PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Rabu, 23 Februari 2011

Mengenang penerapan nilai murni merentas kurikulum

Oleh Mohd Fuad Razali


SAYA tertarik membaca mengenai pengalaman sebuah sekolah di Amerika Syarikat, Sekolah AB Combs Elementary, mengajarkan prinsip kepimpinan kepada muridnya seperti yang diceritakan oleh Stephen R Covey dalam bukunya, ‘The Leader in Me’. Pengajaran mengenai prinsip kepimpinan itu dibuat dengan menggunakan pendekatan menyeluruh iaitu menerapkannya dalam semua subjek dan perkara yang dilakukan di sekolah, bukan diajarkan sebagai satu subjek yang berasingan.
 Pendekatan itu menjadi teras kepada strategi sekolah berkenaan untuk mengajarkan prinsip kepimpinan serta asas kepada budaya sekolah berkenaan. Pendekatan itu juga dikatakan membuahkan hasil dengan keputusan akademiknya lebih baik, kepuasan warga sekolah lebih tinggi dan masalah disiplin berkurangan. Guru di sekolah itu menyatakan pendekatan berkenaan adalah cara yang lebih baik bagi melakukan perkara yang mereka lakukan selama ini. 
            Covey memberi contoh seorang guru sekolah itu menyuruh murid tahun limanya berbincang mengenai sebuah puisi. Selepas membincangkan mengenai struktur, bahasa dan maksud sajak itu, guru berkenaan membahagikan kelasnya kepada beberapa kumpulan. Setiap ahli kumpulan diberi jawatan berbeza seperti setiausaha, penjaga masa dan jurucakap. Kemudian setiap kumpulan disuruh menceritakan apa yang hendak ditekankan oleh puisi itu dalam bentuk rajah. Setiap kumpulan kemudian mempersembahkan hasil kerja mereka kepada kelas. Selepas itu, mereka membincangkan prinsip tujuh tabiat yang ada dalam puisi itu dan akhirnya mereka diberi tugasan menulis wawasan dan impian kehidupan mereka sendiri. Semua itu dikatakan berlaku dalam tempoh 30 minit sahaja.
            Dengan pendekatan sedemikian, kata Covey, murid diajar mengenai prinsip kepimpinan sejak awal lagi. Murid diberitahu bahawa setiap mereka adalah pemimpin yang memiliki bakat tersendiri. Murid juga diberitahu bahawa mereka patut berkongsi bakat mereka di sekolah. Bahkan murid boleh melihat pelbagai peringatan mengenai tingginya nilai dan potensi setiap mereka di kawasan sekolah.
            Ketika kebanyakan guru melihat akademik, pembinaan kemahiran hidup dan pembangunan karakter (watak) sebagai tiga perkara yang terpisah, guru di Sekolah AB Combs melihatnya daripada perspektif yang berbeza. Dengan sudut pandangan pertama bererti guru merasakan ia perlu mengajar tiga perkara iaitu subjek akademik, kemahiran hidup dan pembinaan karakter. Guru yang melihat daripada perspektif demikian, mengikut Covey, akan berasa berat untuk mengajarkan perkara lain selain akademik.
            Bagaimanapun, dengan menggunakan pendekatan menyeluruh, Sekolah AB Combs dikatakan menerapkan nilai kemahiran hidup dan pembangunan karakter ke dalam pengajaran subjek akademik yang sedia ada. Dengan itu, guru tidak berasa berat hati mengajarnya. Apabila mengajar sastera dan membaca, Covey berpendapat tidak salah membaca hasil kerja atau mengenai orang yang bertanggungjawab, proaktif dan dapat dijadikan teladan serta memotivasikan murid. Apabila mengajar Sains, tidak salah mendidik mereka cara membentangkan hasil kerja mereka di hadapan kelas. Apabila mengajar Pendidikan Jasmani, tidak salah mengasuh mereka bermain sebagai satu pasukan. Begitu juga apabila melakukan aktiviti sekolah, tidak salah jika membiarkan murid merancangnya sendiri supaya mereka belajar kemahiran merancang dan menetapkan matlamat.
            Dengan perkataan lain, guru masih mengajar subjek yang ada sambil menerapkan kemahiran hidup dan pembinaan karakter. Pada masa sama, guru mempunyai wawasan untuk mempersiapkan anak didik mereka menghadapi realiti dan cabaran masa depan. Oleh itu, mereka mengajar subjek yang sama tetapi melakukannya melalui kaca mata yang berbeza iaitu melalui paradigma baru.
            Membaca bab ketiga buku ini saya teringat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang membentangkan dengan jelas akan matlamat dan hala tuju sistem pendidikan kita. Saya terkenang kepada penerapan nilai murni merentas kurikulum yang diperkenalkan sebagai pendekatan untuk mendidik murid secara menyeluruh dari segi kognitif, afektif dan psikomotor bagi mencapai hasrat yang terkandung dalam falsafah itu. Saya juga sedar kita mempunyai subjek Pendidikan Moral yang menggariskan 16 nilai murni untuk diajarkan kepada murid.
            Suatu hari, seorang rakan yang pernah menjadi guru berkata kepada saya bahawa guru mempunyai banyak tugas. “Sukatan pelajaran yang ada pun tak sempat nak dihabiskan, lepas itu nak buat pula penerapan nilai murni. Mana sempat!” katanya. Malah saya pernah mendengar guru berkata, buntu dan tidak ada idea bagaimana hendak mengajarkan subjek Pendidikan Moral. Inilah pandangan yang disebutkan oleh Covey sebagai pendekatan tradisional atau melihat akademik dan pembentukan nilai murni sebagai dua aspek yang terpisah.
            Apabila saya kemukakan perkara yang disuarakan oleh rakan saya itu kepada Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Noordin ketika beliau menjadi Ketua Pengarah Pendidikan, responnya mudah. “Bagaimana bapa kita mengajarkan nilai di rumah? Adakah kita mempunyai satu sesi khas bersama bapa kita untuk dia mengajarkan nilai kepada kita? Tidak ada, kan? Sebaliknya pengajaran nilai itu dibuat dalam pelbagai suasana seperti waktu makan,” katanya.
            Mungkin ramai masih ingat kepada pensyarah undang-undang, Allahyarham Datuk Dr Nik Abdul Rashid, orang kuat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Sewaktu menjadi panel satu forum di Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia), beliau menceritakan pendekatan yang digunakannya bagi menerapkan nilai kejujuran kepada pelajarnya.
            Suatu hari, ketika Dr Nik Rashid sedang memberi kuliah, pembantunya datang memberitahu dia terlupa mencatatkan markah ujian yang terbaru sedangkan kertas jawapan sudah dikembalikan kepada pelajar. Lalu Dr Nik Rashid meminta pelajarnya menuliskan markah masing-masing dalam sekeping kertas dan diserahkan kepadanya.
            Pada hari yang lain, ketika menyampaikan kuliah kepada kumpulan pelajar yang sama, Dr Nik Rashid berkata, sebenarnya pembantunya sudah mencatatkan markah ujian itu sebelum kertas jawapan dikembalikan kepada mereka. Beliau sengaja berpakat dengan pembantunya hanya kerana ingin melihat sejauh mana kejujuran pelajarnya. “Selagi ada orang yang tidak jujur memberikan markah lain daripada apa yang sebenar diperolehnya seperti dilakukan oleh seorang daripada kamu, bererti kita akan gagal untuk melahirkan graduan undang-undang yang jujur dan amanah,” katanya.
            Keesokannya pelajar terbabit pergi berjumpa Dr Nik Rashid di pejabatnya dan memohon maaf kepadanya. Pelajar itu berkata, “Saya berasa sungguh bersalah. Apabila saya menghadap cermin dan melihat wajah saya, saya berkata kepada diri sendiri , ‘Aku benci kepada diri aku kerana berbuat begitu’.”
            Membaca kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong mengenai 111,484 pelajar di seluruh negara terbabit dengan masalah salah laku disiplin, mengingatkan saya kepada semua perkara di atas. Saya pun tertanya-tanya, bolehkah perkara seperti itu dibuat di sekolah kita?
Saya tidak maksudkan salah laku disiplin hanya berlaku di sekolah. Jauh sekali menafikan peranan pihak di luar sekolah menyokong pembentukan nilai murni dan kepimpinan dalam kalangan pelajar. Tidak, tidak sama sekali. Cuma saya mohon bertanya dalam konteks sekolah. Saya tak tahu. Saya bentangkan cerita ini untuk cikgu memikirkannya. Cikgu lebih terlatih dan dilatih dalam bidang perguruan. Sudah tentu cikgu lebih arif mengenai cara terbaik untuk menerapkan nilai murni dan kepimpinan dalam kalangan anak-anak kita.

(Disiarkan dalam majalah Pendidik, Februari 2011)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam..penerangan di atas cukup jelas dalam usaha menerap nilai murni dalam kalangan pelajar. ia tidak terhad kepada subjek moral semata2. jika guru dapat menyemai nilai murni ini dengan cara yang halus sudah tentu sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan masalah pelajar yang suka melawan cikgu atau yang terlibat dalam masalah disiplin yang lain
-bakal guru, syima

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)