PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Selasa, 2 Disember 2008

Satu sistem persekolahan

UTUSAN Online hari ini melaporkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Antara cadangannya itu ialah:
1. Semua sekolah pelbagai jenis (aliran) diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.
2. Murid-murid diwajibkan belajar bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India.
3. Di bawah sistem ini, pelajar Melayu diberi pilihan untuk mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil.

Mukhriz dilaporkan berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk melepaskan sistem sekolah berbeza yang dilaksanakan sekarang memandangkan ia menyumbang kepada masalah hubungan kaum di negara ini. Malah, katanya, sistem pendidikan kebangsaan diamalkan di 99 peratus negara di seluruh dunia, dan pola sedunia itu seharusnya turut menjadi amalan di Malaysia.

Saya masih ingat sewaktu bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris Kepala Batas (pada 1975 ditukar namanya kepada Sekolah Rendah Hashim Awang dan sekarang ditukar pula kepada Sekolah Kebangsaan Hashim Awang), sewaktu murid-murid Islam mengikuti pelajaran Pengetahuan Agama Islam, murid-murid berbangsa Tionghua ada kelas Bahasa Cina. Saya tidak ingat, ada atau tidak kelas Bahasa Tamil untuk murid-murid berbangsa India.

Sewaktu bertugas di Meja Pendidikan Berita Harian, saya pernah menyertai lawatan lawatan ke 12 institusi pendidikan tinggi di Melbourne, Canberra dan Sydney yang dianjurkan oleh IDP Education Australia. Program 12 hari pada Oktober 1998 itu turut disertai tiga lagi wartawan, masing-masing dari akhbar New Straits Times, Star dan Nanyang Siang Pau.

Sewaktu di Melbourne, kami berpeluang berjumpa dan mengadakan wawancara dengan Menteri Pelajaran Victoria ketika itu. Sistem pendidikan Australia bukan berpusat seperti di negara kita, sebaliknya ia adalah urusan kerajaan negeri masing-masing. Kami juga diberitahu bahawa sistem pendidikan di sana bukan saja tidak mempunyai kepelbagaian aliran seperti di negara kita, bahkan ketika itu, Kerajaan Victoria turut menyediakan peruntukan untuk pengajaran bahasa ibunda di sekolah. Bahkan murid-muridnya memang digalakkan untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

Pada hematnya, sudah tiba masanya untuk kita melihat isu ini secara objektif, sekiranya kita semua, rakyat Malaysia dan para pemimpin politik kita, benar-benar ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh mahu melihat penyatuan seperti yang kita laung-laungkan selama ini; bukan sekadar retorik.

Dengan mempunyai sistem persekolahan yang satu yang menggunakan bahasa pengantar yang satu iaitu bahasa kebangsaan kita, kita akan dapat mencapai banyak faedah dan manfaat untuk rakyat dan negara kita. Dengan itu, anak-anak kita, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang, akan belajar di bawah satu bumbung. Mereka boleh bergaul dan berinteraksi sesama mereka. Peluang itu membolehkan mereka memahami rakan-rakan mereka daripada bangsa, agama dan latar belakang yang berlainan.

Menerusi sistem persekolahan yang satu yang menggunakan bahasa pengantar yang satu itu, kita dapat memperkukuhkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan anak-anak kita, tidak kira siapa dan apa pun bangsa mereka kerana mereka adalah rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sepatutnya kita menguasai bahasa kebangsaan kita.

Menerusi sistem persekolahan yang satu yang menggunakan bahasa pengantar yang satu itu juga, selain subjek bahasa Inggeris, kerajaan boleh menawarkan bahasa ibunda dan bahasa asing lain, untuk semua murid. Dengan itu, bukan saja murid Tionghua dan India saja boleh mempelajari bahasa ibunda mereka sendiri, tetapi murid-murid Melayu juga boleh mempelajari bahasa ibunda rakan-rakan mereka jika mereka berkemahuan berbuat demikian.

Sebenarnya jika kita meninjau sejarah, memang itulah yang dihasratkan pemimpin-pemimpin negara kita yang terdahulu. Perkara itu dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Razak 1956 mengenai hasrat untuk mewujudkan sekolah yang mempunyai satu bahasa pengantar yang sama sebagai tempat menyatukan murid-murid di negara ini.

Saya bersetuju dengan kenyataan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, seperti dilaporkan Utusan Online bahawa hasrat yang murni itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik (political will) dalam kalangan ahli-ahli politik di negara kita.

Dan saya ingin menambah dengan mengulangi bahawa, selain itu, jika kita semua, rakyat Malaysia dan pemimpin-pemimpin politik, benar-benar ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh mahu melaksanakannya, bukan sekadar retorik. Perpaduan dan persefahaman tidak akan lahir dan menjadi kenyataan dengan sekadar angan-angan dan kata-kata, sebaliknya keinginan untuk berbuat demikian perlu terpahat dan tersemat kukuh di dalam hati dan dibuktikan dengan tindakan.

2 ulasan:

NOBISHA berkata...

satu catatan pengamatan yang baik. saya juga menulisnya di http://nobisha.blogspot.com jemputlah membaca.

Alias Mohd Yusof berkata...

Kita perlukan keberanian politik untuk melakukannya, kebanyakan orang politik menjadikan isu satu sekolah vernacular ini untuk meraih keuntungan politik mereka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)