Oleh Mohd Fuad Razali
DALAM posting yang lepas saya menyatakan sewaktu berucap dengan ibu bapa dan waris pelajar di sebuah sekolah menengah, saya memilih untuk bercerita mengenai apa yang dilakukan oleh ayah saya dalam memberikan pelajaran kepada saya dan adik-adik saya.
Sebenarnya saya perlu akui bahawa ayah saya adalah idola saya. Saya juga mendapat ilham dan belajar daripada sikap ayah dalam membesarkan anak-anak saya. Mungkin saya tidak ambil dan tiru semuanya, namun saya perlu akui bahawa apabila hendak membuat sesuatu tindakan berkait dengan pelajaran anak-anak, kadangkala saya membayangkan, apakah yang akan ayah saya lakukan jika berada di tempat. Ketika itu segera saya terbayang apa yang pernah ayah lakukan kepada saya dan adik-adik yang lain.
Dalam hal-hal berkaitan dengan pelajaran, saya merasakan ayah saya sebagai seorang bapa yang tidak pernah berkira dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Memang beliau telah membuktikan dirinya sedemikian. Biar saya senaraikan beberapa sikap ayah berhubung perkara berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya.
1. Memberi keutamaan kepada pelajaran anak-anak.
Pelajaran anak-anak memang menjadi keutamaan ayah. Bukti mudah, dia menghantar kami adik-beradik ke sekolah. Bahkan sentiasa menggalakkan kami belajar sehingga dapat masuk ke universiti. Malah ketika saya sudah bekerja di Berita Harian, dia pernah menyarankan saya menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang Sains Politik kerana katanya, "Kita belum ada adik beradik yang terlibat dalam bidang politik." Saya tak pasti apa maksud ayah yang sebenarnya kerana di utara Semenanjung, istilah 'adik-beradik' selalunya dirujuk kepada saudara-mara. Kerana sepupu saya, Abdul Razak Ismail, pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Penaga.
Bukti lain menunjukkan ayah mengutamakan pelajaran anak-anaknya adalah dia akan memastikan anak-anaknya akan ke sekolah pada setiap hari persekolahan, kecuali apabila sakit. Namun tidak semudah itu bagi ayah menerima alasan anak-anaknya apabila kami mengatakan demam dan sebagainya. Jika kami memberitahu kami demam, dia sendiri akan menjamah dahi dan badan kami dengan tangannya. Jika dia rasakan, memang betul-betul demam, dia akan bawa ke klinik. Doktor bagi cuti, barulah kami tak pergi sekolah. Jika tidak, maaflah! Alasan tidak diterima!
Satu lagi, ayah suka buat pemeriksaan atau kunjungan mengejut di sekolah. Untuk memastikan anaknya datang ke sekolah agaknya. Ketika saya belajar di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, biasanya saya akan balik ke kampung sebulan sekali untuk mengambil wang membayar sewa rumah (saya tidak mendapat tawaran tinggal di asrama) dan belanja harian. Namun pernah sekali, ayah datang terus ke sekolah menaiki motosikal bersama orang sekampung, tidak silap saya, Ramli Saud. Bayangkan ketika itu, menaiki bas dari Alor Setar ke Butterworth mengambil masa empat jam kerana belum ada lebuh raya. Saya hanya menyedari kehadiran ayah apabila pengawal keselamatan sekolah datang memanggil saya di kelas memberitahu ayah hendak berjumpa saya. Saya keluar mengikut pengawal keselamatan dan mendapati ayah sedang menunggu saya di pondok berhampiran pos keselamatan. Kali kedua, ayah datang dengan motosikal juga terus ke rumah sewa saya. Ketika saya balik dari sekolah, saya dapati ayah sudah pun berada di depan pintu rumah.
Ayah juga sentiasa menghadiri semua perjumpaan antara ibu bapa dengan pihak sekolah, termasuk mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan hari mengambil rekod kemajuan pelajar. Saya masih ingat pada 1979, saya berada di tingkatan tiga dan menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Pada hari sekolah menjemput ibu bapa datang mengambil rekod keputusan peperiksaan percubaan SRP, ayah adalah orang pertama tiba. Jika tidak salah saya, ketika ayah sampai di sekolah, ketika itu masa kedua sesi persekolahan. Saya nampak kelibat ayah masuk dengan motosikalnya kerana kelas saya terletak bersebelahan jalan dari pintu masuk utama ke sekolah.
Begitu juga apabila ada upacara tertentu, ayah cuba menghadirinya. Sewaktu di sekolah rendah, ayah pernah hadir Hari Sukan. Sewaktu saya menerima hadiah kerana mendapat nombor satu sewaktu darjah satu, ayah yang datang bersama saya. Selepas selesai majlis, ayah siap menegur saya lagi kerana saya terlupa hendak bersalam dengan tetamu yang memberikan hadiah kepada saya. Terlupa atau gugup agaknya! Maklumlah budak-budak!
Ayah juga akan menyediakan segala keperluan persekolahan anak-anaknya, termasuk wang belanja sekolah, membeli buku teks (pinjaman buku teks hanya bermula pada 1975 ketika saya bersekolah di darjah lima) dan buku tulis, pakaian seragam, alatan persekolahan serta keperluan untuk kegiatan kokurikulum.
Bahkan kerana hendak memberi pelajaran kepada anak-anak, ayah sanggup berusaha mencari wang, sekalipun jika terpaksa berhutang. Saya masih ingat ketika saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat diploma di Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia), ayah memang tidak ada wang untuk menyediakan persiapan ke sana, dan membayar yuran pengajian. Namun ayah tidak putus asa. Jika tidak silap ingatan saya, ayah pergi ke Bank Bumiputera untuk membuat pinjaman, tetapi tidak berjaya kerana bayaran pinjaman bank ayah masih tertunggak. Ayah pernah pinjam wang RM5,000 daripada bank itu pada awal 1970-an untuk projek menternak ayam ayam telur nya, tetapi sebaik saja projek itu dimulakan, inflasi melanda negara. Harga barang, termasuk makanan ayam naik. Projek ternakan ayam telur itu hanya bertahan sehingga 1974 saja. Nak bayar pinjaman bank pun tak lepas. Akhirnya ayam dan rebannya dijual.
Beberapa hari sebelum bertolak ke UPM, sebaik menungkat motosikalnya, ayah naik ke rumah dan berkata, "Jika tak dapat duit hari ni, kita teriak (menangis)." Maksud ayah, dia akan menangis jika tidak dapat mencari wang untuk menghantar saya ke universiti. Tapi mujurlah seorang tauke Cina di Butterworth, Guan Huat namanya, pemilik syarikat Guan Huat Agency yang mengimport alatan dan jentera pertanian dari China dan Taiwan, sanggup meminjamkan wangnya kepada ayah. Guan Huat sebenarnya memang rapat dengan ayah dan percaya kepada ayah. Walaupun ayah bukan bekerja dengannya, jika ada jentera pertanian yang tidak dapat dibaiki oleh pekerjanya, dia akan mencari ayah. Menurut aya, dia minta supaya Guan Huat buat surat ayah berhutang dengannya tetapi tauke itu menjawab dengan selamba saja, "Tak apa, bila ada duit lu bayar." Ketika Guan Huat meninggal dunia ketika saya masih lagi di UPM. Saya difahamkan oleh emak saya, bahawa ayah sempat melunaskan. Namun baru-baru ini adik saya memberitahu, dia hanya ambil separuh saja daripada yang dihutang oleh ayah.
Ketika di sekolah menengah, saya mendapat Biasiswa Kecil Persekutuan bernilai RM25 sebulan, sejak tingkatan dua. Wang itu dimasukkan terus ke dalam akaun simpanan saya di Pejabat Pos dan buku akaun simpanan itu disimpan oleh Guru Biasiswa. Apabila saya berpindah ke SMT Alor Setar, bantuan itu diteruskan sehinggalah saya menduduki SPM. Ayah mengingatkan saya jangan sesekali mengeluarkan wang itu tanpa sebarang keperluan. Wang itulah yang saya gunakan untuk membayar yuran peperiksaan SRP dan SPM. Adik lelaki saya juga menerima biasiswa ketika bersekolah di SMKA Al-Masyhoor (L) Pulau Pinang. Dia juga mempunyai cerita yang sama. Bahkan, katanya, duit itulah yang digunakan ketika membuat persiapan untuk dia memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sepanjang ingatan saya, ayah tidak pernah menyuruh saya berjumpa guru untuk mengeluarkan wang berkenaan untuk belanja harian keluarga. Tetapi hari ini, dengan pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan saya mendapat pelbagai cerita yang disampaikan oleh guru besar, pengetua dan guru di sekolah. Ada ibu bapa yang menyalahgunakan wang bantuan persekolahan RM600 hingga RM700 yang diterima anak-anak mereka menerusi Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin. Wang itu tidak digunakan untuk membeli peralatan sekolah anak-anak, sebaliknya untuk belanja harian. Ada guru besar kata, "Baju sekolah tahun lepas juga yang dipakai anaknya. Nampak baju putih tu dah naik kuning."
Ayah sama sekali tidak pernah berbuat demikian. Bahkan saya diberi ingatan pula supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan wang biasiswa berkenaan. Bagi ayah, wang itu untuk pelajaran. Maka, untuk tujuan pelajaranlah sepatutnya digunakan.
PETIKAN
PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.
- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)
PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG
Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.
PANDUAN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012
Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)
Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)
------------------------------------------------------------------
Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)
Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)
(Kedah, Kelantan, Terengganu)
Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)
------------------------------------------------------------------
Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)
Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan