Oleh Mohd Fuad Razali
PADA 1985, saya tamat pengajian peringkat diploma dan memohon menyambung pengajian peringkat ijazah. Alasan saya ketika itu, zaman gawat, sukar dapat kerja, baiklah saya sambung pengajian.
Tahun itu saya anggap sebagai titik peralihan dalam hidup saya. Selepas kembali ke universiti menyambung pengajian peringkat ijazah, saya sering bertanya pada diri sendiri, apakah yang akan saya lakukan selepas tamat pengajian tiga tahun lagi? Bagaimanakah jika ketika itu keadaan masih gawat, pekerjaan masih sukar?
Ketika itulah saya melakukan muhasabah diri menilai kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri saya, serta peluang dan halangan yang bakal saya tempuhi. Jika dalam pengurusan disebut melakukan 'SWOT Analysis'.
Ketika itu saya menyedari saya berminat dalam bidang penulisan walaupun menjadi pelajar dalam bidang Sains Pertanian. Saya pernah cerita dalam ruangan ini bahawa minat itu sebenarnya dicetuskan oleh guru saya. Cuma ketika itu, saya tidak berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Komunikasi Massa. Ketika itu, syarat kemasukan ke program Diploma Komunikasi Massa di Institut Teknologi MARA (sekarang Universiti Teknologi MARA) ialah memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Universiti lain seperti Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia menawarkan program peringkat ijazah. Oleh itu, syaratnya sama juga, STPM.
Lalu saya bertekad, jika tamat pengajian tiga tahun lagi, masih sukar mendapat pekerjaan, maka saya hendak menjadi penulis. Ketika itu perkataan wartawan belum lagi terlintas dalam benak saya. Mengapa penulis? Bagi saya, untuk menulis tak semestinya makan gaji. Jadi penulis bebas pun okey.
Dengan itu, saya mula berjinak-jinak mengasah balik kemahiran dan bakat yang sudah saya teroka sejak di sekolah. Ketika di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, saya menulis dan terbabit dalam penerbitan buletin untuk Persatuan Pelajar Islam serta Kelab Pertanian. Rencana saya mengenai isu tanah sawah terbiar di Seberang Perai dipilih sebagai rencana terbaik tahun itu. Saya masih ingat lagi, menerima hadiah sebatang pen Pilot. Hadiah itu disampaikan oleh pengetua dalam perhimpunan pagi sekolah. Betapa seronoknya rasa hati ketika itu.
Sewaktu tinggal di asrama universiti, saya berjiran dengan guru dari Sarawak, Jais Sahok. Dia sudah pun giat menulis ketika itu dan sudah menempa nama dalam bidang penulisan. Saya berkawan dengannya dan mendapat semangat dan dorongan daripada beliau. Belajar secara tidak langsung daripada beliau.
Tulisan saya pernah disiarkan dua kali dalam akhbar Berita Harian dan sekali dalam majalah Era. Yang lain, dalam penerbitan peringkat asrama. Itu saja. Tulisan dalam majalah Era itulah yang saya bawasa sewaktu temuduga di akhbar Berita Harian. Alhamdulillah, saya ditawarkan sebagai wartawan.
Ramai bertanya saya, bagaimanakah lulusan Sains Pertanian seperti saya boleh menjadi wartawan? Saya selalu berkata, "Pertama, kerana tidak ada kerja. Kedua, kerana minat." Saya masuk hanya berbekalkan minat, tanpa sebarang ilmu dan pengetahuan mengenai cara menulis berita. Tapi saya bersyukur kerana Allah memberikan saya kemampuan dan kemahuan untuk belajar. Saya banyak belajar daripada tunjuk ajar yang diberikan oleh editor dan rakan di situ. Kata orang, hands-on experience.
Saya tidak pernah berasa kerugian belajar dalam bidang Sains Pertanian tetapi keluar bekerja sebagai wartawan. Bahkan saya bersyukur kerana pengetahuan dalam bidang itu berguna ketika saya membuat liputan berita bagi majlis anjuran agensi seperti Jabatan Pertanian dan MARDI.
Bagi saya tujuan pendidikan bukan sekadar untuk mempersiapkan kita keluar bekerja, tetapi mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan untuk mengharungi kehidupan. Kemahiran hanyalah sebahagian perkara yang kita pelajari di sekolah dan universiti. Tetapi yang lebih besar daripada itu ialah melihat dunia dengan minda yang lebih terbuka.
Saya bersyukur kerana saya berpeluang meneroka serta memupuk minat,bakat dan kemahiran sejak di bangku sekolah lagi, baik dalam bidang penulisan, perdebatan, pidato mahupun kepemimpinan. Sebahagian besarnya saya pelajari di luar bilik darjah. Saya tidak aktif dalam bidang sukan, sebaliknya dalam kelab dan persatuan.
Sewaktu di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kepala Batas (sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Kadir) saya menajdi ahli Persatuan St John Ambulans Malaysia, Pegawas Perpustakaan dan ahli Persatuan Pelajar Islam.
Di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, menjadi Pengawas Perpustakaan, Setiausaha Persatuan Bahasa dan Budaya, Setiausaha Persatuan Pelajar Islam, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pelajar Luar Asrama serta ahli Kelab Pertanian, Kelab Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Di sekolah ini juga saya terlibat dalam pasukan debat dan pidato. Saya dan pelajar lain belajar merancang, mengendali dan mengacarakan sendiri program anjuran kelab dan persatuan. kami menulis sendiri surat rasmi dan minit mesyuarat. Kami mengendalikan sendiri mesyuarat agung dan mesyuarat jawatankuasa.
Sudah tentulah semua itu dengan bimbingan dan tunjuk ajar guru penasihat persatuan dan kelab yang sangat dedikasi. Mereka juga menunjukkan minat dan kesungguhan mengendalikan kegiatan persatuan.
Semua pengalaman itu menjadi bekalan yang sangat berguna kepada saya apabila memasuki alam pekerjaan dan terlibat dalam kegiatan berpersatuan. Yang lebih penting, membantu saya meneroka potensi diri dan menentukan hala tuju dan masa depan saya.
Bagaimanapun saya sedih apabila mengenangkan ketika hendak meninggalkan alam persekolahan dan juga universiti, masih ada rakan yang belum tahu hala tujunya. Saya bertanya kepada anak saya yang sulung dan kedua, yang kini sudah memasuki universiti, mereka juga mengakui keadaan yang sama.
Selepas 53 tahun kita merdeka, masih ada lagikah anak-anak yang meninggalkan alam persekolahan dalam keadaan tanpa mengetahui apakah minat dan bakat yang ada pada diri mereka? Masih ada lagikah yang meninggalkan alam persekolahan tanpa sebarang cita-cita? Masih ada lagikah yang meninggalkan alam persekolahan tanpa berpeluang meneroka potensi diri mereka? Jika benar, mengapa?
Pada hemat saya, sekolah adalah medan terbaik untuk anak-anak kita meneroka potensi yang ada pada diri mereka. Adakah setiap orang daripada mereka berpeluang dan diberi peluang untuk berbuat demikian? Cikgu, beratkan tugas cikgu? Tetapi itulah cabarannya mendidik manusia.
Beruntunglah anak-anak yang mempunyai ibu bapa orang terpelajar, boleh membantu dan memandu mereka mengenal pasti cita-cita dan hala tuju mereka. Beruntunglah anak-anak yang mempunyai ibu bapa berada, boleh membantu mereka meneroka dan mengembangkan minat dan bakat yang ada.
Tetapi bagaimanakah agaknya dengan anak-anak yang ibu bapanya tidak terpelajar dan tidak berada? Siapakah agaknya yang boleh dan akan membantu mereka? Adakah mereka akan meninggalkan alam persekolahan dengan jiwa yang kecil, cita-cita yang rendah, semangat yang lemah dan merasakan masa depan buat mereka tidak pernah cerah?
(Rencana ini disiarkan dalam kolum Sekali Bicara, majalah Pendidik, Ogos 2010)
PETIKAN
PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.
- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)
PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG
Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.
PANDUAN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012
Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)
Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)
------------------------------------------------------------------
Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)
Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)
(Kedah, Kelantan, Terengganu)
Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)
------------------------------------------------------------------
Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)
Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)
Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)
2 ulasan:
i pulak, kelulusan stpm membawa ke pengajian mass comm di ITM, mula-mula nak kerja tiga bulan je sebagai wartawan, akhirnya melekat sampai suku abad!
Oklah tu Shidah. Bila dah minat, semua boleh jadi, kan...
Catat Ulasan