PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Khamis, 24 Mac 2011

Mana satu pilihan hati: Tingkatan enam, diploma atau matrikulasi?

Oleh Mohd Fuad Razali

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diumumkan. Sekarang anak-anak yang sudah mendapat keputusan SPM, sesetengahnya mungkin masih lagi tergaru-garu kepala - walaupun kepalanya tidak gatal - kerana pening memikirkan ke kursus pengajian apa yang hendak dipilih dan nak pergi ke universiti mana.  


Pagi ini saya terima satu emel daripada satu group berhubung kemasukan ke Tingkatan Enam dan pengajian peringkat diploma. Emel itu mencadangkan pelajar lepasan SPM memilih Tingkatan Enam berbanding diploma atas alasan berikut: 
  • Yang diidamkan pelajar selama ini adalah menggenggam segulung ijazah. 
  • Kos untuk mengikuti pengajian diploma lebih tinggi dan mahal berbanding tingkatan enam, termasuklah yuran pendaftaran dan yuran tahunan, membeli pakaian baru, makan dan minum, menyewa rumah, mkotosikal, minyak motosikal, prepaid, telefon bimbit, tambang bas berulang alik pada masa cuti, buku-buku, dan pelbagai lagi yang selayaknya sebagai seorang mahasiswi dan mahasiswa. Jika sambung Tingkatan Enam, dikatakan hampir tiada kos kerana tinggal dengan ibu bapa manakala asrama sekolah hanya caj RM1 untuk makan dan minum sehari semalam. 
  • Syarat masuk ke universiti dikatakan adalah sama ada anda ada diploma (dengan keputusan yang baik) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (dengan keputusan yang baik). Jadi, dikatakan membuang masa kerana perlukan tiga tahun untuk dapat diploma sedangkan Tingkatan Enam hanya 1 tahun 6 bulan sahaja. 
  • Pelajar lepasan STPM dikatakan lebih matang daripada lepasan diploma yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.
  • Susahnya STPM adalah pada mereka yang malas berusaha dan tidak menanamkan azam yang kuat untuk berjaya. Jangan dengar kata-kata seperti Tingkatan Enam susah, kena pakai uniform sekolah, kena aktif ko-ko dan lain-lain. Jika anda boleh dapat keputusan yang baik semasa SPM, anda juga boleh buat STPM.
      
Penulis itu juga mencadangkan, "jika anda mendapat tawaran Matrikulasi, anda pilihlah Matrikulasi kerana Matrikulasi lebih baik daripada Tingkatan Enam pula."

Saya telah memberikan pandangan berhubung perkara ini yang ingin saya kongsi di sini. Saya rasa kedua-tiganya, Tingkatan Enam, Diploma dan Matrikulasi, ada pro dan kontranya. Bergantung kepada tujuan dan situasi pelajar.Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya:

1. Tingkatan Enam - ya, belajar di sekolah kerajaan, dengan guru yang terlatih. Bila tamat persekolahan, dapat sijil STPM. Jika memenuhi kelayakan, boleh memohon memasuki program ijazah sarjana muda di universiti. Bahkan sekarang, sijil STPM diterima untuk masuk ke universiti luar negara, jika dapat keputusan cemerlang. Jika tidak layak atau terpilih ke universiti, dengan sijil STPM sudah boleh masuk pasaran kerjaya, kerana agensi kerajaan dan swasta memang mengambil pekerja dengan kelulusan STPM. Tetapi pelajaran di tingkatan enam tidak menyediakan pelajar untuk menjadi pekerja separa profesional seperti pengajian pada peringkat diploma. Walaupun kelayakan STPM dikira sama taraf dengan diploma untuk memohon memasuki program ijazah, pemegang STPM jika terus masuk pasaran kerjaya, gajinya tidak sama dengan pemegang diploma kerana pemegang diploma sudah ada ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk kerjaya.

2. Diploma - Pengajian peringkat diploma bertujuan menyediakan tenaga kerja peringkat separa profesional seperti Penolong Pengurus, Penolong Pegawai Pertanian, Penolong Jurutera. Dengan itu, pelajarannya berbeza daripada tingkatan enam, kerana ia memberikan ilmu dan kemahiran dalam bidang kerjaya tertentu. Maka sebab itu tempoh pengajiannya lebih panjang daripada tingkatan enam iaitu tiga tahun. Sesuai dengan itu, pekerjaan dan jawatan yang dipegang oleh pemegang diploma lebih tinggi daripada orang yang masuk kerja dengan hanya sijil STPM. Pengambilan ke program diploma menggunakan SPM. Jadi, ini peluang untuk mereka yang tidak memenuhi kelayakan mengikuti program khas untuk pelajar yang cemerlang dalam SPM. Namun begitu, pelajar yang cemerlang sewaktu diploma, selepas tamat pengajian ada peluang utk menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana jika penuhi kelayakan. Bahkan ada universiti yang menyediakan program khas iaitu promotion atau kenaikan khas ke ijazah sarjana muda utk pelajar diploma. Misalnya di Universiti Teknologi Mara, pelajar diploma yang berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang selama tiga semester berturut-turut ditawarkan untuk terus lompat ke semester kedua program ijazah pertama, tanpa perlu menghabiskan pengajian peringkat diploma.

3. Matrikulasi - bertujuan mempersiapkan pelajar yang cemerlang dalam SPM untuk memasuki program pengajian tertentu pada peringkat ijazah sarjana muda. Sebab itu program matrikulasi ada pengkhususannya. Contohnya Matrikulasi Sains Hayat untuk mereka yang bercita-cita mengikuti pengajian perubatan, farmasi, pergigiran. Matrikulasi Sains Fizik untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seperti Kejuruteraan. Sekarang ada Matirkulasi Perakaunan. Ada beberapa IPTA mempunyai program matrikulasi sendiri dengan tujuan yang sama. Namun berada dalam program matrikulasi sekarang bukan jaminan dapat terus masuk IPTA, kerana mereka masih perlu memohon kursus pengajian dan bersaing sama dengan lulusan STPM dan diploma. Dengan mendapat CGPA 2.0 belum tentu mereka layak masuk ke ijazah pertama. Kursus seperti perubatan, pergigian dan farmasi, menghendaki lepasan Matrik mencapai merit yang tinggi. Jika tidak tidak, minta maaf, mereka akan ditawarkan kursus lain. Sijil Matrikulasi tidak diterima sebagai kelayakan memasuki pasaran kerjaya di mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta. Jika gagal Matrik, maknanya sijil yang ada hanya SPM. Oleh kerana Matrik umtuk mempersiapkan calon masuk program ijazah, maka pengajiannya sama seperti STPM, dan bukan seperti diploma.

Jadi setiap satu ada pro dan kontranya, pilihlah yang terbaik. Tempoh pengajian dan biaya yang dikeluarkan, tidak sepatutnya menjadi isu kerana setiap saat yang diluangkan dan setiap sen yang dibelanjakan untuk pelajaran kita dan anak-anak adalah pelaburan untuk masa depan kita. Bergantung kepada peluang dan keperluan. Juga cita-cita.

Anak saya mendapat tawaran memasuki program Matrikulasi Kem Pelajaran dan Diploma Hiasan Dalaman UiTM. Dia berminat sangat dengan hiasan dalaman. Jadi, saya nasihatkan dia melupakan program Matrik dan terima tawaran ke progam diploma. Alasannya: sekurang-kurangnya selepas tamat tiga tahun, sudah ada ilmu dankemahiran dalam bidang hiasan dalaman dan boleh terus memasuki kerjaya dalam bidang itu. Selepas dapat pengalaman kerjaya, dia boleh sambung pengajian peringkat ijazah, jika mahu. Kerana biasanya pengalaman kerja turut diambil kira. Jika mendapat keputusan cemerlang peringkat diploma pula, jika ada peluang, boleh terus sambung pengajian selama dua tahun lagi di UiTM (jadi, 5 tahun juga utk dpt ijazah - 3 tahun diploma, 2 tahun ijazah). Jika dia masuk program Matrik, belum ada jaminan dia dapat program yang diminatinya, kerana dia perlu bersaing sekali lagi untuk memohon pohon masuk ke program ijazah selepas tamat Matrik.

Tapi alhamdulillah, selepas tiga semester mengikuti pengajian peringkat diploma dan berjaya mengekalkan keputusan cemerlang selama tiga semester berturut-turut,  dia ditawarkan terus lompat ke semester tiga ijazah. dan dia terima tawaran itu. Dengan itu, dia perlu menghabiskan pengajian selama tiga tahun lagi untuk mendapat ijazah - satu setengah tahun diploma + tiga tahun ijazah,  jadi 4 1/2 tahun insya Allah akan dapat ijazah.

Jadi, buatlah pertimbangan yang sebaik-baiknya. Bincang elok-elok dengan orang yang ada pengalaman. Saya setuju, ketakutan terhadap Tingkatan Enam sebenarnya tidak patut wujud, jika kita benar-benar mempunyai kemahuan dan kesungguhan. Itu hanya momokan daripada orang yang tidak berjaya sahaja. Oleh itu, bertanyalah kepada orang yang berjaya, bukan kepada orang yang gagal. Tidak ada kejayaan tanpa usaha. Setiap usaha untuk mencapai kejayaan pasti ada berdepan dengan pelbagai cabaran. Yang penting, ada kemahuan dan kesungguhan. Lambat atau cepat mencapai cita-cita, bergantung kepada kesungguhan dan usaha kita.

Baca juga topik ini sebagai pedoman.

2 ulasan:

Awanama berkata...

terima kasih di atas artikel yg ditulis. Dengan atau tanpa pengetahuan tuan, ia amat membantu kami. Selamat tahun baru 2013 juga.

FUAD RAZALI berkata...

Alhamdulillah... saya gembira mengetahuinya. Terima kasih atas maklum balas.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)