PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Isnin, 2 Februari 2009

IPTA: Pohon kursus sesuai dengan keputusan dan minat

Oleh Mohd Fuad Razali

MENGIKUT iklan yang disiarkan dalam akhbar Berita Minggu, mulai jam 12 tengah hari esok (3 Februari 2009), semua lepasan sekolah yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), boleh mengakses laman web Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengemukakan permohonan memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 2009/2010 yang akan bermula pertengahan tahun ini.



Dengan kemajuan teknologi maklumat, sekarang semua permohonan memasuki IPTA sudah boleh dibuat secara online (ada yang gunakan istilah dalam talian. Saya selalu gunakan istilah talian terus!). Alhamdulillah. Cuma kita harapkan tidak timbul masalah bagi pemohon-pemohon untuk mengakses kepada laman web berkenaan.

Kepada pelajar-pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM, STPM dan STAM serta yang sudah pun memiliki sijil berkenaan (tahun-tahun sebelumnya), jangan lupa ke kaunter Bank Simpanan Nasional terlebih dulu untuk mendapatkan nombor unik ID bagi membolehkan anda memohon memasuki IPTA. Harganya taklah mahal sangat cuma RM10.60 untuk pemegang sijil SPM dan RM15.60 untuk lulusan STPM dan STAM.

Melihat iklan yang terpampang dalam akhbar itu, saya teringat sewaktu bertugas di Berita Harian dulu. Memandangkan saya bertugas di Meja Pendidikan (sebelum itu dikenali sebagai Unit Akhbar Dalam Darjah), maka selalulah saya ke Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran). Oleh itu, saya mengenali beberapa pegawai di kementerian itu, termasuk di Unit Pusat Universiti (sekarang Jabatan Pengajian Tinggi).

Setiap kali selepas keputusan peperiksaan SPM dan STPM diumumkan, selalulah juga saya dikunjungi rakan-rakan setugas mahupun rakanr-rakan sepersekolahan dan saudara-mara, nak minta pandangan mengenai kursus yang sesuai dipilih oleh anak-anak, adik-adik atau saudara-mara mereka. Selain itu, selepas keputusan permohonan ke IPTA diumumkan. Ada juga yang datang berjumpa nak minta buat rayuan kerana permohonan anak, adik atau saudara-mara mereka gagal.

Ketika itu, saya pun kenalah jadi 'kaunselor' tak bertauliah. Bagilah nasihat apa yang patut. Apabila ada rayuan pun macam tu, saya akan rujuk dulu kepada pegawai di UPU dan kemudian sampaikan nasihat mereka kepada rakan-rakan atau saudara-mara yang berkenaan. Kadangkala surat rayuan itu saya hantar ke pejabat menteri. Yang selalu jadi sasaran ialah Setiausaha Akhbar.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan sedikit pandangan berhubung pemilihan ke IPTA. Memandangkan anak-anak yang akan memohon memasuki IPTA sudah pun menduduki peperiksaan mereka, dan keputusan pun akan diumumkan tidak lama lagi, maka pandangan saya begini:

Apabila keputusan peperiksaan diumumkan kelak, jika mendapat keputusan baik atau cemerlang seperti yang diimpikan, tahniah dan bersyukurlah. Dengan itu, tidak mustahil bagi anda memilih kursus pengajian yang anda impikan. Teruskan.

Jika tidak seperti diharapkan, maka pilihlah kursus pengajian yang sesuai dengan keputusan peperiksaan yang anda diperolehi. Dalam situasi begini, anda perlu melupakan cita-cita asal anda untuk memasuki bidang pengajian tertentu sekiranya keputusan yang diperoleh ternyata tidak melayakkan anda memohonnya.

Ingat, dalam membuat permohonan memasuki IPTA, jangan terlalu emosi. Jika keputusan anda jelas tidak memenuhi syarat minimum kelayakan yang ditetapkan, janganlah bersikap keras tak bertempat. Anda juga yang rugi.

Mungkin ada hikmahnya. Muhasabah diri mengapa anda tidak mencapai keputusan yang diharapkan yang membolehkan anda memasuki kursus pengajian yang anda idam-idamkan. Ambillah iktibar daripadanya.

Satu lagi, jangan pilih kursus pengajian kerana mengikut kawan. Jika keputusan anda memenuhi syarat kelayakan minimum yang ditetapkan, maka pilihlah kursus yang anda minat, bukan kerana kawan anda minat.

Ada calon memilih kerana tak mahu berpisah dengan kawan baiknya. Ingat, memohon masuk ke universiti ada kaitan dengan masa depan anda. Kawan anda tidak mungkin dapat menolong anda jika di pertengahan pengajian kelak, tiba-tiba anda dapati tidak berminat dengan bidang pengajian berkenaan atau sukar bagi anda.

Ingatlah, jika anda berpisah dengan kawan anda hari ini, hanya untuk sementara saja. Anda boleh berjumpa lagi pada lain masa. Tapi sekarang, macam-macam teknologi ada. Tak boleh jumpa, boleh panggil dengan telefon bimbit, boleh SMS. Malah, sekarang boleh guna YM, boleh chat guna kamera lagi. Nampak juga muka. Boleh sembang lagi!

Lepas itu, akan jumpa kawan baru. Memanglah kawan baru, kita tidak pernah jumpa sebelum ini. Apabila sudah lama berkawan, dia akan jadi kawan kita juga. Kawan baik yang kita ada sekarang pun, asalnya kita tidak pernah jumpa. Jadi, kita berpeluang tambah senarai kawan-kawan.

Kepada ibu bapa pula, saya ingin bagi pandangan yang sama. Jika anak-anak anda sudah mempunyai minat dan keinginan mereka, dan sesuai pula dengan keputusan peperiksaan yang diperoleh, sokonglah mereka. Janganlah pula kita memaksa mereka mengikuti bidang pengajian yang mereka sebenarnya tidak minat. Memang ada ibu bapa yang suka memaksa anak-anak mengikut kehendak mereka. Ada ibu bapa yang beria-ia sangat supaya anak ambil bidang perubatan walaupun anak itu tak minat. Kesian pada anak-anak. Jika mereka boleh ikuti pengajian tak mengapa, tetapi jika mereka kandas di tengah jalan, ibu bapa akan dipersalahkan.

Jika anak-anak berbelah bagi tak tahu kursus mana nak dipilih, atau memang tak ada idea langsung, maka bagilah panduan kepada mereka. Atau jika tidak, bawalah mereka berjumpa dengan guru kaunselor di sekolah. Atau mereka yang arif mengenai bidang-bidang pengajian berkenaan. Atau boleh juga hubungi terus fakulti pengajian di IPTA yang terbabit. Mereka boleh membantu.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam, tuan mohon izin utk salin & tampal di blog saya - ilyasak.blogspot.com

FUAD RAZALI berkata...

Sdr ilyasak,
Salam untuk tuan juga. Apa khabar tuan sekarang? Lama betul kita tak jumpa. Kalau boleh, contact saya.

Nak salin dan tampal di blog sdr, tidak ada masalah. Silakan. Saya pun dah tengok, dah ada pun kat blog sdr.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum tuan,
saye nk tanye... Kalau saye nk mengambil bidang perundangan tetapi keputusan Sejarah saye tidak begitu bagus... Boleh tak kita minta rayuan?

FUAD RAZALI berkata...

Wa'alaikumussalam.
Sdr/i Tanpa Nama,
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini, dan terima kasih atas pertanyaan yang dikemukakan.
Sdr/i tidak menyatakan apakah peperiksaan yang sdr/i ambil SPM atau STPM. Sdr/i juga tidak menyatakan sdr/i sudah menduduki peperiksaan itu atau belum.
Sekiranya sdr/i belum menduduki peperiksaan berkenaan, nasihat saya ialah eloklah sdr/i mendapatkan maklumat mengenai persaingan untuk memasuki kursus Perundangan, syarat kelayakan yang diperlukan untuk memasuki kursus berkenaan serta memasang strategi belajar sdr/i supaya mendapat keputusan yang terbaik, termasuk dalam subjek Sejarah. Mudah-mudahan dengan itu, peluang sdr/i untuk memasuki kursus berkenaan lebih tinggi dan cerah. Dengan itu, sdr/i tidak akan bimbang mengenai keputusan yang 'tidak begitu bagus' :D

Jika sdr/i sudah berusaha dan keputusannya masih juga 'tidak begitu bagus' spt yang sdr/i nyatakan, memang sebenarnya sdr/i boleh dan diberi peluang untuk membuat rayuan sekiranya permohonan sdr/i untuk memasuki kursus berkenaan ditolak. Bagaimanapun ia tertakluk kepada banyak faktor lain, termasuk kekosongan tempat jika ada calon yang layak menolak tawaran yang diberikan kepadanya.

Tanpa Nama berkata...

selamat sejahtera Tuan,
saya lepasan stpm 2011 nak tanya tentang bidang yang sesuai untuk saya. saya nak memohon untuk bidang sains komputer tetapi semasa di tingkatan 6 saya diberi subjek ekonomi,perakaunan, pengajian am dan pengajian perniagaan. adakah saya mempunyai peluang untuk memasuki bidang tersebut? saya harap Tuan dapat membantu saya kerana saya keliru tentang bidang yang sesuai untuk saya kerana saya kurang berminat dalam bidang perakaunan..sekian.

FUAD RAZALI berkata...

Sdr Tanpa Nama,
Salam sejahtera untuk sdrjugak.

Anda menyatakan mengambil mata pelajaran Ekonomi, Perakaunan dan Pengajian Perniagaan di samping Pengajian Am yang diwajibkan kepada semua calon STPM. Ini bererti anda belajar dalam aliran sastera.

Sdr menyatakan berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Komputer berbanding Perakaunan.

Berdasarkan maklumat yang boleh diperolehi menerusi laman web Kementerian Pengajian Tinggi, sdr boleh mencapai impian dan cita-cita sdr itu dengan syarat memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, berpandukan mata pelajaran yang sdr ambil, saya dapati sdr memohon untuk untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Komputer di universiti awam dengan syarat memenuhi kelayakan yang ditetapkan.

Kelayakan Am:
Pada amnya, untuk memasuki IPTA sdr hendaklah:
Lulus SPM dengan kepujian dalam Bahasa Malaysia,
Lulus STPM dengan mendapat sekurang-kurangnya PGNK 2.00,
Mendapat sekurang-kurang Gred C (PGNK 2.00) bagi Pengajian Am; dan
Mendapat sekurang-kurangnya Gred C (PGNK 2.00) dalam dua subjek lain; serta
Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band 1) dalam MUET.

Berdasarkan, subjek yang sdr ambil dalam peperiksaan STPM, berikut saya senaraikan program pengajian di IPYA bersesuaian yang boleh dipohon berserta syarat khas yang ditetapkan bagi program itu:

1. Sarjana Muda Teknologi Maklumat
di UTHM
Syarat:
Sekurang-kurangnya Gred C bagi dua subjek berikut: Ekonomi, Perakaunan,Mathematics S, Mathematics T, atau Further Mathematics T;
Sekurang-kurangnya Gred E dalam Bahasa Inggeris peringkat SPM;
Tidak rabun dan tidak cacat anggota (buta, pekak, lumpuh, bisu) yang menyukarkan kerja amali.

2. Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian di UUM

Syarat:
Sekurang-kurangnya Gred C bagi dua subjek berikut: Ekonomi, Perakaunan, Mathematics S, Mathematics T, atau Further Mathematics T;
Sekurang-kurangnya lulus Bahasa Inggeris peringkat SPM atau Tahap 2 MUET.
Nota: UUM juga menerima kelulusan sekurang-kurangnya Gred C dalam Bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu peringkat STPM sebagai ganti syarat Kepujian Bahasa Malaysia SPM)

3. Sarjana Muda Multimedia dengan Kepujian di UUM

Syarat:
Sekurang-kurangnya Gred C satu drp subjek berikut: Ekonomi, Mathematics S, Mathematics T, atau Further Mathematics T;
Sekurang-kurangnya Kepujian mana-mana dua subjek peringkat SPM berikut: Mathematics, Add Math, Physics, Science, Applied Sc, Reka Cipta, ICT, Seni Visual, Ekonomi ASas, Grafik Berkomputer, Produksi Multimedia, Fundamentals of Programming, atau Programming and Development Tools;
Sekurang-kurangnya lulus Bahasa Inggeris peringkat SPM atau Tahap 2 MUET.

Nota: UUM juga menerima kelulusan sekurang-kurangnya Gred C dalam Bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu peringkat STPM sebagai ganti syarat Kepujian Bahasa Malaysia SPM)

4. Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) di UIAM

Syarat:
Sekurang-kurangnya PGNK 3.00
* Sekurang-kurangnya Gred B (PGNK 3.00) bagi satu drp mata pelajaran berikut: Ekonomi, Perakaunan, Mathematics S, Mathematics T, Further Mathematics T, Physics, Chemistry, Biology atau Computing;
Sekurang-kurangnya Tahap 3 MUET atau 4B Bahasa Inggeris SPM;
Sekurang-kurangnya 4B Mathematics atau Add Maths SPM;
Sekurang-kurangnya 6C peringkat SPM bagi subjek berikut:
a)Pend Islam, Tasawwur Islam, Pend al-Quran dan as-Sunnah, atau Pend Syariah Islamiah;
b)Mana-mana 3 subjek lain termasuk Bahasa Malaysia.

Begitulah sedikit maklumat yang dapat saya kongsi dengan sdr. Apa pun, nasihat saya, selepas keputusan STPM diumumkan nanti, pastikan keputsan yang diperoleh memenuhi syarat bagi program pengajian yang hendak dipilih.

Jika anda meminati sesuatu program pengajian tetapi keputusan yang diperoleh tidak memenuhi syarat ditetapkan, terimalah hakikat bahawa anda mungkin perlu memohon program pengajian yang lain.

Selain maklumat di atas, anda boleh melayari laman web IPTS untuk mengetahui syarat-syarat yang ditetapkan bagi program pengajian yang anda minati itu.

Sekian, terima kasih.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)