PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Khamis, 10 Februari 2011

Sikap ibu bapa pengaruhi kejayaan anak-anak dalam pelajaran Bhg. 4

 Oleh Mohd Fuad Razali

SETAKAT ini saya sudah menceritakan tiga sikap ayah saya berhubung pelajaran anak-anaknya, iaitu mengutamakan pelajaran anak-anak, mempunyai sikap yang betul terhadap guru serta mempunyai dan berkongsi wawasan anak-anak.  Kali ini saya ingin menyambung dan berkongsi mengenai beberapa lagi sikap ayah berhubung perkara itu.


Ayah (bersongkok hitam) di hari perkahwinan saya.
4. Bersedia memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak-anak
Ayah sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada anak-anaknya, termasuk membantu dalam pelajaran. Walaupun dia tidak pernah memasuki sekolah menengah, apatah lagi melanjutkan pelajaran di universiti, itu bukan halangan untuk dia berbuat demikian. Selagi terdaya, dia akan membantu.  

Saya cukup tertarik mengenangkan cara ayah membantu saya dalam pelajaran. Ketika saya berusia enam tahun, ayah adalah orang pertama memperkenalkan saya kepada huruf dan angka. Ayah membelikan saya satu kotak yang mengandungi huruf rumi yang berbentuk kiub diperbuat daripada kayu. Dia memperkenalkan huruf-huruf itu kepada saya dan mengajar saya mengeja dengan menyusun kiub-kiub huruf berkenaan. Selain itu, ayah membuat sendiri satu siri buku untuk saya mengenal huruf rumi dan belajar mengeja. Buku itu dibuat daripada buku lukisan (drawing pad).

Ketika saya hendak memasuki sekolah rendah pada 1971, ayah membelikan buku-buku teks. Sebelum sekolah dibuka lagi saya sudah mula belajar membaca buku-buku berkenaan dengan ayah, termasuk buku Bahasa Inggeris.

Ketika saya bersekolah, subjek Sains sudah diperkenalkan pada peringkat rendah sejak darjah satu lagi. Saya masih ingat lagi, ketika saya sudah memasuki darjah dua, pada suatu hari guru Sains menyuruh murid-murid melukis jenis-jenis tumbuhan seperti tumbuhan berbunga dan berdaun. Memandangkan saya bersekolah pada sebelah petang, maka saya membuat kerja rumah pada sebelah malam. Malam itu, ayah menunjukkan saya bagaimana melukis bunga kertas dan pokok pegaga di atas sekeping kertas. Kemudian dia menyuruh saya menyalin kembali gambar yang dilukisnya itu ke dalam buku latihan Sains. Dia memberitahu saya warna bunga dan daun. Kemudian dia mengambil lampu picit dan mengajak saya ke tingkap rumah, menyuluh ke tanah, untuk rupa pokok pegaga yang tumbuh meliar di keliling pokok kelapa yang tumbuh di tepi perigi rumah kami.

Begitulah cara saya belajar dengan ayah. Ayah sama sekali tidak akan menolong untuk menulis di dalam buku latihan saya. Begitu juga ketika saya belajar tulisan jawi dengannya. Dia menuliskan huruf jawi di atas kertas, dan kemudian memegang tangan saya untuk menunjukkan cara betul menulis huruf-huruf berkenaan. Kemudian, saya menyalinnya di dalam buku latihan. Apabila tidak betul, disergahnya saya. He he he.. ayah memang garang! Kadangkala saya rasa saya terikut-ikut cara ayah itu.

Saya mengamalkan pendekatan yang sama dalam mendidik anak-anak. Sekalipun anak-anak hendak membuat karangan atau ucapan, saya akan duduk berbincang dengan mereka apakah isi karangan dan ucapan yang sepatutnya. Kemudian yang minta mereka mengarang sendiri karangan dan ucapan itu. Selepas itu mereka akan tunjukkan kepada saya untuk diperbetulkan jika ada kesalahan. Saya sama sekali tidak akan mengarang karangan atau ucapan untuk mereka. Jika saya berbuat demikian, tentulah mereka hanya pandai meniru tetapi tidak akan belajar apa-apa.

Sekiranya ayah merasakan dia tidak tahu, maka dia akan berusaha mencarikan orang lain untuk membantu. Pernah suatu ketika dia pergi meninjau kelas tusyen di Butterworth untuk menghantar saya ke kelas tambahan. Bagaimanapun, tidak jadi. Seingat saya, hanya sekali saya menghadiri kelas tusyen iaitu sewaktu darjah lima yang dikendalikan oleh sepupu saya, Suhaimi Ismail, di kampung Permatang Kuang. Selebihnya adalah tusyen yang dijalankan di sekolah.

Saya belajar al-Quran di rumah dengan ayah, emak dan nenek. Begitu juga belajar mendirikan solat dengan bimbingan daripada mereka.

5. Mengambil tahu perkembangan dalam bidang pendidikan
Amat mengagumkan kerana sungguhpun tidak pernah bersekolah menengah dan memasuki universiti, ayah tahu perkembangan dalam bidang pendidikan. Bahkan dia tahu, selepas tamat sekolah rendah, dengan keputusan penilaian yang cemerlang ke mana boleh pergi. Begitu juga selepas mendapat keputusan Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Malaysia. Dia tahu mengenai kewujudan sekolah berasrama penuh, sekolah teknik dan vokasional serta universiti. 

Saya rasa ini adalah berkat minatnya yang suka membaca. Dia boleh membaca dan suka membaca. Di rumah saya ada ketika itu ada dua almari penuh dengan buku agama, novel dan majalah, termasuk majalah Mastika dan Pemimpin. Majalah Mastika ketika itu, adalah sebuah majalah ilmiah, bukan majalah picisan seperti sekarang. Satu lagi, mungkin kerana dia selalu menghadiri perjumpaan dengan sekolah serta pergaulannya dengan guru-guru. Ini sudah tentu membuka banyak peluang kepadanya bertanya mengenai hal-hal pendidikan.

Selain itu, ayah juga sebenarnya orang yang cinta dan suka mencari ilmu. Dia belajar sendiri Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Bahkan dia sanggup mengeluarkan wang untuk membeli kaset belajar Bahasa Inggeris dan kamus. Ini menjadi contoh dan dorongan kepada saya dan adik-adik.

6. Mengambil berat apa yang disampaikan oleh orang lain mengenai anak-anaknya.
Ini satu lagi sikap ayah. Baginya, tidak timbul soal menjaga tepi kain orang. Malah, ketika itu, memang begitulah budaya hidup di kampung. Anak siapa pun kita tidak peduli, sekalipun anak jiran tetangga. Ketika itu, jika anak jiran melakukan kesalahan sekalipun, sentiasa ada orang yang bersedia dan berani menegurnya. Jika sampai kepada ibu bapa, mereka akan menerimanya. Tidak pula melenting seperti kebanyakan ibu bapa sekarang. Kerana masyarakat ketika itu bersikap saling mengambil berat antara satu sama lain.

Dengan demikian, sebagai anak, kita akan sentiasa menjaga tingkah laku kita serta berhati-hati dengan segala tindak-tanduk kita. Jika tersilap langkah, mungkin kantoi! Ketika melakukan perkara yang salah, mungkin emak dan ayah tidak ada, tapi itu tidak bermakna perkara itu tidak akan sampai kepada mereka. Jika mereka tidak nampak, tetapi ada jiran lain yang nampak, mmmmmmmm, siap! Kerana ayah saya memberi kepercayaan kepada jiran-jiran untuk membetulkan anak-anaknya jika kami tersalah langkah.

Bahkan ayah sendiri pun begitu sikapnya dengan anak-anak jiran tetangga kami. Jika tidak kena, akan ditegurnya. Dia tidak peduli anak siapa. Anak sendiri atau anak orang lain. Anak orang lain ditegur macam anaknya sendiri.

1 ulasan:

RAHINUN MOHD. NOOR berkata...

Salam Fuad, Saya sangat setuju dengan anda, bukan itu saja, malah sikap anak-anak sangat dipengaruhi ibu bapa. Zaman dahulu ibu bapa hormat kepada guru,satu aspek sosialisasi yang sangat mendarah daging di kalangan masyarakat. Sekarang ibu bapa hebat-hebat dan pandai, jadi dengan terang-terangan mengkritik guru, mengutuk guru, malah menjatuhkan air muka guru, jadi kalaulah orang yang patut dihormati oleh masyarakat tidak diajar untuk dihormati, malah diajar untuk tidak hormat, tidak hairanlah anak-anak sudah tidak pandai menghormati ibu bapa sendiri pun, kerana ajaran yang paling berkesan kepada anak-anak ialah apa yang dilakukan oleh ibu bapa itu sendiri di hadapan anak-anaknya.Anak-anak sudah belajar dan dipahat kefahamannya, bahawa kalau dia berkuasa dia boleh buat apa saja dalam dunia ini, kerana ibu bapa telah mengajarnya sedemikian. Sama-samlah kita renungkan. TK

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)