Jika kita benar-benar serius hendak memastikan pelajar kita mengamalkan gaya hidup sihat serta kekal sihat berpanjangan, persepsi dan layanan terhadap subjek itu serta kegiatan sukan di sekolah serta cara pelaksanaannya patutlah dikaji semula
OLEH MOHD FUAD RAZALI
SAYA difahamkan sebaik saja dibuka
semula Jun lalu, selepas bercuti selama dua minggu, sekolah di seluruh negara
sibuk dengan acara kejohanan padang dan balapan, acara tahunan bagi semua
sekolah.
Saya
kira semua warga sekolah patut mendapat penghargaan kerana kejayaan dan
kesungguhan merancang dan melaksanakan program tahunan itu. Saya faham bukan
mudah untuk melaksanakan.
Tidak sedikit masa yang telah diambil untuk berbuat demikian. Lebih-lebih
lagi dengan ketaatan, kesetiaan, dan kesanggupan serta pengorbanan guru untuk
datang ke sekolah selepas waktu persekolahan (bagi sesi pagi) atau sebelum
waktu persekolahan (bagi sesi petang) bermula. Hanya semata-mata untuk
mengadakan latihan dan mengendalikan pertandingan bagi menjayakan kejohanan
berkenaan. Semuanya dilakukan tanpa sebarang imbuhan tambahan. Mengorbankan
masa rehat dan masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga. Jadi, tahniah
cikgu semua!
Ucapan terima kasih juga wajar diberikan kepada warga pendidik kerana
dengan mengadakan kejohanan sedemikian, ia bukan saja selari dan selaras dengan
Dasar Satu Murid Satu Sukan, tetapi juga turut memberi manfaat kepada anak-anak
didik di sekolah.
Saya suka melihat perkara ini dari sudut yang positif terhadap
perkembangan diri dan potensi anak-anak yang terbabit dalam kegiatan sukan
seperti itu. Dalam kesempatan bertemu dengan anak-anak yang mengambil bahagian
dalam kejohanan sedemikian, saya sering mengungkapkan kata “Selamat Bertanding”
dan menyarankan supaya bertandinglah dengan semangat kesukanan. Menerusi
kegiatan seperti ini mereka seharusnya terdedah dan sepatutnya disedarkan
bahawa kalah menang adalah adat dan perkara biasa dalam pertandingan.
Ini juga adalah kesempatan untuk kita memupuk nilai murni dalam diri
anak-anak. Nilai untuk bersyukur apabila menang dalam sesuatu pertandingan.
Dengan itu kita tidak akan cepat lupa diri dengan merasakan diri sudah apabila
mencapai kemenangan, sebaliknya sentiasa menyedari bahawa segala kekuatan
tenaga yang dimiliki dan yang dikerahkan untuk mencapai kemenangan dalam
pertandingan itu adalah anugerah Pencipta kita.
Pada masa sama pelajar tidak akan melupakan bahawa ia bukanlah hasil
usahanya secara sendirian, sebaliknya adalah hasil tunjuk ajar dan galakan yang
diberikan oleh guru di sekolah serta sokongan ibu bapa, saudara-mara dan
mungkin juga jiran tetangga dan sahabat handai lain.
Bagi yang kalah pula, tidak lupa kita ucapkan supaya jangan berputus asa
kerana mereka boleh mencuba lagi dalam kejohanan lain pada masa akan datang.
Bahkan mereka boleh mengambil iktibar dan pengajaran daripada suasana
sedemikian. Mengajak anak didik melakukan muhasabah diri untuk meneliti punca
yang menyebabkan mereka belum mencapai kemenangan yang diimpikan.
Mungkinkah kerana kurang latihan? Jika ya, bererti lebih banyak latihan
lagi diperlukan oleh mereka. Mungkin ini juga peluang terbaik untuk mengajak
mereka menyedari bahawa latihan perlu dilakukan secara berterusan, bukan
menunggu sehingga waktu sekolah hendak mengadakan kejohanan, baru hendak mula
berlatih.
Dalam hal ini tidak syak lagi sokongan dan galakan daripada guru serta ibu bapa sangat
penting dan mustahak. Kerana jika dilihat, itulah yang dilakukan oleh atlet
sukan yang lain. Mereka berlatih pada setiap hari, tanpa menunggu datangnya
hari pertandingan.
Sama ada pelajar terbabit akan muncul sebagai ahli sukan dan atlet negara
pada masa depan atau tidak, itu bukanlah ukuran penting. Namun, kita tidak
boleh mengetepikan kemungkinan berkenaan.
Saya selalu menyatakan akan peri mustahaknya guru dan ibu bapa memberi
sokongan terhadap usaha membantu pelajar meneroka potensi yang ada pada diri
mereka. Sebab itulah wajar bagi sekolah memupuk kesedaran di kalangan pimpinan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta ahlinya mengenai kepentingan kejohanan
sedemikian.
Kejohanan sukan tidak semestinya berakhir dengan melahirkan ahli sukan.
Tetapi ia adalah wadah yang penting untuk memberi kesedaran mengenai
kepentingan kegiatan sukan dan riadah
dalam kehidupan kita.
Pertama, bersukan boleh menyihatkan tubuh badan. Malah Rasulullah SAW pun
menggalakkan umatnya bersukan dengan menganjurkan supaya ibu bapa mengajarkan
anak mereka menunggang kuda, memanah dan berenang. Itu adalah isyarat jelas
bahawa Islam sangat memandang tinggi terhadap usaha memupuk kesihatan serta
membina kemahiran dalam diri insan.
Untuk menegaskan lagi peri pentingnya kesihatan, Rasulullah SAW menyatakan
bahawa Allah SWT lebih mengasihi orang beriman yang kuat berbanding orang
beriman yang lemah. Kuat dalam konteks ini bermaksud sihat kerana apabila sihat
banyak urusan yang boleh dilaksanakan dan diselesaikan. Sebaliknya orang yang
sakit banyak urusan yang tergendala. Jika kita sihat, badan akan menjadi
cergas. Apabila badan cergas, otak pun cerdas. Dengan itu, lebih mudah bagi
kita untuk berfikir dengan lebih tenang dan matang.
Bagi anak-anak, jika mereka sihat, setiap hari mereka boleh datang ke
sekolah. Apabila otak mereka cerdas, mudah untuk mereka memberi tumpuan
terhadap pelajaran di dalam kelas. Dengan itu, insya Allah mereka akan mencapai
kejayaan dalam pelajaran.
Maka sebab itulah saya sangat menyokong usaha kegiatan Pendidikan Jasmani
dan Kesihatan serta kesukanan diadakan sepanjang tahun di sekolah. Tidak semestinya bertujuan
untuk pertandingan, tetapi bagi memupuk amalan dan cara hidup sihat.
Sebab itu saya sangat hairan apabila ada sekolah yang bertindak
mengetepikan waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan hanya semata-mata untuk
memberi keutamaan dan laluan kepada subjek yang dikatakan kritikal dan yang
berkaitan dengan peperiksaan. Lagi hampir dengan peperiksaan seperti Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran
Malaysia, lagi banyak waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan diketepikan.
Pada masa sama, guru sering mengingatkan pelajar supaya menjaga kesihatan
untuk memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan. Namun, pada masa sama
kegiatan yang boleh membantu menyokong memelihara kesihatan dihentikan di
sekolah.
Jika kita benar-benar serius hendak memastikan pelajar kita mengamalkan
gaya hidup sihat serta kekal sihat berpanjangan, persepsi dan layanan terhadap
subjek itu serta kegiatan sukan di sekolah serta cara pelaksanaannya patutlah
dikaji semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan