PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Rabu, 9 Februari 2011

Sikap ibu bapa pengaruhi kejayaan anak-anak dalam pelajaran Bhg 3

Oleh Mohd Fuad Razali


DALAM bahagian kedua saya telah berkongsi pandangan saya mengenai sikap ayah terhadap pelajaran saya dan adik-adik yang lain. Saya telah menyatakan bahawa ayah saya mempunyai sikap memberi keutamaan kepada pelajaran anak-anaknya. Dalam bahagian ketiga ini, saya akan memperkatakan dua lagi sikap ayah yang pada pandangan saya sangat mempengaruhi cara beliau menangani pembelajaran kami.


2. Mempunyai sikap yang betul terhadap guru
Yang saya maksudkan dengan sikap ayah yang betul terhadap guru ialah dia berkawan dengan guru, mempunyai sangkaan baik terhadap guru serta lebih percayakan guru daripada anaknya sendiri.


Sepanjang ingatan saya, ayah saya mempunyai kawan-kawan yang bekerja sebagai guru. Salah seorang daripadanya ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sekarang, Tun Abdul Rahman Abbas. Abdul Rahman sebenarnya tinggal sekampung dengan saya. Abdul Rahman pernah bekerja sebagai guru sebelum menjadi wakil rakyat bagi kawasan Bertam. Sekolah terakhir tempat Abdul Rahman mengajar sebelum menjadi wakil rakyat ialah Sekolah Menengah Seri Muda, Penaga. Dia memang berkawan rapat dengan ayah. Malah, ayah pernah bercerita dia bermain badminton dan takraw bersama-sama dengan Abdul Rahman sewaktu zaman muda mereka. Malah, mereka sangat akrab sehingga ke akhir hayat ayah saya.
Abdul Rahman Abbas, antara rakan karib ayah saya. Persahabatan mereka sehingga ke akhir hayat ayah saya.

Disebabkan ayah mempunyai kawan-kawan yang bekerja sebagai guru, ini mungkin memberi satu kelebihan kepadanya untuk memahami sistem persekolahan dan pendidikan di negara kita, ketika itu.

Ada dalam kalangan guru yang menjadi rakan ayah mengajar saya dan adik-adik. Misalnya, Ustaz Md
Zain Saad yang tinggal di Kampung Baru, berhampiran dengan kampung saya, mengajar saya sewaktu saya bersekolah di Sekolah Rendah Hashim Awang di Kepala Batas. Kebetulan pula, kakak Ustaz Md Zain berkahwin dengan Pak Lang Ramli, suami Mak Lang Roshadah, emak saudara saya selepas Mak Lang meninggal dunia. Mak Lang Roshadah adalah kakak kepada emak saya. Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar adik-adik saya di Sekolah Kebangsaan Penaga. Ada yang dikenalinya. Jadi, ini memberi satu lagi kelebihan kepada ayah kerana secara tidak langsung dia boleh memantau perkembangan anak-anaknya, sama ada dari segi pelajaran mahupun akhlak sewaktu di sekolah, menerusi guru-guru tadi.

Selain itu, ayah juga berusaha untuk mengenali guru-guru yang mengajar anak-anaknya. Ayah nampaknya seorang yang bersikap terbuka. Dia tidak segan-segan untuk berbincang dengan guru-guru yang mengajar anak-anaknya. Malah bersedia menceritakan mengenai perangai anak-anaknya ketika di rumah. Misalnya, sewaktu saya di tingkatan tiga, guru kelas saya ialah Cikgu Farilah Abdul Halim. Dia hanya mengenali ayah saya ketika ayah datang ke sekolah mengambil buku rekod kemajuan pelajaran. Suatu hari, Cikgu Farilah berkata kepada saya bahawa dia menceritakan kepada ayah kononnya saya suka 'melawan' cikgu jika ada sesuatu yang pada pendapat saya tidak kena. Katanya, ayah saya berkata kepada dia, bahawa memang itu perangai saya di rumah. Kononnya ayah saya berkata kepada Cikgu Farilah, "Di rumah pun macam tu cikgu. Kalau dia tak faham apa-apa, dia tanya sampai boleh!" Apabila saya balik ke rumah, ayah pun ceritakan dialog yang sama berlaku antara dia dengan Cikgu Farilah. Saya percaya ini memberi satu lagi kelebihan kepada ayah untuk memahami mengenai anak-anaknya.

Ayah juga sentiasa menunjukkan bahawa dia mempunyai sangkaan yang baik terhadap guru. Saya masih ingat suatu hari ayah pernah berkata, sekiranya saya balik dan beritahu kepadanya bahawa saya dipukul oleh guru, maka dia akan tambah (pukul) lagi. Jadi, sebab itu, saya tidak pernah memberitahu apatah lagi mengadu kepada ayah jika saya didenda atau dihukum di sekolah. Malah kepada emak pun saya tidak berani hendak beritahu kerana saya bimbang nanti akan sampai kepada ayah. Ada baiknya juga apabila ayah berkata seperti itu. Ia membuatkan saya sentiasa berhati-hati menjaga tingkah laku ketika berada di sekolah. Saya bukan saja cuba patuh kepada peraturan sekolah dan cikgu, malah kalau boleh tak mahu buat salah kerana bimbang ada guru yang mengenali ayah akan melaporkannya kepada ayah. saya. Dengan perkataan lain, sebagai pelajar dan anak, kita lebih berwaspada. Sebab itu, saya juga mengambil pendekatan yang sama dengan anak-anak. Saya menyebutkan perkara yang serupa kepada mereka.

3. Mempunyai wawasan dan berkongsi wawasan dengan anak-anaknya
Sungguhpun ayah tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah menengah, apatah lagi ke universiti, dia adalah ayah yang mempunyai wawasan untuk anak-anaknya. Inilah antara perkara yang membuatkan saya kagum dengan ayah. Dengan kata lain, ayah mempunyai pandangan yang jauh.

Ayah sentiasa membayangkan kepada kami adik-beradik mengenai hasratnya untuk melihat kami berjaya dalam pelajaran dan menjejakkan kaki ke universiti. Dia mahu melihat kami berjaya dalam hidup masing-masing. Bahkan, dia mahu kami sentiasa maju dan mara dalam kehidupan kami.

Saya masih ingat, selepas mendapat tawaran memasuki Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, pada malam sebelum kami bertolak ke Kedah untuk pendaftaran kemasukan saya ke sekolah itu, saya duduk menonton televisyen bersama ayah selepas selesai makan malam. Kesempatan itu saya gunakan untuk mendapatkan nasihat ayah. Saya berkata, memandangkan saya akan memasuki SMT, maka apakah nasihat ayah kepada saya.

"Sekarang ni hang dah nak keluar pi melangkah jauh dah. Sekali hang dah pi ke depan, ingat hendaklah terus pi. Jangan dok patah balik lagi dah," katanya. Pembaca faham ka maksudnya? Walaupun mungkin ada yang dah faham, tak apa, saya jelaskan juga. Maksud ayah, memandangkan saya sekarang sudah mengorak langkah keluar dari kampung untuk ke SMT, yang boleh dikatakan sekolah terpilih juga ketika itu (ketika itu hanya ada enam SMT sahaja di seluruh negara), maka ayah mahu saya meneruskan perjalanan saya hingga berjaya ke peringkat lebih tinggi. Dia mahu saya bersungguh-sungguh hingga dapat meneruskan perjalanan ke universiti.

Sungguh dalam dan bermakna sekali-kali kata-kata ayah. Kata-kata itulah yang memberi semangat kepada saya sewaktu belajar di SMT. Bahkan saya pegang kata-kata yang sama ketika berada di universiti dan sehinggalah ke hari ini. Apabila saya berasa malas dan lemah ketika belajar, mengingat kata-kata ayah itu, saya terasa kembali kuat dan lebih berkeyakinan. Membuatkan saya berusaha sedaya mungkin untuk membuat terbaik. Saya tak mahu belajar separuh jalan sahaja di SMT dan kemudian berpatah balik ke sekolah lama. Saya mahu terus sampai ke universiti. Itulah impian saya ketika itu.

Kerana saya percaya, ayah telah berusaha melakukan yang terbaik untuk masa depan saya dan keluarga kami. Saya percaya, sebagai anak, saya juga akan tugas dan tanggungjawab saya untuk keluarga. Maka saya juga perlu lakukan yang terbaik untuk diri saya dan keluarga kami.

Dengan perkataan lain, ayah sentiasa memberikan semangat dan harapan kepada anak-anaknya. Sama sekali dia tidak pernah memperkecilkan pencapaian dan kemampuan kami, walau apa pun keputusan yang kami peroleh. Saya dan adik-adik saya tidak pernah mempunyai pengalaman dimarah, apatah lagi dipukul dan disebat, atau dimaki hamun dan disumpah seranah oleh ayah, hanya semata-mata kerana tidak mendapat semua A dalam peperiksaan atau ujian. Sebaliknya, ayah akan bertanya, "Ha, tengok ni, pasai apa markah subjek ni menurun ni?" Itu saja, tetapi cukup bermakna. Dah faham maksud ayah. Maknanya, selepas ini kenalah usaha lebih lagi.


Pada malam itu, ayah turut memperingatkan saya supaya pandai mengimbangkan antara pelajaran (akademik) dengan kegiatan kokurikulum. Bahkan dia menggalakkan saya untuk memegang jawatan ahli jawatankuasa dalam persatuan di sekolah tetapi mengingatkan jangan sampai mengabaikan pelajaran. Kerana ayah tahu saya memang aktif dan berminat dengan kegiatan sedemikian. Memang betul. Ketika belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kepala Batas (sekarang SMK Dato' Haji Abdul Kadir), saya menjadi ahli Persatuan St John Ambulans Malaysia, ahli Persatuan Pelajar Islam dan Pengawas Perpustakaan Sekolah. Jadi, dia sudah boleh menjangkakan saya akan meneruskan perkara yang sama di sekolah baru.

Sewaktu belajar di SMT Alor Setar, saya menjadi Pengawas Perpustakaan, Setiausaha Persatuan Bahasa dan Budaya, Setiausaha Persatuan Pelajar Islam, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pelajar Luar Asrama serta sidang redaksi majalah terbitan Kelab Pertanian dan Persatuan Pelajar Islam. Di sekolah ini jugalah bakat dan kebolehan saya dalam perdebatan dan pidato diasah dan lebih terserlah. Saya terlibat dalam minggu orientasi dan turut dalam mengendalikan program persatuan. Namun, di celah-celah kesibukan itu, saya tetap mengingati pesanan ayah supaya mengimbangkan antara pelajaran dan kegiatan kokurikulum serta mengutamakan pelajaran lebih daripada segala-galanya.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)