PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Jumaat, 18 Februari 2011

Sikap ibu bapa pengaruhi kejayaan anak-anak dalam pelajaran Bhg. 5 (Akhir)

Oleh Mohd Fuad Razali

SELAMAT bertemu lagi. Kali ini saya akan menyambung lagi mengenai beberapa sikap ayah saya terhadap pelajaran anak-anaknya.

7. Memastikan anak-anak berada di rumah pada waktunya.
Memang sudah menjadi kelaziman bagi ayah sentiasa mengingatkan anak-anaknya supaya berada di rumah pada waktunya. Misalnya, selepas tamat persekolahan, kami perlu terus balik ke rumah. Bukan melencong ke tempat lain. Jika saya terpaksa terus berada di sekolah kerana kegiatan kokurikulum misalnya, maka saya akan memberitahu ayah dan emak terlebih dahulu bahawa pada hari itu saya akan pulang lewat.


Jika keluar bermain, sebelum maghrib mesti sampai di rumah. Jika pergi ke surau, selepas Isyak mesti berada di rumah. Jika sehingga tengah malam, kami masih belum berada di rumah, ayah akan keluar mencari sehingga dapat. Sekali pernah berlaku, sewaktu saya sedang menunggu keputusan SPM, saya menumpang seorang jiran untuk menonton televisyen, saya tidak ingat rancangan apa.Rumah jiran tempat kami menonton televisyen pula, di hujung kampung. Malam itu, sehingga jam 12 tengah malam saya masih belum sampai ke rumah. Tiba-tiba saya terdengar bunyi motor sampai di laman rumah jiran itu. Rupa-rupanya ayah datang mencari saya. Saya disuruh balik membonceng motosikal ayah.

8. Mengambil tahu dan mengenali dengan siapa anak-anaknya berkawan.
Ayah dan emak saya menggalakkan saya membawa rakan-rakan saya ke rumah. Saya dapati ada besar hikmahnya apabila sebagai anak, kita membawa rakan-rakan ke rumah. Dengan berbuat demikian, ayah dan emak dapat mengenali rakan-rakan saya dan mengetahui hati budi mereka.

Bagaimanapun, saya kira saya agak bernasib baik, kerana kebanyakan rakan-rakan saya lebih dewasa daripada. Bahkan ada yang sudah bekerja. Dalam kalangan mereka juga ada yang masih belajar di universiti. Suatu ketika, sepupu saya memberitahu, ayah saya pernah menggelengkan kepala melihatkan saya berkawan dengan orang yang lebih dewasa serta sudah bekerja. Dia merasakan saya menurut jejak langkahnya - walaupun dia tidak berpelajaran tinggi, ramai rakan-rakannya yang berjawatan tinggi dan belajar hingga universiti. Kata sepupu saya, ayah saya pernah berkata, "Fuad ni berkawan dengan orang besar-besar (dewasa), kerja besar dan masuk universiti. Kalau dia tak masuk universiti juga, tak tahulah!"

Disebabkan mengenali rakan-rakan saya itu, biasanya saya tidak mempunyai masalah jika hendak ke sana sini dengan rakan-rakan berkenaan kerana ayah dan emak sudah mengenali perangai dan hati budi mereka. Pendek kata, mereka memang rakan-rakan yang boleh dipercayai ayah dan emak.

9. Tidak memberikan anak-anaknya benda-benda atau perkara yang difikirkannya tidak bermanfaat.
Ayah memang tidak akan memberi kebenaran ataupun benda yang pada fikirannya tidak akan memberi manfaat kepada anak-anaknya. Apatah lagi jika perkara atau benda itu akan memberi mudarat dari segi keselamatan, sama ada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang. Contoh paling mudah ialah hendak pergi ke sekolah. Sewaktu saya bersekolah di SM Jenis Kebangsaan Kepala Batas, yang jauhnya kira-kira 8 kilometer dari rumah, saya menaiki bas sekolah. Ayah tidak membenarkan saya menaiki basikal. Untuk membelikan motosikal jauh sekalilah!

Saya pernah meminta kebenaran untuk berbasikal ke sekolah, tetapi ayah melarangnya. Bahkan dia bertanya kepada saya, kenapa hendak naik basikal ke sekolah. Dia tidak membenarkan saya berbuat demikian kerana bimbang saya akan melencong ke tempat lain sewaktu balik dari sekolah. Bagaimanapun, sewaktu saya di tingkatan tiga, dia memberikan kebenaran kepada saya untuk berbasikal ke sekolah seminggu sekali iaitu pada hari saya bertugas sebagai pengawas perpustakaan. Kerana pada hari berkenaan, saya bertugas di sebelah petang, tetapi perpustakaan sekolah akan ditutup sebelum sesi persekolahan petang berakhir. Dengan itu, saya tidak perlu menunggu bas sekolah sehingga lewat petang untuk pulang ke rumah.

10. Tegas tetapi boleh berbincang dengan anak-anak.
Satu sifat ayah yang sangat jelas ialah tegas. Dia tegas dengan keputusannya. Jika hitam katanya, maka hitamlah. Jika putih katanya, maka putihlah. Jika ayah mengatakan tidak, maka dia memang maksudkan tidak. Jika ayah melarang, bererti dia memang benar-benar melarang. Ayah tidak pernah berkompromi dengan keputusannya.

Namun demikian, itu tidak pula menghalangnya menjadi ayah yang penyayang. Bahkan dia boleh menjadi kawan kepada anak-anaknya. Saya dan adik-adik boleh duduk berbual dan berbincang dengan ayah. Bukan saya tidak pernah dipukul oleh ayah, tetapi saya tahu, ia berpunca daripada kesalahan atau kelalaian saya. Namun itu tidak membuatkan saya menjauhkan diri daripada ayah, kerana biasanya marahnya hanya sekejap sahaja dan pada perkara salah yang saya lakukan. Esoknya, ayah akan menunjukkan sikap baiknya seperti biasa.

Sewaktu saya bersekolah di SM Teknik Alor SEtar dan belajar di Universiti Pertanian Malaysia, setiap kali balik bercuti saya akan meluangkan masa untuk berbual, bercerita dan berbincang dengan ayah. Kadang-kadang kami duduk bersama di dalam rumah di dapur. Kadang-kadang di bahagian bawah rumah. Malah, pernah suatu ketika seorang jiran sekampung, bergurau dengan saya dengan katanya, "Oi Fuad, kawan mana?" Kawan yang dimaksudkan adalah ayah saya. Maksudnya, orang kampung pun perasan saya boleh duduk berbual dengan ayah seperti lagaknya seorang rakan berbual dengan rakannya.

Semua ciri-ciri yang saya ceritakan itu, menjadi pedoman kepada diri saya sendiri dalam saya membesar dan mendidik anak-anak. Malah, menjadi sumber dan inspirasi kepada diri saya dalam melakukan tindakan terutama yang berkaitan dengan pelajaran anak-anak saya.

Berdasarkan itulah maka saya menyimpulkan bahawa sebagai ibu bapa, sama ada kita berharta atau tidak, sama ada kita berpelajaran tinggi atau tidak, sama ada kita berpangkat tinggi atau tidak, itu semua bukanlah syarat untuk anak-anak kita berjaya dalam pelajaran. Sebaliknya, sebagai ibu bapa, jika kita mempunyai sikap yang betul terhadap anak-anak, sekolah dan guru serta persekolahan anak-anak, insya Allah, anak-anak kita boleh berjaya dalam pelajaran dan hidup mereka. Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka bersungguh-sungguh untuk membantu mereka dalam pelajaran, maka anak-anak juga akan bersungguh-sungguh kerana mencontohi kesungguhan ibu bapa mereka.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)