PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Ahad, 20 November 2011

Kerajaan perlu tegas pertahan keputusan mansuh PPSMI


SUDAH berulang kali saya menyatakan saya tidak pernah menentang hasrat untuk melihat generasi muda kita menguasai bahasa Inggeris yang kini menjadi bahasa penting pada peringkat antarabangsa.
Bahkan saya pernah menyatakan bahawa pelajar bukan sahaja patut diberi galakan dan disediakan peluang untuk mereka mempelajari dan  menguasai dua bahasa, bahkan jika lebih banyak daripada itu pun tidak mengapa. Jika mereka mampu untuk mempelajari dan menguasai tiga empat bahasa pun apa salahnya. Tidak ada sebab untuk kita menghalang mereka berbuat demikian.
Bagaimanapun, apabila arahan dan keputusan dibuat supaya subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, daripada awal lagi saya sangat tidak bersetuju dan menentang pendekatan berkenaan. Bukan kerana saya anti bahasa Inggeris atau seperti sesetengah orang, anti apa sahaja yang berbau Inggeris.
Seperti pernah saya nyatakan di dalam kolum ini dan blog saya, isu yang berligar di sekitar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebenarnya adalah mengenai pertembungan antara dua kepentingan iaitu antara kepentingan memastikan pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan kepentingan memberikan pendidikan kepada mereka. Antara kedua-dua kepentingan itu, memastikan mereka mendapat pendidikan tentulah lebih penting.
Saya telah nyatakan pendirian bahawa saya akur penting dan perlu pelajar mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris. Bagaimanapun, kita juga perlu memastikan mereka juga boleh mempelajari dan menguasai sains dan matematik. Sehubungan itu, untuk memastikan mereka memahami pengajaran sains dan matematik serta menjadi celik dalam kedua-dua pelajaran itu, saya percaya, matlamat itu hanya boleh dicapai dengan menggunakan bahasa Melayu.
Saya juga percaya isu pelajar tidak boleh menguasai bahasa Inggeris boleh diatasi dan diselesaikan dengan cara memberi fokus kepada cara dan pendekatan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek itu sendiri.
Sehubungan itu, saya menyambut baik apabila kerajaan memutuskan untuk memansuhkan pelaksanaan PPSMI selepas kajian mendapati dasar berkenaan memberikan kesan tidak baik terhadap majoriti pelajar di negara ini, terutama bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar.
Bahkan saya memuji tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran supaya pemansuhan dasar itu dibuat secara beransur-ansur (soft-landing). Mengikut keputusan itu, pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik untuk murid yang memasuki tahun satu mulai sesi persekolahan 2011 dibuat sepenuhnya dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan, manakala bagi murid yang memasuki tahun tiga hingga tingkatan lima tahun depan akan meneruskan dasar berkenaan sehingga 2020 apabila kumpulan terakhir yang mengikuti PPSMI mengambil Sijil Pelajaran Malaysia.
Nampaknya kerajaan dan Kementerian Pelajaran membuat keputusan itu dengan cara yang cukup berhemah. Kerana seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan itu mengambil kira kerisauan ibu bapa bahawa anak mereka yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.
“Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan,” katanya.
Syabas Tan Sri dan pegawai di Kementerian Pelajaran. Bagi saya keputusan ini benar-benar dibuat untuk memastikan rambut tidak putus, tepung tidak berselerak!
Sungguhpun begitu, masih ada suara yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan. Suara yang mahu PPSMI terus dikekalkan terus bergema hingga ke peringkat mengugut mereka tidak akan mengundi kerajaan sedia ada dalam pilihan raya umum akan datang jika permintaan mereka tidak dipenuhi.
Sebenarnya ramai pihak hanya tersengih bagaikan kerang busuk mendengar suara berkenaan. Seorang mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran menyatakan kepada saya, desakan dan kajian yang didakwa oleh pihak berkenaan sebenarnya sangat lemah dan rapuh. Bahkan, katanya, pihak berkenaan tidak sedar sebenarnya, pelaksanaan PPSMI sebenarnya turut menyumbang kepada kehilangan undi yang dialami pemerintah sekarang.
Opsss... cukup setakat itu. Saya tidak berhasrat menghurai lebih panjang mengenai kaitannya dengan pilihan raya. Lagi pun saya bukan ahli politik dan saya bukan calon pilihan raya. Sebab itu penulisan saya tidak berbaur politik. Saya hanya menyuarakan pandangan saya sebagai wartawan dan rakyat Malaysia yang berminat dengan dunia pendidikan.
Dalam menangani isu ini, sekali lagi saya berpendapat kerajaan dan Kementerian Pelajaran telah membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia dan bagi kepentingan generasi akan datang.
Cuma saya berharap keputusan yang sudah dibuat itu akan dipertahankan dengan tegas biar apa pun cabaran dan ugutan yang dilemparkan. Apabila keputusan sudah dibuat, biarlah benar-benar muktamad, jangan lagi terkulat-kulat!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)