Hari ini, pada muka depannya, akhbar itu menyiarkan reaksi pelbagai pemimpin bukan Melayu dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bukan saja tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, bahkan menyifatkannya sebagai bersifat perkauman pula.
Bagaimanapun, yang menarik perhatian saya adalah rencana yang ditulis oleh Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, yang disiarkan pada halaman 10 dalam akhbar yang sama, hari ini. Walaupun rencana itu pada asalnya bertujuan mengulas mengenai isu ketuanan Melayu yang dibangkitkan pemimpin Cina, pada bahagian akhir rencananya, beliau turut menyentuh mengenai cadangan Mukhriz itu.
Saya rasa elok kita renungkan pengakuan yang saya kira dibuat secara telus dan jujur oleh seorang anak kelahiran Malaysia berbangsa Cina berhubung itu berkenaan. Saya petik tulisan beliau seperti berikut:
Ini bukanlah isu baru dan bukan mudah untuk menghapuskan sekolah vernakular yang telah menjadi agenda politik tuntut-menuntut dan ugut-mengugut.
Orang Cina akan menggunakan isu ini untuk mendapatkan political mileage dalam BN dan Pakatan Rakyat. BN dan Pakatan Rakyat terpaksa tundukkepada ugutan ini demi survival politik.
Saya tidaklah menyokong sangat saranan Mukhriz ini, tetapi pengalaman saya memimpin PIBG di sekolah yang majoritinya pelajar Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), menyebabkan saya terpaksa bersependapat dengan Mukhriz, walaupun ia amat pahit untuk diluahkan sebagai seorang berbangsa Cina.
Kebanyakan pelajar vernakular tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, apatah lagi bahasa Inggeris. Akhirnya, mereka tidak bergaul dengan pelajar-pelajar Melayu dan seterusnya ketinggalan dalam pelajaran apabila sampai ke peringkat menengah.
Saya cukup teruja apabila Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali begitu mempertahankan sekolah vernakular agar setanding dengan sekolah kebangsaan, dalam perbahasan Parlimen baru-baru ini.
Persoalannya, pernahkah Azmin membuat kajian kemampuan berbahasa Melayu dan tahap integrasi di kalangan pelajar di sekolah-sekolah vernakular? Sekadar mendengar aduan dan pergi membuat lawatan ke sekolah vernakular selaku Yang Berhormat adalah tidak mencukupi.
Cubalah menyelidiki dan berkomunikasi dengan pelajar-pelajarnya. Saya berani beri jaminan bahawa sebahagian besar pelajar SJKC/T tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Ramai yang langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.
Inilah akibatnya apabila sistem pendidikan diasing-asingkan dan dipolitikkan. Matlamat perpaduan nasional masih terlalu jauh untuk dicapai, apatah lagi untuk menanamkan semangat patriotik yang tinggi.
Justeru, sudah sampai masanya kita jangan terlalu berpolitik sesama sendiri sehingga melupakan kepentingan masa depan negara yang lebih besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan