PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Isnin, 1 Disember 2008

Peperiksaan oh peperiksaan!

KADANGKALA saya sendiri terfikir banyak benda yang pelik berlaku dalam dunia pendidikan formal kita. Yang lebih pelik lagi apabila yang melakukan yang pelik-pelik itu adalah dalam kalangan pendidik sendiri.

Hari ini sebaik saja selesai makan malam bersama keluarga, anak lelaki saya yang baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menceritakan mengenai perangai seorang guru di sekolahnya.

Topik asalnya berkisar mengenai mata pelajaran Bahasa Arab di sekolah. Anak perempuan saya yang belajar di tingkatan dua memberitahu dia mendapat markah 99 peratus bagi subjek Bahasa Arab dalam peperiksaan akhir tahun ini.

Memandangkan kedua-dua anak saya itu pernah belajar Bahasa Arab sewaktu di sekolah rendah, maka mereka merasakan sukatan pelajaran yang dipelajari di tingkatan satu hingga tiga agak senang. Tetapi bagi rakan sebaya mereka yang hanya mula mempelajarinya selepas memasuki sekolah menengah, tentulah merasakan agak susah.

Bagaimanapun, yang menarik perhatian saya adalah apabila anak lelaki saya menceritakan mengenai tindakan dan kenyataan guru Bahasa Arab di sekolahnya. Perkara itu berlaku sewaktu dia di tingkatan tiga.

Mengikut ceritanya, apabila mendapati ramai pelajar yang mengambil subjek Bahasa Arab lulus dengan markah yang tinggi, ustazah berkenaan berkata, “Saya akan pastikan dalam peperiksaan akan datang, ramai yang tidak lulus.” Saya terkejut mendengar cerita itu. Khabarnya peperiksaan itu adalah peperiksaan dalaman sekolah berkenaan, bukan peperiksaan percubaan atau peperiksaan yang diselaraskan pada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.

Mengikut cerita anak lelaki saya lagi, memanglah pelajar boleh lulus dengan markah tinggi kerana di sekolah yang sama juga, ada seorang ustazah lain, yang pernah mengajarnya terlalu ‘pemurah’ hingga sanggup memberi ‘clue’ mengenai soalan yang akan keluar dalam peperiksaan itu. Jika benarlah kejadian seperti itu berlaku, saya kira ia adalah amat malang bagi sistem pendidikan kita. Tidak kira di sekolah mana pun ia berlaku.

Saya berkata kepada anak saya bahawa saya tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua ustazah berkenaan. Sebagai pendidik, guru tidak seharusnya mempunyai sikap mahu melihat ramai pelajarnya tidak lulus peperiksaan. Apatah lagi mengharap dan mendoakan sedemikian. Walaupun mungkin dia maksudkan sebaliknya iaitu supaya pelajarnya berusaha lebih gigih, seorang pendidik tidak wajar mengeluarkan kata-kata sedemikian. Kerana pelajar dan ibu bapa tidak dapat menilai apa yang sebenarnya ada di dalam hatinya, tetapi menilai berdasarkan kata-kata yang diucapkannya.

Saya pernah mendengar ada sesetengah guru yang memang berasa bangga jika ramai pelajarnya gagal dalam ujian mahupun peperiksaan yang dijalankannya. Kononnya itu menunjukkan dia guru yang hebat. Buktinya pelajar sukar lulus. Itu persepsi dirinya saja. Guru sebegini lupa bahawa orang lain boleh mempunyai persepsi yang berbeza. Orang lain mungkin melihat keadaan itu sebagai tanda kegagalan guru berkenaan. Guru itu tidak pandai mengajar, sebab itu ramai pelajarnya gagal!

Sebenarnya guru tidak perlu sezalim itu untuk menunjukkan kehebatan dirinya. Bagi saya, guru sedemikian sebenarnya bukan orang hebat tetapi angkuh tidak bertempat. Bagi saya, guru sepatutnya berasa gusar apabila ramai pelajarnya gagal dalam subjek yang diajarnya. Ketika itu, dia sepatutnya bertanya pada dirinya, apakah puncanya? Adakah mereka tidak faham apa yang diajarnya selama ini?

Guru dalam ertikata sebenarnya sentiasa mengharapkan dan mendoakan pelajarnya mencapai kejayaan. Jika mereka dapat markah yang tinggi, dia lagi suka! Alhamdulillah. Ia menunjukkan mereka faham pengajarannya. Bukankah itu bukti pengajarannya berkesan?

Tetapi itu tidak pula bermakna guru perlu membocorkan soalan peperiksaan semata-mata mahu memastikan semua pelajar mendapat markah tinggi kerana itu juga bukan caranya. Pelajar memanglah suka tetapi sampai bila mereka harus diajar sedemikian rupa? Bagi saya, tindakan guru membocorkan soalan adalah tindakan orang yang singkat pemikiran dan sebenarnya mengajar serta menggalakkan pelajar membuat perkara yang salah. Bukankah membocorkan soalan adalah satu kesalahan? Jadi, hairankah kita apabila anak-anak kita memasuki alam pekerjaan dan menjadi pembocor rahsia? Bagaimana pula jika mereka membocorkan rahsia keselamatan negara?

Bagi saya, guru yang membocorkan soalan peperiksaan hanya mahu menutup kelemahan dirinya dan takut disoal oleh pengurusan sekolah. Guru sepatutnya berlaku adil pada dirinya sendiri dan pelajarnya. Guru sepatutnya melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan sepenuh hati serta melakukan yang terbaik untuk memastikan pelajarnya faham segala pengajarannya. Kemudian menguji mereka dengan kaedah yang adil dan bersesuaian. Dia tidak perlu membocorkan soalan ataupun sengaja menanyakan soalan yang dia sendiri tahu pelajarnya memang tidak boleh menjawabnya. Dengan itu, ujian dan peperiksaan boleh menjadi bahan refleksi diri untuk guru mahupun pelajarnya.

Saya katakan kepada anak saya, kata-kata yang dilafazkan oleh ustazah berkenaan dan tindakan membocorkan soalan yang dilakukannya, menunjukkan guru itu tidak faham mengenai konsep bekerja sebagai ibadah. “Abah lagi kesal kerana yang mengeluarkan kata-kata sedemikian dan membocorkan soalan itu pula adalah ustazah!” kata saya.

3 ulasan:

daddyBot berkata...

salamz sahabat! tahniah dengan blog baru! menyentuh kes yang dipaparkan, mungkin ini satu 'isolated' case...sememangnya kita yakin ia tidak mencerminkan keseluruhan komuniti perguruan...tapi malang sekali lah jika ia berlaku..apa pun...sekarang memang sukar nak mencari seorang 'pendidik' dari kalangan guru-guru kita...seperti "cikgu murni" yang membantu anak-anak yatim dalam cerita "labu labi"...

. berkata...

tahniah ada blog ini. saya cadangkan saudara buat blogroll untuk senaraikan blog sahabat2. dengan cara ini kita saling mempromosikan blog bagi menambah pembaca.

salam.

Tanpa Nama berkata...

Berapakah Peperiksaan Sebenar dijalankan setahun...1) Mid Term I examination 2)End of Semester I 3)Mid Year Examination 4)End of Year Examination.... 4 kali setahun?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)