Oleh Mohd Fuad Razali
HARI ini, sudah sembilan hari Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Dalam tempoh seminggu saja mengambil alih jawatan berkenaan, Najib telah menyenaraikan barisan kabinetnya. Senarai yang dikeluarkan akhbar pada hari selepas pengumuman kabinet itu, sama seperti yang diumumkan oleh Najib pada petang Khamis lalu, yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen ke seluruh negara. Maknanya, tidak ada nama yang tercicir atau tidak disebutkan sewaktu pengumuman itu.
Saya tidak berhasrat untuk mengulas mengenai barisan kabinet itu, tetapi yang nak saya katakan bahawa begitulah Najib yang saya kenali sewaktu saya bertugas di akhbar Berita Harian dulu. Daripada cara gaya pengumuman yang dibuat Khamis lepas, nampaknya Najib memang masih seorang yang berhati-hati dan teliti.
Saya mula mengenali Najib dan mengikuti beliau untuk membuat laporan mengenainya sewaktu dia dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada 1995. Saya masih ingat lagi, dalam tempoh kira-kira tiga bulan saja, saya boleh katakan Najib telah memahami mengenai hal ehwal di kementerian itu. Sebelum itu, beliau adalah Menteri Pertahanan.
Saya katakan demikian kerana ia terbukti daripada ucapan yang disampaikannya serta cara beliau menjawab soalan-soalan yang dikemukakan wartawan kepadanya. Saya masih ingat, kira-kira tiga bulan selepas menjawat jawatan itu, pada suatu petang beliau dijemput untuk berucap pada satu majlis penyampaian biasiswa di ibu negara. Beliau tampil ke rostrum tanpa membawa, membuka dan membaca sebarang teks seperti kebiasaan. Dan dia berucap dengan lancar dan benar-benar membuktikan Najib adalah seorang Menteri Pendidikan.
Najib juga bagi saya, seorang ahli politik yang bijak memanfaatkan hubungannya dengan media massa. Seboleh mungkin dia akan 'membekalkan' wartawan berita yang ada kaitan dengan topik yang menjadi perbincangan pada majlis yang dirasmikannya. Misalnya, sewaktu beliau menghadiri seminar mengenai pendidikan bahasa Inggeris, pada waktu itulah beliau membuat pengumuman mengenai pemansuhan peperiksaan Bahasa Inggeris 1119. Dengan pemansuhan itu, pelajar SPM yang bercadang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara, tidak perlu lagi menduduki dua subjek bahasa Inggeris, tetapi memadai dengan satu subjek saja iaitu yang digubal oleh Kementerian Pendidikan. Sejak itu juga, kertas bahasa Inggeris SPM diberikan dua gred iaitu satu gred berdasarkan pemeriksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan satu lagi gred berdasarkan pemeriksaan oleh Lembaga Peperiksaan Cambridge. Itu berlaku sewaktu Najib baru menjadi Menteri Pendidikan.
Sejak itu, saya dapati setiap kali beliau akan menghadiri sesuatu majlis, wartawan sudah boleh menjangkakan apakah topik yang akan diperkatakannya, dan boleh mengharapkan ada berita mengenainya daripadanya. Walaupun Najib mempunyai acara yang perlu dihadirinya setiap hari, beliau tidak pernah kering dengan berita. Buktinya, seboleh mungkin Najib lebih suka 'mengehadkan' sidang media yang diadakannya dengan satu berita saja. Apabila ditanya mengenai topik lain, beliau selalu pandai mengelak. Sambil tersenyum, Najib akan berkata, "Itu lain kalilah. Saya perlukan press setiap hari."
Tetapi sebagai seorang yang merendah diri, sesekali Najib pernah juga bergurau dengan wartawan. Sewaktu duduk di kerusi pada sidang media melihat wartawan meletakkan pita rakaman, sambil tersenyum, Najib akan berkata, "You orang nak tanya apa lagi ni? Semalam dah bagi dah (bagi berita!)."
Dan ingatannya juga kuat. Nampaknya Najib sangat suka menjadi orang yang pertama menegur orang yang dikenalinya. Beberapa kali, sewaktu menunggu ketibaan beliau merasmikan majlis, kebetulan beliau lalu di hadapan wartawan, saya baru saja melemparkan senyuman kepadanya, Najib terus menyapa saya, "Fuad, apa khabar," sambil menghulurkan tangannya. Sekali, Pegawai Perhubungan Awam kementerian, ketika itu Puan Poziah (sekarang Datuk) bergurau dengan saya, "Aku jealous betullah dengan engkau. Dia tengok engkau aje, dari jauh dah tegur engkau."
Sewaktu tsunami melanda Kota Kuala Muda, Kedah pada 26 Disember 2004, saya baru saja tiga memulakan tugas sebagai Ketua Biro Berita Harian di Alor Setar. Saya turut serta di tempat kejadian sewaktu Najib turun melawat kawasan berkenaan. Seperti biasa, apabila sidang akhbar hendak bermula, saya dan wartawan lain meluru untuk meletakkan pita rakaman kami di depannya. Nampak saya, beliau pun menegur, "Bila you sampai?" Saya pun menjawab, "Sebenarnya Datuk Seri, saya dah tiga bulan di Kedah ni. Saya jadi Ketua Biro di sini." Najib menjawab, "Oh, begitu." Saya sangkakan, perbualan itu habis di situ saja. Rupanya tidak. Saya dapati selepas tamat sidang akhbar, Najib masih duduk di kerusinya, tidak terus bangun seperti biasa. Saya adalah wartawan terakhir yang mengambil pita rakaman saya di meja. Apabila saya sampai di meja nak mengambil pita itu, Najib berkata, "Tahniahlah, jadi Ketua Biro." Selepas itu barulah beliau bangun. Memang Najib pandai ambil hati!
Tetapi itu tidak bermakna saya tak pernah menulis benda yang pernah menghangatkan bontot Najib. Yang tak dapat saya lupakan adalah isu Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Matnor Daim yang mengosongkan jawatannya enam bulan lebih awal daripada tarikh persaraannya untuk memberi laluan kepada Datuk Abdul Shukor Abdullah ke jawatan itu. Isu itu hangat juga hingga menjadi bahan perbincangan di seluruh negara, terutama di kalangan guru-guru. Walaupun sayalah yang pertama melaporkannya, Berita Harian hanya menyiarkan berita itu di muka dalam! Muka 24 kalau tak silap saya. Namun tiga hari kemudian, komen Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Siva Subramaniam mengenai isu itu pula disiarkan di muka depan.
Saya dapat merasakan Najib kurang senang dengan berita itu. Dan mungkin marah pada saya. Saya tak tahu, tetapi saya dapat merasakannya begitu. Sekali sewaktu isu itu masih lagi panas, Najib hadir merasmikan satu majlis di Universiti Malaya. Jika tak silap saya seminar dan penubuhan Institut Asia Eropah. Saya hadir buat liputan. Waktu minum, semua hadirin, wartawan dan tetamu minum di bilik yang sama. Selepas minum, kami wartawan bergegas ke bilik bersebelahan untuk menghadiri sidang akhbar. Selepas 20 minit menunggu, baru kami sedar, Najib sudah meninggalkan majlis. Naib Canselor UM waktu itu, Tan Sri Abdullah Sanusi Ahmad, hanya memaklumkannya kepada pegawai universiti. Beliau pun tak mahu menghadiri sidang media itu, sebaliknya menyerahkannya kepada pengarah institut itu mengendalikannya. Ketika itulah, beberapa wartawan tersenyum pada saya. Sambil bergurau mereka berkata, "Fuad, ini engkau punya pasallah ni!"
Sewaktu Najib di Kementerian Pendidikan juga, Ujian Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) dilaksanakan. Dan pada tahun itu juga, Najib mengumumkan, salah satu syarat kemasukan ke asrama penuh, selain pencapaian akademik dan kokurikulum, calon juga mestilah lulus PAFA. Saya tulis satu rencana mengenai perkara itu, memuji langkah berkenaan dan mengharapkan tindakan yang sama diperluaskan kepada syarat wajib mendapat kepujian Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam atau Moral untuk memasuki universiti. Beberapa hari kemudian, seorang pegawai khas Najib, beritahu saya, "Datuk Seri kata, rencana tu bagus."
Bagi saya Najib adalah ahli politik yang mempunyai political will yang berani melaksanakan apa yang dipercayainya baik dan berguna. Ini terbukti dengan pewartaaan Akta Pendidikan 1996. Sewaktu Najib menjadi Menteri Pendidikan jugalah Akta Pendidikan 1996 dibentang dan diluluskan di Parlimen. Beliaulah yang bertanggungjawab membentangkan akta itu yang menggantikan Akta Pelajaran 1961 yang digubal dan dibentangkan bapanya. Semua orang yang berada dalam Kementerian Pendidikan ketika itu tahu akta itu sebenarnya sudah lama ada terperap dalam kementerian berkenaan, sudah beberapa kali dibincangkan sejak beberapa menteri sebelumnya tetapi ditangguhkan pembentangannya di Parlimen. Tetapi dengan political will yang dimilikinya, Najib membawanya ke Parlimen.
Sama seperti kebanyakan ibu bapa lain, saya percaya isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris boleh selesai jika Najib sekali menggunakan political will yang dimilikinya bagi mengubah dasar itu sejajar dengan slogannya, Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
PETIKAN
PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.
- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)
PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG
Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.
PANDUAN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012
Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)
Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)
------------------------------------------------------------------
Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)
Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)
(Kedah, Kelantan, Terengganu)
Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)
------------------------------------------------------------------
Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)
Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)
2 ulasan:
InsyALLAH...nanti PM bagi tempat istimewa kat Tuan..
Amri-JPM putrajaya
Sdr Amri,
Terima kasih atas doa saudara tu. Mudah-mudahan 'masinlah mulut' sdr tu.
Sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain, saya hanya mengharapkan PM baru kita akan bertindak seperti yang diwarwarkannya: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Harap-harap PM kita dapat lihat dan ambil tindakan bijak dalam menangani isu PPSMI, demi masa depan anak Malaysia.
Catat Ulasan