PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Jumaat, 25 Mac 2011

Air: Bila bekalan dan kualiti menjadi isu

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana empat bahagian ini mengupas beberapa isu air khususnya di Malaysia sempena Hari Air Sedunia 2011 yang disambut pada 22 Mac 2011. Tema sambutan tahun ini "Air Untuk Bandar: Respons terhadap Cabaran Bandar".

Ini bahagian tiga daripada empat bahagian.

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Warga kota Kuala Lumpur memang banyak rungutan. Daripada kesesakan lalu lintas, kenaikan kos sara hidup kepada harga barangan keperluan yang sering naik tetapi jarang turun terutama menjelang musim perayaan.
Ada juga yang dari berwatak lemah lembut menjadi perengus bila hari hujan kerana tingginya kebarangkalian terperangkap dalam banjir kilat, satu lagi isu yang seperti tidak berkesudahan di kota metropolitan Kuala Lumpur.

Namun ada lagi satu perkara yang sering menjadikan warga kota berkeluh kesah iaitu isu air, sama ada tiada air, kurang air atau kalau pun ada air, air yang keluar dari paip rumah tidak lain dari yang keruh dan berkarat!

Bagi kebanyakan penghuni flet PKNS 17 Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, isu bekalan dan kualiti air seperti irama dan lagu, sudah macam sebati dengan kehidupan mereka, baik pemilik mahupun penyewa.

Flet yang dikatakan yang pertama dibina di perkampungan Melayu Kampung Baru di tengah-tengah Kuala Lumpur mengandungi dua blok iaitu Blok A dan Blok B, masing-masing setinggi 17 tingkat.

Berdiri di depan perkarangan blok ini jelas kelihatan sebahagian daripada Menara Berkembar Petronas KLCC, menunjukkan betapa strategiknya lokasi flet yang tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Tidak jauh dari flet ini juga terdapat stesen tren LRT, menjadikan semakin mudah untuk penduduk sekitar bergerak di samping meningkatkan nilai pasaran flet ini.

Harga jualan untuk seunit flet di sini dilaporkan kini ada yang mencecah RM120,000 berbanding harga yang dijual pemaju iaitu kira-kira RM28,000.

SEBAB PINDAH

Di sebalik lokasi flet yang strategik, masalah bekalan air yang terus-menerus tidak menentu memaksa sesetengah penghuni membuat keputusan untuk mencari kediaman lain.

Nuha Azahari yang telah menetap di flet tersebut selama kira-kira lapan tahun memberitahu dia terpaksa berpindah kerana tidak tahan lagi dengan kemelut bekalan air di flet tersebut.

Anak kelahiran Taiping, Perak ini memberitahu Bernama dia pernah tinggal di Sentul dan Gombak sebelum berpindah ke flet Kampung Baru pada penghujung 2002.

Masalah air, katanya sudah mula dirasakan dari awal dia tinggal di flet berkenaan.

"Kalau ada orang baiki jalan, mulalah air tak ada dan ada kalanya buka paip, air yang keluar macam berkarat, tunggu 10 minit baru hilang. Ada masa bila guna air ini kulit terasa gatal, timbul macam ruam. Mungkin kerana tangki air sudah terlalu lama.

"Ada juga ketika tanpa sebarang hebahan, kita bangun pagi nak mandi buka paip air tak ada. Macam mana? Nak pergi kerja lagi?" katanya.

Nuha memberitahu pengalaman paling getir bila berlaku gangguan bekalan air pada sekitar 2009 yang berlarutan selama lebih seminggu.

"Air agak perlahan, cuma ada satu atau dua jam, awal pagi dan masa maghrib. Terpaksa tadah air, buat catuan, beli air botol atau ambil air dari rumah saudara-mara. Pada masa itu saya sudah berpindah dari tingkat 10 Blok A ke tingkat 13 Blok B. Saya menyewa dengan empat orang yang lain dengan sewa RM900 sebulan.

"Masalah air yang berpanjangan menyebabkan ada yang tidur di rumah saudara-mara atau kawan. Sampaikan saya dengar ada penghuni flet ini yang terpaksa mandi di tandas awam. Berpakaian cantik seperti nak pergi kerja tapi singgah di tandas awam untuk mandi sebelum ke tempat kerja. Sampai bila boleh tahan," katanya.

Rimas dengan isu kekurangan air yang berlarutan dan faktor lain, dia akhirnya membuat keputusan untuk pindah dan setakat ini kondominium di mana dia tinggal tidak mendatangkan sebarang masalah air.

"Mungkin kondominium yang saya diami sekarang masih baru, berusia empat tahun berbanding dengan flet Kampung Baru yang usianya lebih 40 tahun," kata Nuha.

PENAPIS AIR

Mokhtar Ibrahim, 54, pula telah tinggal di tingkat 1 Blok B Flet Kampung Baru ini sekitar 20 tahun.

Menurut penjawat awam ini, sememangnya dia dan keluarganya tidak mengalami sebarang masalah air ketika dia mula mendiami flet tersebut.

"Flet dah lama, tangki air mungkin sudah berkarat. Bila buka paip air warna kuning. Ada masanya jika berlaku gangguan bekalan air dan bila ada air, hampir tiga atau empat jam air akan berwarna kuning, macam teh tarik pun ada," katanya kepada Bernama.

Tidak tahan dengan masalah kualiti air, mulai 2003 Mokhtar memasang penapis air. Dia membelanjakan kira-kira RM$1,000 untuk memasang dua unit penapis air di rumahnya. Pada 2007 dia memasang paip baru dalam rumahnya di samping mengganti tangki air daripada besi kepada PVC.

"Memang tangki air dalam rumah sudah lama, bila dibuka tebal keladaknya. Banyak lagi rumah yang sistem paip dan tangki masih belum diganti dan kebanyakan unit ini disewa," tambahnya.

Bagaimanapun, kata Mokhtar, ada kala air yang sampai ke rumahnya masih tidak bersih.

"Mungkin punca masalah dari paip besar," keluhnya.

PELBAGAI MASALAH

Ayob Silin, Setiausaha Persatuan Penghuni Pangsapuri 17 Tingkat PKNS telah menetap di flet Kampung Baru lebih 30 tahun.

"Flet ini dibina pada 1974 dan mula didiami 1978. Seratus peratus penduduk di sini orang Melayu. Ada juga orang Indonesia. Masa mula-mula duduk memang tak ada masalah kerana semua masih baru, " katanya.

Menurut Ayob masalah kualiti air mula dirasai sekitar tahun 80-an dan kebanyakan rungutan ialah air berwarna kuning dan air berkarat.

Penghuni flet, katanya rata-rata tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut.

Rungutan penghuni ini mungkin ada asasnya memandangkan mereka bukan sahaja membayar yuran penyenggaraan RM77 sebulan, air juga dibayar secara pukal bukan berdasarkan meter individu.

"Semasa flet ini diuruskan oleh PKNS, bil air setiap rumah antara sekitar RM6 hingga RM12 sebulan, mungkin ada subsidi.

"Tetapi sejak pengurusan flet diserahkan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) pada 1 Jan 2010, caj air ialah RM35 setiap rumah. Kita tak boleh buat apa-apa. Ini adalah tarif yang dikenakan oleh Syabas.

"Kita sedang berusaha supaya bil air dicaj berdasarkan meter individu tetapi ini agak rumit.

"Di bawah undang-undang Syabas, kami perlu mendapatkan tandatangan semua pemilik flet ini sedang kira-kira 70 peratus penghuni di sini adalah penyewa," jelas Ayob.

KERJA PEMBAIKAN

Penghuni flet Kampung Baru bagaimanapun mungkin boleh menarik sedikit nafas lega kerana isu air kotor semakin berkurangan kerana kesemua lapan tangki utama (empat di Blok A dan empat lagi di Blok B) sudah diganti baru yang diperbuat daripada 'fibre glass'.

"Tangki lama habis dimakan karat, tidak diganti sejak kita duduk di sini," kata Ayob.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat JMB Flet Kampung Baru memberitahu Bernama, pihak kerajaan menghulurkan bantuan RM2 juta untuk menampung pelbagai kerja pembaikan di flet tersebut.

Di samping tangki utama, flet tersebut juga dicat baru, sistem paip utama turut ditukar termasuk pam air dan setiap blok mendapat dua lif baru.

"Meskipun tangki dan pam air ditukar baru, masalah air berkarat kurang. Bila kita buka paip, air berkarat akan keluar dulu. Masalah ini mungkin dari paip besar di bawah Syabas," kata Ayob yang berkata dia turut memasang dua alat penapis air di rumahnya.

SIFAR ADUAN

Menurut beliau, pihaknya sudah memaklumkan kepada Syabas mengenai masalah kualiti air di flet tersebut pada 2010 tetapi sehingga kini masih belum ada tindakan daripada pihak berkenaan.

"Kalau nak tukar paip besar, mungkin ini perlu dilakukan bagi seluruh kawasan Kampung Baru memandangkan paip-paip berkenaan sudah berusia berpuluh tahun. Ini mungkin akan membabitkan belanja yang amat besar," kata Ayob.

Bagaimanapun beliau masih berharap pihak Syabas akan memberi perhatian kepada kebajikan penghuni flet Kampung Baru dari segi kualiti air yang dibekalkan.

"Penghuni di sini membayar bil air yang tinggi meskipun ada yang tidak menggunakan air yang banyak.

"Kita mahu servis yang berkualiti dan amat berharap masalah kualiti air ini dapat diselesaikan.

"Kalau boleh kita nak sifar aduan daripada penduduk supaya semua berada dalam keadaan baik," kata Ayob.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)