Reaksi itu juga nampaknya menarik untuk renungan kita bersama. Saya perturunkannya di sini untuk manfaat pengunjung blog ini:
Kenyataan Mukhriz Wujud Sekolah Satu Aliran Tiada Unsur Perkauman, Kata Hishammuddin
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kenyataan Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir berhubung sekolah satu aliran telah dipolemikkan dan dikelirukan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Malah kenyataan Exco Pemuda Umno itu langsung tidak ada unsur berbaur perkauman, kata Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno pada sidang berita di ruang legar Parlimen di sini hari ini.
" Perkara ini menjadi kekeliruan kerana pihak pembangkang mengaitkannya dengan isu kaum yang telah menimbulkan emosi, dan tiadak ada dikaitkan dengan kaum kerana ia melibatkan empat jenis sekolah dalam satu aliran bantuan kerajaan yang agak unik berbanding negara lain," katanya.
Hishammuddin berkata demikian bagi mengulas saranan Mukhriz Isnin lepas di Dewan Rakyat supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.
"Memang hasrat semua pihak untuk mewujudkan sekolah satu aliran, tetapi nak mempolemik dan mengaitkan dengan perkauman tidak ada asas kerana empat jenis sekolah di bawah bantuan kerajaan ini merangkumi orang Melayu, Cina, Kristian dan India," kata Hishammuddin.
Beliau berkata bagi mewujudkan sekolah satu aliran, ia memerlukan kerajaan mengambil kira semua isu-isu berkaitan termasuk mengambil kira status tanah, kedudukan guru, peruntukan sekolah dan konsensus yang perlu diwujud untuk mengatasi semua isu tersebut.
"Kenyataannya sekolah satu aliran ini telah pun dibincangkan sejak merdeka lagi, ia bukan satu isu yang baru dan secara ideal kita mengharapkan satu sistem untuk memuaskan hati semua pihak," katanya.
Hishammuddin berkara perkara yang perlu menjadi kepentingan pada masa ini adalah untuk memperkasakan sekolah kebangsaan yang merupakan teras ketiga di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), dan memastikan terdapatnya rangkaian antara dua aliran sekolah, iaitu aliran perdana dan sekolah bantuan kerajaan.
Katanya semangat patriotisme dan toleransi telah disuntik melalui kedua-dua jenis sekolah itu sepertimana yang sedang dilaksanakan di bawah PIPP selain membina sekolah bangsa, melahirkan modal insan, dan seterusnya sekolah aliran berkenaan tidak dilihat dalam satu kaum sahaja.
"Dalam keadaan ekonomi dunia kini, kalau (ada isu yang) kita tidak ditangani dengan baik jangan harap kita dapat mempertahankan apa jua sekolah yang ada, dan ini merupakan tugas bersama untuk menanganinya termasuk pembangkang dan juga kerajaan, Umno dan parti komponen BN yang lain," katanya.
Hishammuddin berkata jumlah sekolah yang terdapat di negara mengikut jenis ialah Sekolah Kebangsaan 5,831 buah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (889 buah), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (374), Sekolah Mubaligh (410) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (154).
2 ulasan:
Kini ramai orang telah sedar dan menyalahkan pengwujudan sekolah-sekolah aliran jenis kebangsaan menyebabkan polarisasi kaum semakin menebal. Kewujudan sekolah aliran jenis kebangsaan ini telah memisahkan kanak-kanak berbeza kaum daripada dapat peluang untuk berkawan dan bergaul.
Sebenarnya tidak salah untuk mengajar anak-anak kita tentang bahasa ibunda dan adat resam kaum masing-masing, tetapi yang salahnya bila kita asingkan sekolah kanak-kanak ini mengikut kaum.
Sebelum isu sekolah berasingan ini hangat diperkatakan, saya telah banyak juga menulis berkaitannya dan banyak surat yang saya tulis ke Malaysiakini berkaitan dengannya. Alhamdulilah, perkara ini semakin hari semakin mendapat perhatian ramai.
Dengan arus fahaman politik yang berubah, saya percaya penyelesaian kearah ‘satu sekolah’ ini akan menjadi kenyataan jua menjelang 2013 nanti. Apabila semua orang sedar betapa pentingnya kepada dasar ‘satu sekolah’, maka orang-orang politik pun akan tidak teragak-agak lagi untuk mengambilnya sebagai satu isu yang dapat menguntungkan politik mereka untuk diperjuangkan.
Di zaman manusia yang semakin cerdik dan celik ini, manusia tidak lagi boleh menerima adanya perbezaan taraf dan darjat disebabkan perbezaan keturunan dan warna kulit. Sebaliknya kualiti manusia adalah ditentukan oleh usaha, sikap, dan kebolehan masing-masing.
Setiap insan dilahirkan bebas, mereka mempunyai hak dan peluang yang sama, tidak ada yang dilahirkan untuk menjadi tuan dan tidak juga untuk menjadi hamba.
sedang rancak dengan satu sistem sekolah diperkatakan, bagaimana pula dengan konsep sekolah wawasan suatu ketika dahulu.
Bukankah sudah ada model yang menggabungkan ketiga-tiga jenis persekolahan ini, namun ke mana hilang bicaranya.
Oh! mungkin ada yang tidak bersetuju. Namun hari ini, orang No. 1 MIC sudah setuju, siapa lagi yang tidak sealiran dengan konsep ini ya!
Catat Ulasan