PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Isnin, 4 Jun 2012

Uji Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dalam peperiksaan nasional


"Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat pelbagai kaum serta pentingnya semangat patriotisme dan menyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian negara. Namun pelaksanaannya pada peringkat sekolah tidak menunjukkan bahawa subjek itu adalah penting."


Oleh Mohd Fuad Razali

PADA 23 April lalu, sewaktu berucap di Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong, mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya subjek Sivik dan Kewarganegaraan diuji dalam peperiksaan nasional seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
  


Saya tertarik dengan saranan itu jika ditinjau dari segi tujuan dan objektif sebenar Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diperkenalkan di sekolah sejak 2003. Di dalam buku Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan terbitan Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran dinyatakan bahawa tujuan subjek itu adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat pelbagai kaum serta pentingnya semangat patriotisme dan menyumbang kepada kesejahteraan dan keharmonian negara.

Subjek itu yang diajar kepada murid tahun empat hingga pelajar tingkatan lima, menekankan empat prinsip pendidikan yang penting iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be). Prinsip belajar untuk hidup bersama merupakan asas dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian, serta amat bersesuaian dengan latar belakang masyarakat berbilang kaum di negara kita. Menerusi prinsip ini, perpaduan dalam keluarga, komuniti dan masyarakat dapat dipupuk.

Subjek itu juga dikatakan memainkan peranan penting dalam kurikulum kebangsaan sama ada pada peringkat rendah mahupun menengah. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan pada peringkat rendah dinyatakan bertujuan melahirkan murid yang dapat menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan negara, memberi tumpuan kepada aspek perkembangan diri serta hubungan dengan orang lain dan persekitaran, serta menjadi wahana bagi mewujudkan perpaduan dan menghormati pelbagai budaya masyarakat di negara ini.

Pada peringkat menengah pula, subjek itu memberi penekanan kepada hubungan murid dengan masyarakat; peranan, hak dan tanggungjawab sebagai warganegara; serta memupuk nilai yang perlu untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Bagaimanapun pelaksanaannya pada peringkat sekolah tidak menunjukkan bahawa subjek itu adalah penting. Hal ini terbukti berdasarkan jumlah masa yang diperuntukkan untuk subjek berkenaan hanyalah dua waktu sahaja seminggu atau bersamaan 60 minit tempoh seminggu di sekolah rendah dan 80 minit seminggu di sekolah menengah berbanding subjek-subjek teras atau kritikal yang lain. Selain itu, subjek itu juga hanya diuji dalam peperiksaan pada peringkat sekolah, tetapi tidak diuji dalam peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Seperti kata Boon Som, memandangkan keadaan itu maka pelajar dan guru tidak mengambil berat terhadap subjek berkenaan berbanding mata pelajaran lain yang diuji dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Bahkan ada maklumat menyebutkan ada sekolah tidak menjalankan projek khidmat masyarakat seperti ditetapkan walhal ia adalah salah satu komponen penting dalam kurikulum Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Pelajar sekolah menengah sepatutnya menjalani kerja amali itu di luar waktu persekolahan sekurang-kurangnya 10 jam setahun dan menyediakan laporan mengenainya.

Ada sekolah dikatakan menggunakan peruntukan subjek berkenaan bagi subjek lain yang dirasakan lebih penting dan kritikal untuk menjamin pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Ada sekolah yang mengajarkan subjek berkenaan kepada pelajar tahun enam, tingkatan tiga dan lima bagi tempoh empat atau lima bulan pertama persekolahan sahaja atas alasan untuk memberi fokus kepada persediaan untuk menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, dan SPM.

Selaras dengan langkah Kementerian Pelajaran mengkaji semula sistem pendidikan negara, saya berpendapat cadangan Boon Som supaya subjek Sivik dan Kewarganegaraan turut diuji dalam peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM patut diambil kira. Bahkan lulus subjek ini patut dijadikan syarat untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran awam, sebagai bukti komitmen dan kesungguhan kita untuk melahirkan insan seperti dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu rakyat Malaysia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Saya percaya jika pelajar memahami dan menghayati kandungan pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, mereka akan membesar sebagai warga negara yang memahami tugas dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia, serta menyedari bahawa emajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara kita hari ini adalah hasil kerjasama dan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang terdapat di negara ini.

Mereka akan menyedari bahawa tanpa perpaduan, hampir mustahil kita akan dapat menikmati kejayaan seperti yang dikecapi sekarang. Dengan itu, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan riak-riak yang cuba mengocak keamanan, kerjasama dan perpaduan yang dipupuk sejak negara mencapai kemerdekaan. Mereka tidak akan mudah terikut-ikut dengan kelompok yang cuba meniupkan api permusuhan dalam kalangan rakyat dengan memainkan sentimen perkauman yang sempit demi mencapai matlamat dan cita-cita politik peribadi dan kelompok masing-masing. Dan sudah tentu menghormati dan tidak mempertikaikan kontrak sosial yang sudah dipersetujui pemimpin terdahulu yang menjadi asas kepada perpaduan yang kita bina selama ini.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)