agama, budaya dan cara hidup satu sama lain.

Lee berkata penyemaian nilai-nilai murni yang mempunyai hubungan dengan perpaduan harus bermula di sekolah rendah dan ini boleh menghasilkan generasi masa depan warga Malaysia yang menyedari sepenuhnya tanggungjawab mereka ke arah pembinaan negara.

"Perpaduan dan keharmonian mesti menjadi sebahagian daripada budaya kita dan perlu ada lebih banyak peluang bagi masyarakat berbilang kaum untuk bertemu dan menjalin persefahaman serta persahabatan yang akrab demi masa depan negara kita," katanya.


Saya berpendapat kenyataan itu agak menarik, kerana Lee berpendapat sekolah sebagai tempat yang ideal untuk memupuk persefahaman antara kaum. Soalnya, dalam keadaan sekarang, di mana majoriti murid Melayu bersekolah di sekolah kebangsaan dan bergaul sesama mereka, manakala majoriti murid Cina pula belajar dan bergaul sesama mereka di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan majoriti murid India pula belajar dan bergaul sesama mereka saja di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), bolehkah hasrat dan saranan itu menjadi kenyataan?

Saya rasa sekolah bukan saja tempat yang ideal, tetapi sebaliknya memang tempat yang terbaik untuk berbuat demikian. Ini bukan soal idealis lagi, tetapi adalah satu realiti. Soalnya, bersediakah kita untuk menterjemahkan idealisme itu menjadi satu realiti? Bersediakah kita, guru serta ibu bapa, seperti disarankan Lee, tanpa mengira bangsa dan agama, melaksanakan peranan masing-masing bagi membantu proses itu?

Saya tidak berminat mengulas panjang mengenai perkara ini, kerana telah mengulas mengenainya sebelum ini dalam tulisan saya, Satu Sistem Persekolahan, dan Satu sistem persekolahan II: Pandangan Ridhuan Tee,
sebelum ini.

Ahad, 4 Januari 2009

Jika simpan di bank pun tak selamat...

Oleh Mohd Fuad Razali

AKHBAR Berita Harian semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Biro Pengaduan Awam (BPA), Senator T Murugiah, berkata ada bank tempatan di negara ini yang bersubahat dengan sindiket tertentu bagi membocorkan maklumat peribadi pelanggan mereka sehingga menyebabkan kes kehilangan wang dalam akaun berleluasa. Katanya, perbuatan bank-bank itu yang bersekongkol dengan sindiket tertentu sememangnya wujud berikutan sebanyak 60 hingga 70 kes membabitkan kehilangan wang diterima pihak bank pada setiap bulan daripada orang ramai, sejak 2006.

"BPA percaya ada bank-bank yang bersubahat begitu. Saya yakin ada maklumat dalaman diberitahu kepada sindiket itu yang mungkin membabitkan orang tempatan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya. Pada sidang akhbar itu, Murugiah memberikan contoh kes membabitkan seorang pemegang akaun sebuah bank di Ipoh kehilangan wang kira-kira RM7,200 selepas menyimpannya sejak setahun lalu dan kini cuma berbaki RM56.

Berikutan itu, hari ini, akhbar Berita Minggu melaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Razak, meminta Bank Negara menyiasat dakwaan berkenaan dan meminta mereka yang menjadi mangsa tampil membuat aduan bagi memudahkan siasatan dilakukan.

Dalam perkembangan yang sama, akhbar itu melaporkan, Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (Nube) percaya pendedahan maklumat atau pencerobohan maklumat pelanggan bank kemungkinan dilakukan syarikat luar yang dilantik bank. Setiausaha Agung Nube, J Solomon berkata, dakwaan orang dalam atau kakitangan bank terbabit dalam penyelewengan itu tidak tepat kerana jika ada penyalahgunaan atau pencerobohan maklumat membabitkan orang dalam, ia mudah dikesan dan tindakan segera boleh diambil.

Beliau berkata, kebiasaannya bank meminta syarikat luar menguruskan maklumat berkaitan pelanggan, memproses pinjaman, mengurus perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) dan syarikat pengurusan keselamatan yang diamalkan oleh bank tempatan sejak 10 tahun lalu.

"Saya bukan menafikan pembabitan kakitangan atau orang dalam bank tetapi syarikat pembekal maklumat dan sumber luar yang dilantik bank mempunyai kemungkinan besar terbabit menjual maklumat pelanggan," katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Solomon berkata, jika benar ada kakitangan bank terbabit beliau mengesyorkan nama individu dan bank tempatan yang dikenal pasti itu didedahkan dan dikenakan tindakan sewajarnya. Katanya, pendedahan Murugiah perlu disusuli tindakan bagi menghentikan terus kegiatan yang mencemarkan nama pekerja dan bank di negara ini.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, timbul pertanyaan bagaimana kejadian itu boleh berlaku? Adakah ia membabitkan kakitangan dalam bank? Atau adakah ia membabitkan pihak luar yang dilantik bank untuk menguruskan maklumat pelanggan, memproses pinjaman, mengurusan perkhidmatan mesin ATM dan syarikat pengurusan keselamtan seperti didakwa Solomon? Atau adakah sistem maklumat bank tidak cukup kebal dan selamat hingga boleh diceroboh oleh penggodam (hackers)?

Walaupun Najib meminta jangan membuat spekulasi berhubung perkara ini, siapa dapat menghalang orang ramai, terutama pelanggan-pelanggan bank sendiri daripada berbuat demikian. Sebagai pelanggan bank, saya juga bimbang mengenai perkara itu, walaupun duit yang saya simpan di dalam bank tidaklah sebanyak mana. Namun aduan sebanyak 60 hingga 70 kes sebulan bukan satu jumlah yang kecil. Itu yang mengadu. Kita tidak tahu mungkin ada pelanggan yang tidak membuat aduan mengenainya, terutamanya jika ia membabitkan jumlah yang kecil seperti RM1, 50 sen atau 10 sen. Jika 10 sen pun yang hilang, mungkin kita pun tidak perasan, tetapi jika ia membabitkan 100 pelanggan, sudah RM1; jika 1000 pelanggan, RM10; jika 10,000 pelanggan, RM100. Bagaimana jika membabitkan 100,000 pelanggan atau sejuta pelanggan?

Setakat ini Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) belum membuat sebarang kenyataan mengenainya melainkan laporan menyatakan ia akan berbuat demikian minggu depan. Pengarah Eksekutifnya, Chuah Mei Lin, dilaporkan berkata ABM sedang melakukan siasatan berhubung kehilangan wang oleh 'pencuri siber' di Indonesia.

Apa pun, pendedahan ini memang cukup membimbangkan. Jika menyimpan wang dalam bank pun sudah tidak lagi selamat, pada siapakah lagi orang ramai dapat mengharapkan untuk menyimpan wang mereka? Nak simpan bawah bantal dan tilam atau di dalam tempayan seperti nenek moyang kita dulu, sudah tentu lagi tidak selamat.

Bank Negara dan bank-bank tempatan perlu segera menyiasat hal ini dan mendedahkan pihak yang terbabit ke muka pengadilan supaya tidak sewajarnya dapat diambil ke atas mereka, tidak kira sama ada ia membabitkan kakitangan dalaman mahupun syarikat yang dilantik untuk menguruskan hal-hal berkaitan pelanggan bagi pihak bank, ataupun penggodam.

Jika hal ini berterusan, orang ramai sudah pasti bimbang akan keselamatan wang mereka. Jangan pula nanti sampai masyarakat hilang kepercayaan kepada bank tempatan. Mereka yang berharta mungkin akan beralih ke bank-bank luar negara. Bagi yang tidak, mungkin akan balik ke sistem lama - simpan aje bawah bantal dan tilam, atau dalam tempayan - jika simpan di bank pun tidak selamat!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)