PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Selasa, 1 Mac 2011

Imbuhan bai’ah: Jangan wang menjadi duri dalam daging


Oleh Mohd Fuad Razali
(Nota: Rencana ini pada asalnya disiarkan dalam kolum Sekali Bicara, majalah Pendidik keluaran Mac 2011. Ketika rencana ini ditulis imbuhan berkenaan belum lagi disampaikan oleh kerajaan kepada guru yang berkelayakan menerimanya.)

PADA 10 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian insentif untuk guru besar dan guru di 924 sekolah kerana kejayaan melonjakkan prestasi sekolah masing-masing. Mengikut laporan akhbar, setiap guru besar akan imbuhan sebanyak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru yang paling cemerlang pula akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya sebanyak RM900 seorang. Imbuhan itu dijangka diberikan pada pertengahan tahun mungkin selepas pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
            Imbuhan itu sebenarnya menyusuli pengumuman yang dibuat Muhyiddin tahun lalu mengenai tawaran baru (bai’ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai satu daripada inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Pendidikan. Menerusi insentif itu, kerajaan menetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan gurunya akan menerima ganjaran kewangan.
Ganjaran kewangan berasaskan prestasi ini adalah perkara baru yang tidak pernah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam di negara kita sebelum ini. Tidak syak lagi, seperti kata Muhyiddin baru-baru ini, tawaran baru itu adalah idea berani. Jika dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi dorongan paling berharga buat guru untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing.
            Mengikut laporan, kementerian mendapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi yang  ditetapkan adalah di luar jangkaan kerana kadar disasarkan ialah dua peratus tetapi hasilnya melepasi 12.1 peratus, iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal.
            Berdasarkan pencapaian itu nampaknya, seperti kata Muhyiddin, tawaran baru yang diumumkan memberi suntikan semangat dan dorongan kepada guru untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing. Buktinya, setahun selepas tawaran dibuat, jumlah yang berjaya amat luar biasa. Jadi, imbuhan itu adalah insentif untuk guru besar dan guru yang sama-sama berusaha melonjakkan prestasi sekolah mereka.
            Saya berharap dan mendoakan mudah-mudahan imbuhan itu akan mendorong guru besar, pengetua dan guru di sekolah di seluruh negara untuk menerus dan meningkatkan kesungguhan serta komitmen mereka untuk mendidik pelajar seperti yang ditunjukkan selama ini. Pada masa sama yang berharap dan mendoakan mudah-mudahan imbuhan ini tidak pula akan menjadi duri dalam daging dalam komuniti sekolah.
Mungkin ada yang terkejut dengan kenyataan ini. Saya tidak bersangka buruk dengan usaha untuk memberikan ganjaran dan imbuhan sedmikian kepada guru besar, pengetua dan guru di seluruh negara. Bahkan, ganjaran wang dalam bentuk apa sekalipun sebenarnya tidak setanding dengan ilmu yang dicurahkan oleh komuniti keguruan selama ini. Apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan kesungguhan, kesabaran serta pengorbanan yang ditunjukkan oleh guru.
Dalam keadaan sekarang pun, dengan menerima pendapatan bulanan, tanpa sebarang imbuhan tambahan, kita dapati ramai guru besar, pengetua dan guru yang mencurahkan sepenuh tenaga dan fikiran mereka untuk mendidik pelajar. Bahkan saya percaya kejayaan pelajar sama ada dalam akademik mahupun kokurikulum sentiasa menjadi impian dan harapan guru besar, pengetua dan guru di seluruh negara. Sebab itu kita dapati ada warga sekolah yang sanggup meluangkan waktu mereka untuk mengadakan kelas tambahan selepas waktu persekolahan, sama ada waktu petang mahupun malam, tanpa mengharapkan sebarang imbuhan tambahan. Sesetengahnya ditambah pula lagi pada hujung minggu yang sepatutnya digunakan untuk bersantai bersama dengan keluarga.
Itu belum lagi mengambil kira guru yang terbabit dalam kegiatan kokurikulum di luar waktu sekolah dan hujung minggu, termasuk menggunakan kenderaan mereka sendiri. Saya difahamkan sesetengahnya sanggup pula membelanjakan wang sendiri untuk membiayai makan minum pelajar.  
            Mengapa ramai guru sanggup berbuat demikian? Kerana saya percaya kejayaan pelajar menjadi matlamat akhir mereka. Kejayaan pelajar adalah kepuasan bagi mereka. Saya cukup terharu apabila ada guru besar, pengetua dan guru yang melihat anak didik mereka bagaikan anak mereka sendiri. Mencurahkan ilmu tanpa jemu dan sentiasa pula mendoa serta mengharapkan kejayaan untuk mereka.
            Pengumuman mengenai pemberian imbuhan ini segera mengingatkan saya kepada Persidangan Pengurusan Pendidikan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, pertengahan tahun lalu. Saya dapati ramai perwakilan persidangan itu yang melahirkan kebimbangan mengenai pemberian ganjaran sedemikian rupa.
Berdasarkan perbincangan, pendapat dan pandangan yang dilontarkan di dalam persidangan mahupun yang saya peroleh secara peribadi, mereka bimbang agihan imbuhan itu menimbulkan persepsi yang pelbagai. Mereka bimbang kerja kuat yang diusahakan oleh pengetua dan guru besar untuk menggerakkan guru meningkatkan prestasi pelajar dan sekolah dilihat sebagai usaha untuk mengejar ganjaran wang. “Kita bimbang ini akan mencairkan nilai keluhuran dan keikhlasan hati guru yang bertugas selama,” kata seorang perwakilan kepada saya.
Mereka bimbang apabila mencapai sasaran yang diharapkan, akan timbul pula masalah dalaman kerana agihan yang tidak seimbang. Berdasarkan perbincangan dalam persidangan berkenaan, saya difahamkan untuk ganjaran guru, lima peratus akan mendapat RM1,500, 90 peratus guru mendapat RM900 dan ada lima peratus yang tidak akan mendapat langsung apa-apa ganjaran. Ramai pengetua menyatakan tidak selesa dengan keadaan ini.
            Masalah mungkin tidak akan bagi sekolah yang pencapaiannya terhasil daripada kerjasama padu guru, tetapi keadaan sebaliknya akan berlaku jika pencapaian itu berlaku tanpa kerjasama yang benar-benar dan kukuh, akan timbul perpecahan dan pelbagai macam fitnah.
            Mengapa guru besar mendapat imbuhan lebih sedangkan yang bekerja siang malam adalah guru? Bagaimana pula pemilihan lima peratus guru paling cemerlang dibuat? Apakah asasnya? Mengapa ada lima peratus guru yang tidak akan mendapat apa-apa habuan langsung? Ini adalah antara persoalan yang sering ditimbulkan.
            Ada yang berpendapat alangkah baiknya jika agihan itu dibuat sama rata, tanpa membezakan pangkat dan kedudukan. Ada pula yang berpandangan lebih baik imbuhan itu disalurkan kepada sekolah, bukan ke dalam akaun peribadi guru. Dengan itu, banyak keperluan sekolah dan pelajar dapat dipenuhi, sama ada memperbaiki dan meningkatkan kemudahan fizikal, menambah alat bantu mengajar dan bahan rujukan, atau menggiatkan lagi aktiviti yang boleh meningkatkan pencapaian pelajar mereka.
            Saya percaya kerajaan dan kementerian mempunyai niat yang baik dengan memperkenalkan imbuhan ini. Demikian juga di pihak pengetua, sudah tentu mereka juga mempunyai hasrat dan niat yang sama apabila mengemukakan pandangan balas mengenainya. 


Tambahan Perkembangan Terbaru:
Tengahari semalam Bernama.com melaporkan seperti berikut

Sebanyak 586 Guru Besar Hari Ini Terima Ganjaran Tawaran Baru
ASIN, 28 Feb (Bernama) -- Kerajaan mengotakan janjinya pada hari ini, dengan memberi ganjaran kepada guru besar dan guru yang berjaya meningkatkan pencapaian sekolah pada kedudukan lebih baik melalui Tawaran Baru melibatkan peruntukan RM18.4 juta.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di bawah Tawaran Baru kepada Guru Besar yang dijanjikan kerajaan pada tahun lepas, hari ini seramai 586 guru besar yang berjaya dari seluruh negara menerima ganjaran tersebut.

"Staf sokongan seperti kerani di 586 sekolah yang berjaya itu juga akan diberi imbuhan yang setimpal kerana mereka juga memberi sumbangan kepada sekolah tersebut. Kadar ganjaran belum ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baru Kepada Guru Besar di Sekolah Menengah Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar di Merlimau dekat sini.

Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima ganjaran sebanyak RM7,500 diikuti sebanyak lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah terbabit akan menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pembayaran ganjaran tersebut akan dibuat serta merta kerana peruntukan telah disediakan.

Beliau berkata tawaran sama kepada pengetua dan guru sekolah menengah akan diberikan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan pada bulan depan.

Katanya sasaran awal pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran pada tahun penilaian 2010 ialah sebanyak dua peratus namun pencapaian sebenar bagi tahun penilaian itu adalah di luar jangkaan antaranya disebabkan oleh peningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan tahap pengajaran dan pembelajaran guru.

"Sebanyak 924 (12.10 peratus) sekolah daripada 7,635 yang berada dalam senarai kedudukan layak untuk diverifikasi oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Berdasarkan verifikasi JNJK, bilangan guru besar atau sekolah yang memenuhi semua kriteria yang ditetapkan untuk menerima ganjaran ialah sebanyak 586 (7.70 peratus) sekolah," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata daripada keseluruhan bilangan sekolah rendah yang berada dalam senarai kedudukan, 193 (2.53 peratus) adalah sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 84 peratus, 138 (1.81 peratus) sekolah yang melonjak kedudukan sekurang-kurangnya sebanyak 2,050 tempat dan 257 (3.37 peratus) adalah sekolah yang berjaya meningkatkan skor komposit sekurang-kurangnya 6.3 peratus.

"Kita juga berasa amat sukacita dan bangga kerana daripada 586 sekolah yang menerima ganjaran, 437 (74.32 peratus) daripadanya merupakan penerima dari sekolah dari luar bandar," katanya yang menambah sekolah di bandar juga ada menerima anugerah tersebut.

Muhyiddin berkata dalam tawaran baru itu, kepimpinan sekolah dilihat dalam beberapa kriteria menerusi kombinasi Gred Purata Sekolah dan Skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia.

Antara kriteria tersebut ialah kemenjadian murid dalam akademik dan kokurikulum, kepimpinan pengetua dan guru besar dalam merancang, menyelaras, memantau dan menilai aktiviti pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Kepimpinan pengetua dan guru besar sebagai agen perubahan utama di sekolah, kepimpinan pengetua dan guru besar dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menyokong proses pembelajaran dan pengajaran di dalam dan di luar bilik darjah.

"(Bagi penerima hari ini) Sekolah juga telah disahkan memperoleh laporan audit tanpa teguran dan guru besar memperoleh skor Laporan Nilaian Prestasi Tahunan lebih daripada 90 peratus serta bebas daripada tindakan tatatertib," katanya.

Muhyiddin berkata bagi pemimpin sekolah yang berada dalam kelompok pertengahan atau tidak menepati sasaran, iaitu tidak mencapai skor komposit melepasi 84 peratus untuk sekolah rendah, tidak akan diabaikan malah akan dibantu agar pencapaiannya meningkat.

"Kementerian (Pelajaran) akan memastikan guru besar yang tidak mencapai sasaran seperti yang ditetapkan akan diberi peluang mengikuti kursus penambahbaikan berdasarkan keperluan masing-masing dan diberi bimbingan dari semasa ke semasa," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut merasmikan SMK Tun Syed Zahiruddin yang dibina dengan kos RM28 juta dan mula digunakan pada bulan lepas.

Sekolah yang mempunyai 30 bilik darjah itu kini mempunyai 330 pelajar dengan 25 orang guru.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.
 


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)