Oleh Mohd Fuad Razali
AKHIR tahun lalu, ketika Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Omar
(SMKDSO), Alor Setar, Kedah sibuk menerima kemasukan pelajar baru untuk sesi
persekolahan tahun ini, saya turut ‘menyibukkan’ diri hadir ke sekolah itu pada
hari berkenaan.
Sebenarnya saya adalah Yang Dipertua
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu. Oleh itu, saya boleh pada
bila-bila masa hadir ke sekolah berkenaan untuk meninjau keadaan di sana.
Sebelum ini saya tidak pernah hadir ke
sekolah pada hari pelajar baru mendaftar kecuali jika anak saya baru masuk
sekolah sama ada memasuki tahun satu atau tingkatan satu.
Bagaimanapun akhir tahun lalu, tiba-tiba
ada semacam satu desakan dalam diri untuk saya turut hadir pada hari
pendaftaran pelajar tingkatan satu di SMKDSO. Desakan itu adalah untuk bertemu
dengan pelajar baru sekolah berkenaan serta ibu bapa mereka.
Sebagai Yang Dipertua PIBG, saya merasa
terpanggil untuk turut serta dengan pihak sekolah bagi mengalu-alukan
kedatangan pelajar baru serta ibu bapa yang mungkin sesetengahnya baru pertama
kali menjejakkan kaki dan menghantar anak mereka ke sekolah itu.
Apatah lagi biasanya pada hari
pendaftaran pelajar, sekolah turut mengadakan sesi taklimat untuk ibu bapa,
maka saya merasakan saya patut hadir ke sekolah untuk turut serta mendengar
taklimat berkenaan.
Selain itu, saya merasakan itulah
peluang bagi saya untuk bercakap dengan ibu bapa dan menyampaikan amanat saya
sebagai pemimpin di dalam PIBG yang secara automatik dianggotai oleh semua ibu
bapa dan waris yang menghantar anak mereka ke sekolah itu.
Selepas meminta kebenaran dan mendapat
persetujuan pengetuanya, maka pada 29 Disember yang lalu saya pun hadir ke
SMKDSO dan menyertai sesi taklimat bersama ibu bapa yang diatur oleh pihak.
Sesi itu berlangsung sama dengan waktu pelajar tingkatan satu mendaftar.
Sebenarnya saya mengambil kesempatan itu
untuk menyatakan hasrat saya supaya ibu bapa dan waris memberikan sokongan
kepada pihak sekolah.
Untuk pengetahuan pembaca, SMKDSO adalah
antara sekolah premier serta antara sekolah yang menjadi tumpuan di Daerah Kota
Setar. Ramai ibu bapa yang berhasrat untuk menghantar anak mereka belajar di
sekolah ini. Bahkan dalam kalangan pelajar juga ramai yang menyimpan impian
untuk masuk ke sekolah ini.
Sebenarnya sekolah ini adalah sekolah
kawalan Pejabat Pelajaran Daerah Kota Setar. Bagaimanapun bukanlah kawalan
sepenuhnya kerana selain menerima pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 3A
2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dari daerah itu, SMKDSO juga mempunyai
dua feeder school yang terletak
berhampiran dengannya, Sekolah Kebangsaan Taman Uda dan Sekolah Kebangsaan
Taman Rakyat.
Sebab itu ada ibu bapa yang tinggal di
luar daerah Kota Setar yang sanggup menghantar anak mereka bersekolah di feeder school berkenaan. Hanya semata-mata
hendak memastikan anak mereka boleh masuk belajar di SMKDSO.
Saya sendiri pernah menerima panggilan
telefon daripada rakan yang mahu meminta bantuan untuk merekomenkan anak mereka
belajar di sekolah itu selepas mereka mendapat tahu saya menjadi Yang Dipertua
PIBG di sekolah itu. Pengetuanya apatah lagi, tentulah lebih ramai lagi yang
menghubunginya! Saya difahamkan banyak permohonan yang terpaksa ditolak dan
tidak dapat dipertimbangkan kerana setiap tahun bilangan yang memohon lebih
ramai daripada tempat yang disediakan di samping tidak memenuhi syarat dan
kelayakan ditetapkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah.
Situasi itu saya rasa memberi kelebihan
kepada saya untuk berjumpa dan bercakap dengan ibu bapa. Pada majlis itu saya
katakan kepada ibu bapa bahawa mereka sepatutnya berasa gembira, berterima
kasih dan bersyukur kerana anak mereka terpilih dan berpeluang belajar di
sekolah itu ketika ramai lagi pelajar lain yang tidak dapat menikmati peluang
yang sama.
Bagaimanapun, saya katakan, rasa
gembira, terima kasih dan syukur itu janganlah sekadar diucapkan pada bibir
sahaja dan terhad pada hari pendaftaran anak mereka, sebaliknya biarlah
perasaan berpanjangan selama anak mereka bersekolah di SMKDSO.
Saya mengajak ibu bapa dan waris
menterjemahkan rasa gembira, terima kasih dan syukur itu dalam bentuk tindakan
iaitu memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada pengurusan sekolah, guru
serta PIBG demi kebaikan dan masa depan anak mereka.
Saya menjelaskan perlunya mereka
memberikan kerjasama sedemikian, termasuklah meluangkan masa untuk hadir ke
sekolah setiap kali dijemput oleh pihak sekolah sama ada sewaktu hari menerima
laporan akademik, mesyuarat agung PIBG, sesi perjumpaan dengan ibu bapa, apatah
lagi jika dipanggil untuk berbincang mengenai keadaan anak mereka apabila
didapati bermasalah.
Keputusan saya untuk menghadiri dan
berucap pada sesi taklimat ibu bapa pada hari itu memang di luar dugaan pihak
sekolah kerana sepanjang tempoh empat tahun saya menjadi Yang Dipertua PIBG di
sekolah itu, saya tidak pernah hadir pada hari pendaftaran dan berucap pada ibu
bapa. Bahkan saya difahamkan Yang Dipertua PIBG sebelum saya tidak pernah
berbuat demikian.
Saya memang sengaja memilih untuk
berbuat demikian. Seperti yang saya katakan di atas, selain ingin mengalu-alukan
kedatangan pelajar dan ibu bapa mereka ke sekolah, saya mempunyai mesej yang
hendak disampaikan kepada ibu bapa dan waris.
Hasrat saya tidak lain dan tidak bukan
untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan ibu bapa dan waris bagi setiap keputusan
dan aktiviti yang dijalankan oleh sekolah dan PIBG. Untuk sekian lama, saya
merasakan dalam banyak hal, sekolah menghadapi ibu bapa secara bersendirian. Jadi,
apa salahnya kali ini saya tampil bersama-sama.
Sengaja saya memilih ibu bapa dan waris
pelajar tingkatan satu. Pelajar baru, dengan sebahagian ibu bapanya sudah tentu
baru pertama kali di situ. Saya berharap dengan pelajar baru, ibu bapa dan
waris yang baru, dapat membentuk budaya baru iaitu memberikan sokongan dan
kerjasama yang padu.
Dalam ucapan pada majlis saya bertanya
kepada ibu bapa, “PIBG itu sebenarnya apa?” Ada yang menjawab, “Persatuan Ibu
Bapa dan Guru.”
Saya memberikan jawapan balas, “PIBG itu
sebenarnya Permuafakatan Ibu Bapa dengan Guru. Maka marilah bermuafakat dengan
sekolah, guru dan PIBG demi masa depan anak-anak kita.”
Mudah-mudahan Allah SWT menyampaikan
impian dan hasrat ini, insya Allah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan