PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Rabu, 6 Jun 2012

5 langkah menentukan hala tuju selepas SPM



"Sebenarnya adalah sangat penting bagi pelajar-pelajar sama ada yang sedang berada di tingkatan empat apatah lagi di tingkatan lima untuk menentukan hala tuju mereka selepas SPM sebelum mereka menduduki peperiksaan itu."

Oleh Mohd Fuad Razali

PADA 29 Mac 2012 yang lalu, lapan hari selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 diumumkan, saya dijemput oleh pentadbir Sekolah Menengah Vokasional Alor Setar (SMVAS) untuk menyampaikan anugerah kepada 75 orang pelajarnya yang mendapat keputusan 4A dan ke atas dalam peperiksaan itu. Saya dijemput atas kedudukan saya sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.

Selain guru-guru, ibu bapa dan pelajar-pelajar yang menerima anugerah, pelajar-pelajar tingkatan lima SMVAS turut menghadiri majlis berkenaan. 

Dalam ucapan pada majlis itu, saya menyatakan harapan bahawa pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini akan mencontohi kesungguhan dan kegigihan yang ditunjukkan oleh senior mereka. Apatah lagi daripada 75 pelajar yang diraikan itu, tiga orang berjaya mendapat keputusan 8A manakala tujuh orang lagi mendapat 7A. Bagi saya itu adalah pencapaian yang sangat baik!

Berikutan kehadiran pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada akhir tahun, maka saya mengambil kesempatan itu untuk memberikan pesanan kepada mereka supaya melakukan satu perkara yang sangat penting ketika ini iaitu menentu atau menetapkan ke manakah hala tuju mereka selepas menduduki  SPM nanti.

Sebenarnya adalah sangat penting bagi pelajar-pelajar sama ada yang sedang berada di tingkatan empat apatah lagi di tingkatan lima untuk menentukan hala tuju mereka selepas SPM sebelum mereka menduduki peperiksaan itu. 

Hala tuju yang dimaksudkan ialah arah yang hendak dituju oleh pelajar-pelajar dengan berbekalkan keputusan SPM yang akan diperoleh nanti. Perkara itu penting kerana ia membabitkan masa depan pelajar-pelajar sendiri iaitu apa yang hendak mereka capai dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.

Dalam menentukan hala tuju selepas SPM, ada lima langkah perlu dilakukan oleh pelajar-pelajar, iaitu:
Pertama, menentukan impian dan cita-cita. Cara paling mudah adalah pelajar bertanya pada diri sendiri: Apakah pekerjaan yang ingin dilakukan lima atau 10 tahun akan datang? Adakah pelajar bercita-cita hendak menjadi doktor, jurutera, atau peguam? Pengaturcara komputer? Usahawan? Kontraktor? Juruterbang? 

Jika pada saat ini, pelajar-pelajar masih belum mempunyai sebarang impian dan cita-cita, maka eloklah mula menerokanya sekarang. Lihat pada diri sendiri, apakah minat, bakat dan kecenderungan yang ada. Pelajar juga boleh mendapatkan pandangan daripada ibu bapa, abang atau kakak, saudara-mara, guru, kaunselor. Sekarang ada banyak maklumat yang boleh dicapai menerusi internet. Kata orang, maklumat sekarang berada di hujung jari. Hanya dengan sekali klik, pelbagai maklumat diperolehi. Pelajar juga boleh mendapatkan buku-buku mengenai pelbagai jenis kerjaya di pasaran.

Kedua, cari dan dapatkan maklumat mengenai cara untuk mencapai cita-cita itu. Contohnya, jika hendak menjadi jurutera, mesti mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan. Maknanya, apakah kelayakan yang perlu ada untuk mencapai cita-cita atau kerjaya idaman kita. 

Sesetengah kerjaya memang memerlukan kelayakan khusus dalam bidang tertentu. Tidak dapat tidak, anda mesti memiliki ijazah atau sijil dalam bidang berkenaan untuk menceburi kerjaya itu. Misalnya, untuk menjadi doktor, perlu memiliki ijazah dalam bidang perubatan. Untuk menjadi peguam, perlu memiliki ijazah dalam bidang undang-undang. Untuk menjadi akauntan, perlu mempunyai ijazah dalam bidang perakaunan. 
Ketiga, cari dan dapatkan maklumat bagaimana hendak memiliki kelayakan yang diperlukan itu. Misalnya, untuk mendapat ijazah dalam bidang kejuruteraan, pelajar perlu belajar di universiti yang menawarkan kursus kejuruteraan. Jadi, cari maklumat kursus apa yang perlu diikuti untuk mendapatkan kelayakan dalam bidang itu serta di manakah kursus itu ditawarkan.
Keempat, cari dan dapatkan maklumat mengenai syarat kelayakan yang perlu dipenuhi untuk masuk mengikuti pengajian atau kursus itu. Setiap kursus ada syarat-syarat minimum yang ditetapkan untuk pelajar memohon. Biasanya untuk mengikuti kursus peringkat ijazah memerlukan kelulusan STPM, matrikulasi/asasi atau diploma.

Jika pelajar memilih untuk mengikuti program matrikulasi selepas mendapat keputusan SPM, maka pelajar perlu tahu apakah syarat yang diperlukan untuk memasuki kursus matrikulasi.

Kelima, menetapkan sasaran keputusan yang sepatutnya dicapai untuk  membolehkan pelajar mencapai impian dan cita-cita mereka. Jika diteliti, syarat yang ditetapkan oleh pihak universiti ialah syarat kelayakan minimum untuk memohon. Bermaksud, itulah sekurang-kurangnya keputusan yang perlu diperoleh pelajar untuk melayakkan mereka memohon kursus yang ditetapkan.

Bagaimanapun, pelajar perlu ingat bahawa pelajar sebenarnya perlu bersaing dengan ramai pemohon lain. Dan kemungkinan ada pemohon yang mendapat keputusan yang lebih baik dan lebih tinggi. Oleh itu, sebaik-baiknya tetapkanlah sasaran untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam SPM nanti. 


Ambil sekeping kertas. Tuliskan dengan besar apakah keputusan peperiksaan yang ingin dicapai bagi setiap subjek dalam peperiksaan SPM kelak. Tampal kertas itu di dinding atau di meja belajar atau di mana saja yang memudahkan pelajar melihat setiap hari.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)