PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Rabu, 9 November 2011

PPSMI: Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran


SEWAKTU isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih hangat diperkatakan berikutan ada pihak yang mendesak supaya dasar itu dikekalkan, saya telah menulis satu rencana di dalam kolum saya, Sekali Bicara, di dalam majalah PENDIDIK keluaran OKTOBER 2011. Walaupun kini sudah memasuki November, untuk tujuan simpanan dan rujukan masa depan, saya paparkan juga rencana berkenaan di sini. Terima kasih.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------

SAYA amat terkejut apabila akhbar melaporkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk memberi pilihan kepada sekolah yang ingin menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek sains dan matematik. Saya terkejut kerana kenyataan itu menyusul selepas Kabinet membuat keputusan menamatkan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
            Saya benar-benar terkejut dengan kenyataan yang dibuat Timbalan Perdana Menteri itu sehingga terdetik di dalam hati saya: “Saya menyangkakan isu ini sudah tamat, keputusannya sudah muktamad. Rupa-rupanya masih terkulat-kulat!”
            Maaf! Tapi itulah hakikat sebenarnya yang saya rasai dengan kenyataan itu yang dibuat berikutan desakan segelintir ibu bapa yang mahu program PPSMI diteruskan atas alasan yang selalu kita dengar iaitu untuk memastikan anak mereka menguasai bahasa Inggeris.
Kenyataan itu menunjukkan kerajaan tidak bertegas dengan keputusan yang sudah dibuat. Bahkan dengan melayani tuntutan berkenaan dan memberikan pilihan sedemikian bererti kita membuat keputusan untuk mundur ke zaman sebelum dan awal negara mencapai kemerdekaan. Saya bimbang dengan membolehkan sekolah memilih bahasa pengantar mana yang mahu digunakan untuk pengajaran sains dan matematik akan melebarkan lagi jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar.
Sejak bahasa kebangsaan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti, kita menyaksikan bilangan guru Melayu yang mengajar sains dan matematik semakin bertambah, sedangkan sebelum itu, pengajaran kedua-dua subjek itu didominasi guru bukan Melayu. Kemasukan pelajar dari kawasan luar bandar dan keluarga miskin juga universiti semakin bertambah. Bahkan, ramai pelajar yang dihasilkan daripada dasar penggunaan bahasa kebangsaan kini yang mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.
Saya bimbang langkah memberi sekolah membuat pilihan bertentangan dengan dasar pendemokrasian pendidikan yang berhasrat memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia, mendapat akses kepada pendidikan tanpa mengira kaum, keturunan serta latar belakang sosioekonomi.
Pada saya isu PPSMI hanya menggambarkan konflik di antara dua kepentingan iaitu kepentingan untuk memastikan anak-anak kita menguasai bahasa Inggeris dengan kepentingan untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan atau celik huruf dan berilmu. Di antara kedua-dua kepentingan itu, saya kira kepentingan yang kedua itu lebih penting.
Saya akur memang penting bagi kita dan anak-anak menguasai bahasa Inggeris. Apatah lagi dengan kedudukannya sebagai bahasa penting peringkat antarabangsa, termasuk dalam sains dan teknologi. Bahkan saya menyokong anak-anak kita mempelajari, bukan sahaja dua bahasa, bahkan seberapa banyak bahasa yang mereka mampu.
Namun memastikan mereka menjadi orang yang celik huruf, terdidik dan berilmu dalam semua bidang, termasuk sains dan matematik adalah lebih besar dan lebih penting. Bahkan, saya percaya jika anak-anak kita mempelajari sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan, walaupun tidak semua akan melanjutkan pelajaran ke universiti, sekurang-kurangnya mereka akan celik dan memahami apa itu sains dan matematik.
Kita tentu semua masih ingat, sewaktu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan serta dalam bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), murid sekolah kebangsaan selalu dikatakan lemah dalam kedua-dua subjek itu dibandingkan rakan mereka di SJKC dan SJKT. Malah murid sekolah kebangsaan, terutama di kawasan luar bandar, juga sering dilaporkan lemah dalam bahasa Inggeris.
Jika belajar dalam bahasa kebangsaan pun mereka lemah dalam Sains dan Matematik, bagaimanakah hendak meningkatkan penguasaan mereka jika mempelajarinya dalam bahasa Inggeris? Itulah realitinya yang berlaku pada peringkat akar umbi.
Kita berhasrat untuk mencapai Wawasan 2020 yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara maju berasaskan industri dan berpendapatan tinggi. Kita memerlukan modal insan yang berminda kelas pertama serta berilmu untuk mencapai impian berkenaan. Tetapi bolehkah impian itu menjadi kenyataan jika jurang pendidikan antara rakyat semakin lebar?
Sejak awal pelaksanaan PPSMI lagi saya sering tertanya-tanya, mengapakah ketika SJKC diberi kebenaran menggunakan dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin untuk mengajar subjek Sains dan Matematik, tetapi murid di sekolah kebangsaan 'dipaksa' menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya?
Dalam keadaan majoriti anak-anak kita selalu dikatakan lemah dalam sains dan matematik serta bahasa Inggeris, kemudian mereka dipaksa pula mempelajari mempelajari sains dan matematik dalam bahasa yang mereka lemah penguasaannya, saya bimbang pelaksanaan PPSMI tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Janganlah sampai terjadi yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Janganlah nanti akhirnya, penguasaan bahasa Inggeris pun tidak meningkat, penguasaan yang sedikit dalam sains dan matematik pula semakin menurun.
Sebenarnya pada saya masalah penguasaan bahasa Inggeris serta sains dan matematik adalah dua isu yang berbeza. Setiap satu ada jalan penyelesaiannya sendiri, dan tidak seharusnya dicampuradukkan.
Sekiranya benar penguasaan bahasa Ingeris menjadi masalah, biarlah kita teliti di manakah puncanya. Kajian menyeluruh patut dijalankan untuk menyelesaikan masalah ini. Mengapakah selepas 11 tahun bersekolah, anak-anak kita masih belum menguasai bahasa Inggeris dengan baik? Adakah kerana mereka tidak berminat atau mempunyai kesukaran untuk mereka berbuat demikian?
Bagi kedua-dua sebab itu tentu ada puncanya dan jalan penyelesaiannya. Jika tidak pelajar tidak berminat dengan bahasa Inggeris, apakah yang telah dilakukan untuk menarik minat mereka mempelajari bahasa itu? Jika mereka merasakan sukar untuk mempelajari bahasa itu, apakah kesukaran itu tidak boleh dipermudahkan? Begitu juga halnya dengan subjek Sains dan Matematik. 
Sebagai bapa, saya merasakan guru lebih arif bagaimana hendak menarik minat dan menjadikan pembelajaran lebih mudah untuk pelajar mengikuti dan menguasainya. Bahkan jika lima waktu seminggu yang diperuntukkan bagi ketiga-tiga itu tidak mencukupi, saya cadangkan panjangkan saja waktu pembelajarannya. Dengan itu lebih banyak masa boleh diperuntukkan untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar dalam Bahasa Ingeris, Sains dan Matematik.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)