PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Rabu, 1 Disember 2010

Musim kegiatan luar sekolah di Jepun

Oleh Mohd Fuad Razali



AKHIR Mei lalu, saya berkesempatan mengikuti satu rombongan melancong di tiga bandar di Jepun iaitu Osaka, Kobe dan Kyoto. Saya percaya ramai yang menanti peluang untuk berkunjung dan melawat ke negara yang terkenal dengan jolokan 'negara matahari terbit' itu.

Dalam program lima hari itu, saya berpeluang berkunjung ke banyak tempat di sekitar tiga bandar berkenaan. Bagaimanapun, perkara yang menarik perhatian saya sepanjang lawatan itu ialah kehadiran pelajar dari peringkat tadika hingga menengah hampir di setiap tempat yang dikunjungi rombongan kami.



Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka kira-kira jam 7.15 pagi waktu tempatan (6.15 pagi waktu Malaysia), rombongan kami terus dibawa melawat Akuarium Kaiyukan - satu daripada akuarium yang dikatakan terbesar di dunia kerana mengandungi 30,000 haiwan laut. Sebaik keluar dari akuarium itu, kami bertemu dengan rombongan lebih 100 murid prasekolah bersama guru mereka yang hendak berkunjung ke situ. Menjelang tengahari, sewaktu berkunjung ke Kota Osaka, kota bersejarah yang dibina pada abad ke-12, kami bertemu pula dengan pelajar menengah.

Pada hari kedua, sewaktu memasuki Muzium Gempa Bumi di Kobe yang dibina bagi memperingati kejadian gempa bumi yang berlaku pada 17 Januari 1995, kami ternampak kira-kira 80 murid sedang mengikuti ceramah disampaikan sukarelawan muzium itu. Saya difahamkan sukarelawan itu adalah mangsa kejadian gempa bumi yang berlaku pada jam 5.46 pagi dan meranapkan seluruh bandar Kobe dalam tempoh 10 saat sahaja.

Sewaktu keluar dari bangunan kaca setinggi lima tingkat itu, kami dapati kira-kira 100 pelajar menengah sedang duduk berbaris dengan begitu tertib dan teratur di perkarangan muzium berkenaan menunggu giliran masuk.

Saya tidak berapa kisah sangat sewaktu sewaktu bertemu dengan pelajar terbabit di ketiga-tiga tempat berkenaa kerana adalah perkara biasa bagi sekolah membawa pelajar berkunjung ke tempat bersejarah dan menarik seperti itu.

Bagaimanapun, saya agak terkejut apabila melihat begitu ramai pelajar yang dibawa berkunjung ke taman tema terkenal, Universal Studios Japan, yang terletak di Osaka itu. Sewaktu mula-mula ternampak kelibat lima enam orang pelajar memakai pakaian seragam sekolah, saya menyangka mereka ponteng sekolah. Saya terfikir di Jepun pun mungkin tidak sunyi daripada masalah itu.



Apabila memasuki kawasan taman tema seluas 56 hektar itu saya lagi terperanjat kerana mendapati ramainya pelajar yang 'berkeliaran' di situ. Bahkan saya dapati pelajar yang berpakaian seragam itu turut beratur bersama kami untuk menyertai permainan pengembaraan 'Back To the Future'. Maknanya, mereka bukan sekadar melakukan kunjungan biasa, tetapi turut serta bermain di situ. Saya tidak nampak guru yang mengiringi mereka sehinggalah pada waktu tengahari saya melihat mereka keluar berbaris bersama dengan guru pengiring.

Melihat suasana itu, perasaan ingin tahu timbul di dalam benak saya. Perasaan itu saya lontarkan kepada pemandu pelancong kami, Zul Ibrahim, anak kelahiran Johor yang sudah 20 tahun tinggal dan bekerja di Osaka. Mengikut kata Zul, dalam sistem persekolahan di Jepun, ada waktu tertentu pelajar dibawa mengikuti aktiviti extracurricular sedemikian. Katanya, tempohnya tidak lama. Lebih kurang seminggu. Jadi, dalam tempoh itulah mereka dibawa oleh guru berkunjung ke tempat bersejarah dan menarik.

Pada hari keempat, sewaktu kami berkunjung untuk melawat Kinkakuji - rumah bersalut emas yang dibina oleh Shogun Yashimitsu Ashikaga pada 1397 dan kemudian dijadikan kuil selepas kematiannya - di Kyoto, kami bertemu dengan lebih ramai lagi pelajar. Berbondong-bondong datangnya. Ada yang berpakaian seragam, ada yang berpakaian biasa.

Yang menarik perhatian saya ialah setiap pelajar membawa kamera, pen dan buku nota bersama-sama mereka. SAya lihat ada yang mengambil gambar dan ada yang melukis bangunan itu. Melihat keadaan itu, isteri saya memberi komen, "Tengok, mereka bukan datang berlenggang, tetapi siap dengan alat tulis di tangan."

Apabila melihat suasana sedemikian, ingatan saya segera terbang ke tanah air. Saya bertanya kepada diri saya, berapa kerap dan berapa ramaikah pelajar kita yang mempunyai peluang sedemikian? Saya tahu ada sekolah yang selalujuga mengatur lawatan sedemikian, tetapi saya juga mendengar ada sesetengah pengetua dan guru besar seolah-olah tidak menggalakkannya. Bahkan sesetengahnya seperti menegah menjalankan aktiviti di luar kawasan sekolah. Apatah lagi jika ia jauh.

Seorang guru Sejarah berkata kepada saya, skop silibus yang terlalu luas menyebabkan pelajar langsung tidak berpeluang untuk turun padang mengkaji dan melihat sendiri mengenai perkara yang mereka pelajari di bilik darjah.

Kemudian saya tertanya-tanya lagi, bagaimanakah keadaan pelajar kita sewaktu hendak berkunjung ke tempat sedemikian? Adakah mereka juga membuat persediaan yang sama? Kerana berdasarkan pemerhatian, orang dewasa sendiri pun ramai yang berlenggang tangan saja ketika mengikuti aktiviti lawatan sedemikian. Jika sewaktu hendak menghadiri kuliah dan majlis ilmu pun tangan kosong, apatah lagi bagi aktiviti lawatan, kan? Bahkan bukan setakat itu, sering juga berlaku, sewaktu penerangan diberikan di depan, ada anggota rombongan lawatan yang berbual di belakang.

Sebab itulah ketika di universiti dulu, sebagai ketua kelas, saya membuat satu peraturan. Bagi setiap lawatan yang dilakukan oleh kelas kami, mesti ada sekurang-kurangnya lima orang dilantik sebagai pelapor. Jadi, sekurang-kurangnya ada juga orang yang akan memberi perhatian dan mendapat manfaat daripada penerangan yang disampaikan sepanjang lawatan. Tidaklah semuanya melopong atau berbual kosong saja.

Cuma saya terlupa untuk bertanya kepada pemandu pelancong kami, siapakah yang membiayai lawatan sedemikian di negara matahari terbit itu. Saya ada menghubunginya melalui emel baru-baru ini bertanyakan hal itu, tetapi mungkin dia sibuk dengan tugas, saya belum mendapat jawapannya.

Namun saya rasa itu bukan isu penting. Yang lebih penting adalah bagaimanakah elemen yang ada di persekitaran kita dapat dimanfaatkan untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan pelajar kita serta menjadikan persekolahan zaman yang menarik.

(Rencana ini disiarkan dalam kolum Sekali Bicara, majalah Pendidik, Julai 2010)

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)