PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Rabu, 31 Disember 2008

Keputusan PMR: Terima kasih, cikgu!

MENGIKUT laporan Bernama Online, seramai 26,378 pelajar atau 5.96 peratus daripada 472,060 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil, meningkat daripada 5.65 peratus pada tahun lepas dan 4.83 peratus pada 2006.

Boleh dikatakan saban tahun, inilah keadaannya dan inilah keputusannya. Boleh dikatakan saban tahun jumlah pelajar yang mendapat A bagi semua mata pelajaran meningkat. Begitulah keadaannya sepanjang ingatan saya.

Tahniah kepada pelajar-pelajar yang mendapat A bagi semua subjek. Tahniah juga untuk ibu bapa pelajar-pelajar berkenaan yang sudah tentu memberikan segala sokongan yang diperlukan untuk memastikan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.

Dan ucapan yang sama juga seharusnya diberikan kepada guru-guru di seluruh negara. Kejayaan ini tidak mungkin dapat dilakarkan tanpa mereka. Walaupun sesetengah pihak mungkin memandang sinis terhadap guru-guru, hakikatnya tanpa guru siapalah kita pada hari ini - sekurang-kurangnya kita boleh membaca, menulis, dan mengira, dan sekarang pandai pula menyampaikan pandangan dan buah fikiran melalui blog. Semua asas ini tentulah dibina oleh guru-guru.

Ya, sesetengah pihak mungkin sinis disebabkan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir guru. Bak kata peribahasa, ada sekelompok guru yang menjadi kerbau membawa lumpur menyebabkan habis semua guru terpalit. Bagaimanapun, kita percaya, masih ramai lagi guru yang sebenarnya komited dengan tugas dan tanggungjawab mereka, berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan anak-anak didik mereka di dalam pelajaran, sekalipun mereka sendiri berdepan dengan pelbagai desakan dan tekanan.

Kepada pelajar-pelajar yang berjaya mencapai apa yang diimpikan, bersyukurlah dan berterima kasihlah kepada ibu bapa di atas segala sokongan dan pengorbanan mereka; berterima kasihlah kepada guru-guru di atas segala tunjuk ajar dan asuhan yang telah diberikan.

Kepada mereka yang tidak berjaya mencapainya janganlah pula berputus asa. PMR bukanlah akhiran segala-galanya. Apa pun keputusan yang diperoleh dalam PMR, pelajar-pelajar tetap dapat meneruskan persekolahan ke tingkatan empat. Apa yang penting adalah mengambil pengajaran daripada keputusan yang diperoleh. Tentu ada sebab mengapa pelajar-pelajar belum berjaya mencapainya (bukan gagal!).

Sesi persekolahan 2009 akan dibuka beberapa hari saja lagi. Sementara menunggu menjelang hari pertama persekolahan itu, gunakanlah waktu yang ada ini untuk merenung sejenak dan melakukan muhasabah diri. Lihat kelemahan dan kesilapan masa lalu dan perbaiki. Lihat juga kekuatan pada diri sendiri dan pertahan serta pertingkatkan.

Ingatlah, tidak berjaya mendapat A bagi semua subjek atau tidak mendapat A langsung dalam semua subjek, ataupun mendapat E bagi semua subjek, tidak berjaya pelajar-pelajar ini telah gagal dalam hidup mereka. Ibu bapa tidak seharusnya berasa kecewa dengannya. Yang penting, apabila sesi persekolahan 2009 bermula nanti, pelajar-pelajar dan ibu bapa harus lebih bersemangat untuk menebusnya. Berikan sokongan berterusan untuk anak-anak kita.

Ahad, 21 Disember 2008

PPSMI: Antara kepentingan memberi pendidikan dan menguasai bahasa Inggeris

MEDIA massa arus perdana baru-baru ini melaporkan Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang berakhir di Putrajaya, semalam, merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.

Tujuh pilihan itu ialah:
1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Pilihan itu dirumuskan selepas lima sesi Persidangan Meja Bulat PPSMI diadakan, yang disertai tokoh akademik, penyelidik, parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pakar dari Lembaga Pentaksiran dan Kurikulum Victoria, Australia (VCAA), William Perrin, turut menyertai persidangan semalam.

Ia diadakan bagi meneliti serta membahaskan semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan PPSMI yang mencetuskan kontroversi berikutan desakan sesetengah supaya kerajaan mengkaji semula pelaksanaannya.

Secara peribadi, saya lebih cenderung menyokong saranan supaya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik kembali dilaksanakan sepenuhnya di sekolah - rendah dan menengah - dalam bahasa kebangsaan seperti sebelum PPSMI dilaksanakan.

Kita akui kepentingan kita dan anak-anak kita menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sesuai dengan kedudukannya yang menjadi bahasa penting peringkat antarabangsa, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Bahkan saya menyokong untuk anak-anak kita mempelajari, bukan sahaja bahasa kedua, bahkan bahasa ketiga, keempat, dan berapa banyak lagi bahasa yang mereka mampu.

Bagaimanapun saya berpendapat, ada perkara yang lebih besar dan penting daripada itu iaitu kepentingan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak kita. Saya berpendapat ini jauh lebih penting demi menunaikan tanggungjawab kita memastikan anak-anak kita menjadi orang yang berilmu atau celik ilmu termasuk dalam bidang sains dan matematik. Saya percaya jika anak-anak kita subjek Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan, walaupun tidak semua akan melanjutkan pelajaran ke universiti, sekurang-kurangnya mereka celik dan memahami apa itu sains dan matematik; setidak-tidaknya mereka memahami beberapa fenomena dalam sains dan matematik.

Kita semua tentu masih ingat, sewaktu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan serta diajar dalam bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), murid-murid yang bersekolah di sekolah kebangsaan selalu dikatakan lemah, dan sangat lemah, dalam kedua-dua subjek itu berbanding rakan-rakan mereka di SJKC dan SJKT. Dan murid-murid yang belajar di sekolah kebangsaan ini, terutama di kawasan luar bandar, juga sering dilaporkan juga lemah dalam bahasa Inggeris.

Jika sewaktu belajar dalam bahasa kebangsaan pun, mereka dikatakan lemah dalam Sains dan Matematik, dan pada masa yang sama, mereka juga dikatakan lemah dalam bahasa Inggeris, maka bagaimanakah murid sedemikian dapat meningkatkan kefahaman mereka dalam Sains dan Matematik jika mereka mempelajarinya dalam bahasa Inggeris? Dan itulah realitinya yang berlaku di peringkat akar umbi.

Malah sejak pelaksanaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dilaksanakan di semua peringkat persekolahan dan universiti, terutama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kita menyaksikan bilangan guru Melayu yang mengajar sains dan matematik semakin bertambah, sedangkan sebelum itu, boleh dikatakan pengajaran subjek sains dan matematik didominasi oleh guru bukan Melayu. Begitu dengan kemasukan pelajar Melayu ke universiti semakin bertambah sejak pelaksanaan dasar berkenaan. Bahkan, ramai profesor di universiti tempatan yang dihasilkan menerusi dasar berkenaan kini mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Bagaimanapun, maklum balas guru-guru yang bertugas di sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, sejak pelaksanaan PPSMI menunjukkan wujud permasalahan. Sebahagian guru-guru yang selama ini mengajar sains dan matematik menggunakan bahasa kebangsaan mendapati kesukaran untuk mengajarkan kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris. Ini mungkin ada kaitan dengan kemampuan mereka sendiri untuk menguasai bahasa Inggeris. Dengan itu, menyebabkan mereka merasakan pengajaran dalam kelas tidak lagi menyeronokkan. "Kita nak buat lawak dalam kelas menggunakan bahasa Inggeris pun kita tak reti!" kata seorang rakan guru.

Walaupun guru-guru yang mengajar subjek sains dan matematik diberikan elaun kerana mengajarkan kedua-dua subjek yang dikatakan kritikal itu bahasa Inggeris, atas alasan untuk memberi galakan dan sebagai insentif supaya mereka meningkatkan penguasaan dalam bahasa itu, persoalannya, adakah apa yang diharapkan itu berlaku? Siapakah yang memastikan guru-guru terbabit benar-benar menggunakan insentif yang diberikan itu untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka? Dan kita juga tidak boleh mengambil jalan mudah dengan cara meminta guru yang mahir berbahasa Inggeris mengajar sains dan matematik jika mereka tidak terlatih dalam kedua-dua subjek berkenaan.

Di pihak pelajar pula, mengikut maklum balas guru-guru, tidak tahu apa yang hendak ditanya kerana mereka pun tidak faham apa yang diajarkan. Saya tidak mengatakan semua pelajar demikian. Keadaan mungkin berlainan bagi pelajar yang tinggal di bandar terutamanya dan yang mempunyai ibu bapa berkelulusan tinggi. Tetapi bagaimana pula halnya dengan pelajar di kawasan luar bandar dan ibu bapa yang tidak berkelulusan tinggi?

Oleh itu, saya berpendapat masalah penguasaan dalam bahasa Inggeris serta penguasaan sains dan matematik adalah dua isu yang berbeza. Setiap satu ada jalan penyelesaiannya sendiri, dan tidak seharusnya dicampuradukkan.

Saya juga tertarik dengan satu kenyataan dalam laporan berkenaan yang menyebutkan bahawa PPSMI yang bermatlamat meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam bahasa Inggeris dimulakan dengan projek perintis lima tahun pada 2003.

Saya masih berada di Berita Harian sewaktu isu hendak melaksanakan PPSMI hangat dibincangkan. Sepanjang ingatan saya tidak pernah wujud apa yang disebutkan sebagai projek perintis selama lima tahun itu kerana jika wujud projek perintis seperti dilaporkan itu sudah tentulah hanya beberapa sekolah saja dipilih sebagai percubaan pelaksanaan PPSMI sehingga 2007 yang lalu, tetapi hakikatnya semua mengetahui bahawa pelaksanaan dasar dilaksanakan di semua di seluruh negara pada tahun berkenaan.

Cuma yang berbeza adalah cara pelaksanaannya. Mengikut idea atau cadangan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, PPSMI dilaksanakan pada semua peringkat semua pelajar iaitu tahun satu hingga tingkatan enam atas. Bagaimanapun, perbincangan yang dibuat pada peringkat Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran) memutuskan ia dilaksanakan secara bertahap iaitu bermula dengan tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah.

Saya rasa, wartawan yang membuat liputan dan laporan perlu menyemak semula fakta berkenaan atau Kementerian Pelajaran patut menyatakan fakta sebenar mengenainya.

Seperkara lagi yang menimbulkan tanda tanya adalah mengapa sewaktu PPSMI hendak dilaksanakan, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) diberi kelonggaran atau kebenaran menggunakan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin bagi mengajar sains dan matematik, sedangkan sekolah kebangsaan pula 'dipaksa' menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya bagi kedua-dua subjek berkenaan?

Isnin, 8 Disember 2008

Salam 'Idil Adha

SELAMAT menyambut 'Idil Adha kepada semua rakan-rakan dan pengunjung blog ini. Mudah-mudahan Allah meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita serta mendorongkan kita untuk meningkatkan amal kita, meningkatkan lagi hubungan kita dengan-Nya dan sesama insan di seluruh muka bumi ini.

Kepada semua warga pendidik, tidak kira di institusi mana dan lokasi mana pun anda berada, jasa dan pengorbanan anda akan sentiasa dikenang dan tidak terbilang - jasa untuk memastikan anak bangsa dan anak Malaysia menjadi orang yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

Selamat menyambut 'Idil Adha.

Ahad, 7 Disember 2008

Pengajian tinggi Malaysia ada potensi besar di Kuwait

BERNAMA Online semalam melaporkan bahawa pengajian tinggi yang dieksport adalah antara dua bidang di Malaysia yang mempunyai potensi besar di Kuwait. Satu lagi bidang yang mempunyai potensi yang sama ialah pelancongan. Laporan memetik Duta Malaysia ke Kuwait, Datuk Ashaary Sani, sebagai berkata kedua-dua bidang itu mempunyai potensi besar berikutan penerimaan yang sangat baik oleh rakyat Kuwait terhadap imej dan nama baik Malaysia di mata dunia.

Ashaary juga dilaporkan berkata bahawa Kedutaan Malaysia di Kuwait sering menerima kunjungan badan serta agensi berkaitan serta orang perseorangan yang mahu mengetahui peluang serta kemudahan pendidikan dan pengajian tinggi yang ditawarkan oleh Malaysia. Bidang pengajian kejuruteraan, sains dan teknologi adalah bidang yang menjadi pilihan pelajar Kuwait.

Katanya, dalam hubungan dua hala Malaysia-Kuwait, ada sejumlah pelajar Malaysia ditawarkan belajar di negara itu dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Kuwait tetapi jumlahnya masih kecil.

“Saya juga percaya ramai pelajar Kuwait meneruskan pengajian di peringkat tinggi di universiti kita di Malaysia kerana standard yang tinggi dalam pendidikan yang ditawarkan oleh negara kita. Pelajar-pelajar dari Kuwait kebanyakannya adalah atas pembiayaan sendiri dan ada juga tajaan-tajaan swasta," katanya.

Beliau berkata, dengan pertukaran mata wang Kuwait yang sangat mahal iaitu 1 Kuwait Dinar (KD) bersamaan dengan RM13, maka sektor pendidikan terutama di peringkat pengajian tinggi menjadi kelebihan kepada Malaysia untuk menarik lebih ramai pelajar Kuwait.

Berdasarkan kenyataan itu, saya menjangkakan apa yang dimaksudkan oleh Ashaary adalah peluang bagi universiti-universiti tempatan untuk mengembangkan sayap mereka ke Kuwait, sama ada dengan cara menawarkan program pengajian atau menubuhkan kampus cawangan di negara berkenaan. Hal ini rasanya tidak memerlukan huraian yang panjang lagi, kerana saya percaya pengurusan dan pengusaha universiti tempatan, baik awam mahupun swasta, lebih memahaminya.

Sebenarnya sejak tercetusnya peristiwa 11 September, pelajar Islam, terutama dari negara Timur Tengah, memang menghadapi kesukaran untuk mendapat tempat bagi menyambung pengajian mereka di Barat berikutan tanggapan negatif yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Sejak itu, masyarakat dan kerajaan negara Timur Tengah cuba mengalih perhatian mereka ke negara di rantau Asia, termasuk Malaysia.

Selain keadaan budaya dan iklimnya yang sesuai dengan cara hidup masyarakat di sana, kepelbagaian kursus pengajian serta kos pengajian dan sara hidup yang relatifnya lebih rendah berbanding dengan negara Barat yang selama ini menjadi tumpuan masyarakat dan kerajaan negara Timur Tengah turut menjadi tarikan utama.

Memang sudah sewajarnya bagi universiti tempatan untuk cuba meneroka pasaran baru di luar negara. Setidak-tidaknya langkah itu dapat meletakkan pendidikan di negara ini standing dengan negara-negara lain di dunia. Bagaimanapun, kita berharap universiti yang berhasrat berbuat demikian mempertahankan standard dan kualiti pendidikan yang ditawarkan supaya tidak menjejaskan kepercayaan orang luar terhadap imej dan nama baik negara di mata dunia.

Khamis, 4 Disember 2008

Satu sistem persekolahan III: Reaksi Menteri Pelajaran

SEWAKTU melayari laman berita Bernama, malam ini, saya terbaca laporan mengenai reaksi Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berhubung tanggapan yang dibuat pelbagai pemimpin bukan Melayu dalam pertubuhan bukan kerajaan dan badan politik terhadap cadangan Datuk Mukhriz Mahathir.

Reaksi itu juga nampaknya menarik untuk renungan kita bersama. Saya perturunkannya di sini untuk manfaat pengunjung blog ini:

Kenyataan Mukhriz Wujud Sekolah Satu Aliran Tiada Unsur Perkauman, Kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kenyataan Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir berhubung sekolah satu aliran telah dipolemikkan dan dikelirukan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malah kenyataan Exco Pemuda Umno itu langsung tidak ada unsur berbaur perkauman, kata Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno pada sidang berita di ruang legar Parlimen di sini hari ini.

" Perkara ini menjadi kekeliruan kerana pihak pembangkang mengaitkannya dengan isu kaum yang telah menimbulkan emosi, dan tiadak ada dikaitkan dengan kaum kerana ia melibatkan empat jenis sekolah dalam satu aliran bantuan kerajaan yang agak unik berbanding negara lain," katanya.

Hishammuddin berkata demikian bagi mengulas saranan Mukhriz Isnin lepas di Dewan Rakyat supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

"Memang hasrat semua pihak untuk mewujudkan sekolah satu aliran, tetapi nak mempolemik dan mengaitkan dengan perkauman tidak ada asas kerana empat jenis sekolah di bawah bantuan kerajaan ini merangkumi orang Melayu, Cina, Kristian dan India," kata Hishammuddin.

Beliau berkata bagi mewujudkan sekolah satu aliran, ia memerlukan kerajaan mengambil kira semua isu-isu berkaitan termasuk mengambil kira status tanah, kedudukan guru, peruntukan sekolah dan konsensus yang perlu diwujud untuk mengatasi semua isu tersebut.

"Kenyataannya sekolah satu aliran ini telah pun dibincangkan sejak merdeka lagi, ia bukan satu isu yang baru dan secara ideal kita mengharapkan satu sistem untuk memuaskan hati semua pihak," katanya.

Hishammuddin berkara perkara yang perlu menjadi kepentingan pada masa ini adalah untuk memperkasakan sekolah kebangsaan yang merupakan teras ketiga di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), dan memastikan terdapatnya rangkaian antara dua aliran sekolah, iaitu aliran perdana dan sekolah bantuan kerajaan.

Katanya semangat patriotisme dan toleransi telah disuntik melalui kedua-dua jenis sekolah itu sepertimana yang sedang dilaksanakan di bawah PIPP selain membina sekolah bangsa, melahirkan modal insan, dan seterusnya sekolah aliran berkenaan tidak dilihat dalam satu kaum sahaja.

"Dalam keadaan ekonomi dunia kini, kalau (ada isu yang) kita tidak ditangani dengan baik jangan harap kita dapat mempertahankan apa jua sekolah yang ada, dan ini merupakan tugas bersama untuk menanganinya termasuk pembangkang dan juga kerajaan, Umno dan parti komponen BN yang lain," katanya.

Hishammuddin berkata jumlah sekolah yang terdapat di negara mengikut jenis ialah Sekolah Kebangsaan 5,831 buah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (889 buah), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (374), Sekolah Mubaligh (410) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (154).

Satu sistem persekolahan II: Pandangan Ridhuan Tee

ISU berhubung cadangan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir supaya kerajaan melaksanakan sistem persekolahan yang satu yang menggunakan bahasa pengantar yang sama bagi mencapai matlamat perpaduan dan menyelesaikan masalah polarisasi kaum, terus mendapat perhatian akhbar Utusan Malaysia.

Hari ini, pada muka depannya, akhbar itu menyiarkan reaksi pelbagai pemimpin bukan Melayu dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bukan saja tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, bahkan menyifatkannya sebagai bersifat perkauman pula.

Bagaimanapun, yang menarik perhatian saya adalah rencana yang ditulis oleh Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, yang disiarkan pada halaman 10 dalam akhbar yang sama, hari ini. Walaupun rencana itu pada asalnya bertujuan mengulas mengenai isu ketuanan Melayu yang dibangkitkan pemimpin Cina, pada bahagian akhir rencananya, beliau turut menyentuh mengenai cadangan Mukhriz itu.

Saya rasa elok kita renungkan pengakuan yang saya kira dibuat secara telus dan jujur oleh seorang anak kelahiran Malaysia berbangsa Cina berhubung itu berkenaan. Saya petik tulisan beliau seperti berikut:

Ini bukanlah isu baru dan bukan mudah untuk menghapuskan sekolah vernakular yang telah menjadi agenda politik tuntut-menuntut dan ugut-mengugut.

Orang Cina akan menggunakan isu ini untuk mendapatkan political mileage dalam BN dan Pakatan Rakyat. BN dan Pakatan Rakyat terpaksa tundukkepada ugutan ini demi survival politik.

Saya tidaklah menyokong sangat saranan Mukhriz ini, tetapi pengalaman saya memimpin PIBG di sekolah yang majoritinya pelajar Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), menyebabkan saya terpaksa bersependapat dengan Mukhriz, walaupun ia amat pahit untuk diluahkan sebagai seorang berbangsa Cina.

Kebanyakan pelajar vernakular tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu, apatah lagi bahasa Inggeris. Akhirnya, mereka tidak bergaul dengan pelajar-pelajar Melayu dan seterusnya ketinggalan dalam pelajaran apabila sampai ke peringkat menengah.

Saya cukup teruja apabila Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali begitu mempertahankan sekolah vernakular agar setanding dengan sekolah kebangsaan, dalam perbahasan Parlimen baru-baru ini.

Persoalannya, pernahkah Azmin membuat kajian kemampuan berbahasa Melayu dan tahap integrasi di kalangan pelajar di sekolah-sekolah vernakular? Sekadar mendengar aduan dan pergi membuat lawatan ke sekolah vernakular selaku Yang Berhormat adalah tidak mencukupi.

Cubalah menyelidiki dan berkomunikasi dengan pelajar-pelajarnya. Saya berani beri jaminan bahawa sebahagian besar pelajar SJKC/T tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Ramai yang langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

Inilah akibatnya apabila sistem pendidikan diasing-asingkan dan dipolitikkan. Matlamat perpaduan nasional masih terlalu jauh untuk dicapai, apatah lagi untuk menanamkan semangat patriotik yang tinggi.

Justeru, sudah sampai masanya kita jangan terlalu berpolitik sesama sendiri sehingga melupakan kepentingan masa depan negara yang lebih besar.

Selasa, 2 Disember 2008

Satu sistem persekolahan

UTUSAN Online hari ini melaporkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan bagi menyatupadukan rakyat dan mengelak polarisasi kaum di negara ini.

Antara cadangannya itu ialah:
1. Semua sekolah pelbagai jenis (aliran) diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan kecuali bagi subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.
2. Murid-murid diwajibkan belajar bahasa ibunda mereka iaitu Mandarin bagi kaum Cina dan Tamil bagi kaum India.
3. Di bawah sistem ini, pelajar Melayu diberi pilihan untuk mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil.

Mukhriz dilaporkan berkata, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia untuk melepaskan sistem sekolah berbeza yang dilaksanakan sekarang memandangkan ia menyumbang kepada masalah hubungan kaum di negara ini. Malah, katanya, sistem pendidikan kebangsaan diamalkan di 99 peratus negara di seluruh dunia, dan pola sedunia itu seharusnya turut menjadi amalan di Malaysia.

Saya masih ingat sewaktu bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris Kepala Batas (pada 1975 ditukar namanya kepada Sekolah Rendah Hashim Awang dan sekarang ditukar pula kepada Sekolah Kebangsaan Hashim Awang), sewaktu murid-murid Islam mengikuti pelajaran Pengetahuan Agama Islam, murid-murid berbangsa Tionghua ada kelas Bahasa Cina. Saya tidak ingat, ada atau tidak kelas Bahasa Tamil untuk murid-murid berbangsa India.

Sewaktu bertugas di Meja Pendidikan Berita Harian, saya pernah menyertai lawatan lawatan ke 12 institusi pendidikan tinggi di Melbourne, Canberra dan Sydney yang dianjurkan oleh IDP Education Australia. Program 12 hari pada Oktober 1998 itu turut disertai tiga lagi wartawan, masing-masing dari akhbar New Straits Times, Star dan Nanyang Siang Pau.

Sewaktu di Melbourne, kami berpeluang berjumpa dan mengadakan wawancara dengan Menteri Pelajaran Victoria ketika itu. Sistem pendidikan Australia bukan berpusat seperti di negara kita, sebaliknya ia adalah urusan kerajaan negeri masing-masing. Kami juga diberitahu bahawa sistem pendidikan di sana bukan saja tidak mempunyai kepelbagaian aliran seperti di negara kita, bahkan ketika itu, Kerajaan Victoria turut menyediakan peruntukan untuk pengajaran bahasa ibunda di sekolah. Bahkan murid-muridnya memang digalakkan untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

Pada hematnya, sudah tiba masanya untuk kita melihat isu ini secara objektif, sekiranya kita semua, rakyat Malaysia dan para pemimpin politik kita, benar-benar ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh mahu melihat penyatuan seperti yang kita laung-laungkan selama ini; bukan sekadar retorik.

Dengan mempunyai sistem persekolahan yang satu yang menggunakan bahasa pengantar yang satu iaitu bahasa kebangsaan kita, kita akan dapat mencapai banyak faedah dan manfaat untuk rakyat dan negara kita. Dengan itu, anak-anak kita, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang, akan belajar di bawah satu bumbung. Mereka boleh bergaul dan berinteraksi sesama mereka. Peluang itu membolehkan mereka memahami rakan-rakan mereka daripada bangsa, agama dan latar belakang yang berlainan.

Menerusi sistem persekolahan yang satu yang menggunakan bahasa pengantar yang satu itu, kita dapat memperkukuhkan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan anak-anak kita, tidak kira siapa dan apa pun bangsa mereka kerana mereka adalah rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sepatutnya kita menguasai bahasa kebangsaan kita.

Menerusi sistem persekolahan yang satu yang menggunakan bahasa pengantar yang satu itu juga, selain subjek bahasa Inggeris, kerajaan boleh menawarkan bahasa ibunda dan bahasa asing lain, untuk semua murid. Dengan itu, bukan saja murid Tionghua dan India saja boleh mempelajari bahasa ibunda mereka sendiri, tetapi murid-murid Melayu juga boleh mempelajari bahasa ibunda rakan-rakan mereka jika mereka berkemahuan berbuat demikian.

Sebenarnya jika kita meninjau sejarah, memang itulah yang dihasratkan pemimpin-pemimpin negara kita yang terdahulu. Perkara itu dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Razak 1956 mengenai hasrat untuk mewujudkan sekolah yang mempunyai satu bahasa pengantar yang sama sebagai tempat menyatukan murid-murid di negara ini.

Saya bersetuju dengan kenyataan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, seperti dilaporkan Utusan Online bahawa hasrat yang murni itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik (political will) dalam kalangan ahli-ahli politik di negara kita.

Dan saya ingin menambah dengan mengulangi bahawa, selain itu, jika kita semua, rakyat Malaysia dan pemimpin-pemimpin politik, benar-benar ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh mahu melaksanakannya, bukan sekadar retorik. Perpaduan dan persefahaman tidak akan lahir dan menjadi kenyataan dengan sekadar angan-angan dan kata-kata, sebaliknya keinginan untuk berbuat demikian perlu terpahat dan tersemat kukuh di dalam hati dan dibuktikan dengan tindakan.

Isnin, 1 Disember 2008

Peperiksaan oh peperiksaan!

KADANGKALA saya sendiri terfikir banyak benda yang pelik berlaku dalam dunia pendidikan formal kita. Yang lebih pelik lagi apabila yang melakukan yang pelik-pelik itu adalah dalam kalangan pendidik sendiri.

Hari ini sebaik saja selesai makan malam bersama keluarga, anak lelaki saya yang baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menceritakan mengenai perangai seorang guru di sekolahnya.

Topik asalnya berkisar mengenai mata pelajaran Bahasa Arab di sekolah. Anak perempuan saya yang belajar di tingkatan dua memberitahu dia mendapat markah 99 peratus bagi subjek Bahasa Arab dalam peperiksaan akhir tahun ini.

Memandangkan kedua-dua anak saya itu pernah belajar Bahasa Arab sewaktu di sekolah rendah, maka mereka merasakan sukatan pelajaran yang dipelajari di tingkatan satu hingga tiga agak senang. Tetapi bagi rakan sebaya mereka yang hanya mula mempelajarinya selepas memasuki sekolah menengah, tentulah merasakan agak susah.

Bagaimanapun, yang menarik perhatian saya adalah apabila anak lelaki saya menceritakan mengenai tindakan dan kenyataan guru Bahasa Arab di sekolahnya. Perkara itu berlaku sewaktu dia di tingkatan tiga.

Mengikut ceritanya, apabila mendapati ramai pelajar yang mengambil subjek Bahasa Arab lulus dengan markah yang tinggi, ustazah berkenaan berkata, “Saya akan pastikan dalam peperiksaan akan datang, ramai yang tidak lulus.” Saya terkejut mendengar cerita itu. Khabarnya peperiksaan itu adalah peperiksaan dalaman sekolah berkenaan, bukan peperiksaan percubaan atau peperiksaan yang diselaraskan pada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.

Mengikut cerita anak lelaki saya lagi, memanglah pelajar boleh lulus dengan markah tinggi kerana di sekolah yang sama juga, ada seorang ustazah lain, yang pernah mengajarnya terlalu ‘pemurah’ hingga sanggup memberi ‘clue’ mengenai soalan yang akan keluar dalam peperiksaan itu. Jika benarlah kejadian seperti itu berlaku, saya kira ia adalah amat malang bagi sistem pendidikan kita. Tidak kira di sekolah mana pun ia berlaku.

Saya berkata kepada anak saya bahawa saya tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua ustazah berkenaan. Sebagai pendidik, guru tidak seharusnya mempunyai sikap mahu melihat ramai pelajarnya tidak lulus peperiksaan. Apatah lagi mengharap dan mendoakan sedemikian. Walaupun mungkin dia maksudkan sebaliknya iaitu supaya pelajarnya berusaha lebih gigih, seorang pendidik tidak wajar mengeluarkan kata-kata sedemikian. Kerana pelajar dan ibu bapa tidak dapat menilai apa yang sebenarnya ada di dalam hatinya, tetapi menilai berdasarkan kata-kata yang diucapkannya.

Saya pernah mendengar ada sesetengah guru yang memang berasa bangga jika ramai pelajarnya gagal dalam ujian mahupun peperiksaan yang dijalankannya. Kononnya itu menunjukkan dia guru yang hebat. Buktinya pelajar sukar lulus. Itu persepsi dirinya saja. Guru sebegini lupa bahawa orang lain boleh mempunyai persepsi yang berbeza. Orang lain mungkin melihat keadaan itu sebagai tanda kegagalan guru berkenaan. Guru itu tidak pandai mengajar, sebab itu ramai pelajarnya gagal!

Sebenarnya guru tidak perlu sezalim itu untuk menunjukkan kehebatan dirinya. Bagi saya, guru sedemikian sebenarnya bukan orang hebat tetapi angkuh tidak bertempat. Bagi saya, guru sepatutnya berasa gusar apabila ramai pelajarnya gagal dalam subjek yang diajarnya. Ketika itu, dia sepatutnya bertanya pada dirinya, apakah puncanya? Adakah mereka tidak faham apa yang diajarnya selama ini?

Guru dalam ertikata sebenarnya sentiasa mengharapkan dan mendoakan pelajarnya mencapai kejayaan. Jika mereka dapat markah yang tinggi, dia lagi suka! Alhamdulillah. Ia menunjukkan mereka faham pengajarannya. Bukankah itu bukti pengajarannya berkesan?

Tetapi itu tidak pula bermakna guru perlu membocorkan soalan peperiksaan semata-mata mahu memastikan semua pelajar mendapat markah tinggi kerana itu juga bukan caranya. Pelajar memanglah suka tetapi sampai bila mereka harus diajar sedemikian rupa? Bagi saya, tindakan guru membocorkan soalan adalah tindakan orang yang singkat pemikiran dan sebenarnya mengajar serta menggalakkan pelajar membuat perkara yang salah. Bukankah membocorkan soalan adalah satu kesalahan? Jadi, hairankah kita apabila anak-anak kita memasuki alam pekerjaan dan menjadi pembocor rahsia? Bagaimana pula jika mereka membocorkan rahsia keselamatan negara?

Bagi saya, guru yang membocorkan soalan peperiksaan hanya mahu menutup kelemahan dirinya dan takut disoal oleh pengurusan sekolah. Guru sepatutnya berlaku adil pada dirinya sendiri dan pelajarnya. Guru sepatutnya melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan sepenuh hati serta melakukan yang terbaik untuk memastikan pelajarnya faham segala pengajarannya. Kemudian menguji mereka dengan kaedah yang adil dan bersesuaian. Dia tidak perlu membocorkan soalan ataupun sengaja menanyakan soalan yang dia sendiri tahu pelajarnya memang tidak boleh menjawabnya. Dengan itu, ujian dan peperiksaan boleh menjadi bahan refleksi diri untuk guru mahupun pelajarnya.

Saya katakan kepada anak saya, kata-kata yang dilafazkan oleh ustazah berkenaan dan tindakan membocorkan soalan yang dilakukannya, menunjukkan guru itu tidak faham mengenai konsep bekerja sebagai ibadah. “Abah lagi kesal kerana yang mengeluarkan kata-kata sedemikian dan membocorkan soalan itu pula adalah ustazah!” kata saya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)