PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Isnin, 12 Januari 2009

Boleh pun kerja lebih efisien!

Oleh Mohd Fuad Razali

SEMALAM anak kedua saya mendaftar di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak. Anak saya yang baru tamat tingkatan lima dan sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu terpilih mengikuti pengajian di universiti berkenaan menerusi program Skim Pelajar Cemerlang Mara-UTP.

Dia akan mengikuti Program Teknologi Asas selama setahun. Jika berjaya menamatkan pengajian dalam program itu, dia akan meneruskan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi pada peringkat ijazah, selama tiga tahun, di universiti yang sama, insya Allah.

Sepanjang empat tahun di UTP itu, pengajiannya akan dibiaya oleh Mara. Terima kasih kepada Mara atas komitmen berterusan terhadap masa depan pendidikan anak-anak Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Saya sekeluarga tiba di UTP kira-kira jam 10 pagi untuk tujuan pendaftaran itu. Pendaftaran pelajar bermula di Bangunan Canselor, bangunan kaca yang dibuat menggunakan konsep terbuka. Cantik sungguh binaannya! Sebelum itu, sebaik kereta kami naiki sampai di balai pengawal, kami disambut sekumpulan pelajar bersama pengawal keselamatan UTP. Seorang fasilitator menghulurkan sebungkus gula-gula sebagai door gift.

Saya tertarik dengan kelancaran proses pendaftaran semalam. Hanya pelajar dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk mendaftar. Ibu bapa pula boleh melihat proses itu dari tempat duduk yang disediakan di dalam dewan. Untuk itu, ibu bapa boleh menaiki tangga di tepi dewan untuk ke tempat duduk berkenaan.

Sebelum memanjat tangga berkenaan, saya bertanya kepada seorang pelajar yang menjadi fasilitator Minggu Aluan Siswa, proses pendaftaran itu mengambil masa berapa lama. "Kira-kira 15 minit," katanya. Selepas itu saya pun membuka langkah memanjat tangga berhampiran pintu masuk ke dalam dewan.

Tidak ramai ibu bapa yang naik ke situ. Mungkin disebabkan terpaksa memanjat tangga. Jika tidak silap ingatan saya, tiga kali pusing juga untuk sampai ke atas. Mungkin sebab itu, ramai lebih suka menunggu di ruang legar.

Ada enam kuanter pendaftaran disediakan di dalam dewan itu. Setiap kaunter mempunyai ramai petugas. Ada kaunter mempunyai tujuh meja - maknanya tujuh petugaslah. Ada juga yang menyediakan lima meja. Pada masa sama, UTP turut menayangkan carta aliran pendaftaran pada skrin di dalam dewan itu.

Saya menjangkakan proses pendaftaran seorang pelajar mengambil masa tidak sampai 15 minit, sebenarnya. Sebab tak sempat pun panas punggung duduk di kerusi dalam dewan berkenaan, saya lihat anak saya sudah berjalan ke luar dewan.

Selepas itu, kami menuju ke asrama pula untuk pendaftaran penginapan. Sewaktu berjalan menuju ke tempat letak kereta untuk menuju ke asrama, tiga kali saya sekeluarga disapa oleh empat fasilitator, bertanyakan sama ada sudah selesai pendaftaran dan sudahkah mendaftar di asrama.

Asrama tidaklah jauh sangat dari Bangunan Canselor. Terletak betul-betul berdepan dengan masjid UTP dan bersebelahan tasik. Proses pendaftaran di asrama pun mudah. Kami pergi ke khemah pendaftaran yang disediakan di dataran asrama. Ada empat atau lima orang petugas di situ. Anak saya hanya memberitahu blok bangunan yang sudah ditetapkan untuknya, dan kemudian dia dikehendaki mengisi namanya dalam borang yang disediakan. Selepas itu, diberikan kunci bilik. Selesai.

Di bawah khemah yang sama juga, Koperasi UTP menjual alat-alat yang diperlukan pelajar seperti bantal, baldi, penyapu, mangga kunci. Malah, seterika, pemanas air dan basikal pun ada!
Selepas mendaftar di khemah itu, kami pun mengangkat beg anak saya ke biliknya di tingkat satu. Selepas itu, turun melihat dan membeli beberapa barang yang ada untuk keperluannya. Selepas menghantar barang-barang itu ke atas, jam 11.30 pagi kami ke luar ke Bandar Universiti untuk membeli beberapa barang lain lagi.

Jam 1 tengah hari kami kembali ke kampus itu. Selepas makan tengah hari bersama, kemudian naik menghantar barang-barangnya, kira-kira jam 2 petang kami sekeluarga balik ke rumah penginapan di Bandar Seri Iskandar.

Saya difahamkan jam 2 petang, program suai kenal (orientasi) sudah bermula. Ia dimulakan dengan sesi penerangan cara mengisi borang permohonan pinjaman Mara oleh pegawai Mara sendiri. Saya menelefon anak saya petang tadi dan dberitahu, semua pelajar ditunjukkan cara mengisi borang berkenaan. Borang-borang itu sudah diserahkan semalam juga.
Inilah yang membuatkan saya tertarik. Proses pendaftaran pun lancar, dan urusan permohonan pembiayaan pinjaman pun selesai. Tahniah kepada UTP dan Mara.

Mengikuti proses pendaftaran semalam, mengingatkan saya sewaktu saya mendaftar memasuki Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) di Serdang, Selangor pada 1982. Prosesnya mengambil masa, dari pagi hingga ke tengah hari. Bapa saya bersama jiran sekampung, Subki Haji Ahmad, yang menghantar saya ke UPM pada hari itu terpaksa menunggu berjam lamanya di luar dewan. Saya tidak tahu bagaimana kelancaran proses pendaftaran di UPM sekarang, kerana saya pun sudah 20 tahun meninggalkan universiti itu.
Mungkin ketika itu, pendaftaran masih secara manual. Tambahan pula pelajar yang memasuki UPM ketika itu, ramai. Jadi, hari pertama pendaftaran di universiti ketika itu biasanya memang merimaskan!

Ketika itu, saya hanya mendapat borang perjanjian dermasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dihantar bersama-sama surat tawaran kemasukan ke universiti. Baca sendirilah garis panduan yang disertakan mengenai cara nak mengisi borang berkenaan, tidak ada majlis taklimat seperti sekarang.

Apabila dah berada di universiti, pelajar dinasihatkan supaya rajin-rajinlah pergi ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan tengok papan kenyataan, jika belum dapat sebarang tawaran biasiswa atau pinjaman. Jika ada sebarang notis mengenai tawaran biasiswa atau pinjaman, minta borang pada HEP atau pada alamat yang tertera pada notis berkenaan.

Tetapi hari ini, kemajuan teknologi maklumat banyak mempermudahkan urusan pendaftaran pelajar memasuki universiti. Walau seramai mana pun pelajar yang memasukinya, urusannya dapat dipercepatkan. Malah ada yang sudah diselesaikan sebelum pelajar baru sampai ke laman universiti. Misalnya, yuran dibayar di kaunter bank, dan resitnya berserta borang jawapan menerima tawaran dan borang akujanji difakskan ke universiti terlebih awal. Jadi, pada hari pendaftaran hanya hendak menyerahkan salinan asalnya saja.

Saya teruja dengan kecekapan petugas-petugas di UTP semalam. Ia mengingatkan saya pada akhir Jun tahun lalu, sewaktu menghantar anak sulung saya memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Bandar Seri Iskandar, kira-kira satu kilometer dari UTP. Kelancara proses pendaftaran pelajar pada hari pertama juga tidak kurang hebatnya.

Saya masih ingat lagi, sebaik saja kereta kami sekeluarga tiba di balai pengawal UiTM, seorang fasilitator hanya bertanya, sama ada anak kami yang nak belajar di situ lelaki atau perempuan. Selepas memberitahu bahawa anak kami itu perempuan, dia menyerahkan kunci asrama sambil menunjukkan arah asrama. Jadi, kami pun terus ke asrama. Tiada sebarang pendaftaran, terus mengangkat beg masuk bilik.

Di dalam bilik, ada satu double decker dan satu katil bujang serta tiga meja belajar. Di atas setiap meja, sudah tersedia sebuah fail yang lengkap dengan borang untuk pendaftaran. Selepas mengisi borang itu, kira-kira jam 11.30 pagi, ada fasilitator yang datang memungutnya. Kemudian saya sekeluarga membawa anak saya ke Bandar Universiti untuk membeli barang keperluannya. Selepas makan tengah hari, kami kembali ke kampus jam 3 petang kerana program orientasi bermula jam 4.30 petang.

Semua ini membuktikan era dan cara bertugas di universiti sudah berubah. Selain kehadiran teknologi maklumat dan komunikasi, saya percaya keinginan dan kemahuan untuk berubah sudah tentu menjadi pendorong terbesar ke arah perubahan cara bekerja itu. Walau banyak mana pun kemudahan yang kita ada, jika kita tidak mahu berubah, perubahan tetap tidak akan berlaku. Jadi, pilihan untuk berubah atau tidak, terletak pada diri kita.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)