Oleh Mohd Fuad Razali
SEWAKTU sambutan Ma'al Hijrah yang berlangsung bulan lalu, surau di kawasan perumahan tempat saya tinggal telah mengadakan program ceramah dan qiamullail. Program kali ini agak luar biasa sedikit. Yang luar biasa tu bukan acaranya kerana mengadakan majlis ceramah sempena kedatangan tahun baru hijrah adalah perkara biasa. Tetapi yang luar daripada kebiasaan adalah penceramahnya.
Kebiasaannya yang datang berceramah di majlis sambutan Ma'al Hijrah adalah orang lulusan agama, tidak kiralah sama ada mufti, pegawai jabatan agama Islam, pensyarah Pengajian Islam, guru agama atau pendakwah bebas. Bagaimanapun, penceramah yang dijemput ke surau itu pada malam berkenaan adalah bekas banduan. Ya, bekas banduan. Sebab itu saya katakan luar biasa. Banduan itu juga bukan calang-calang orang kerana berada di dalam penjara selama 30 tahun 11 bulan 9 hari, menjadikannya banduan paling lama ditahan di negara ini.
Jika ada antara kita yang masih ingat, berita mengenai pembebasannya pernah dilaporkan secara meluas oleh media massa ketika itu. Bahkan baru-baru ini pun sebuah stesen televisyen turut menyiarkan rencana mengenai kisah pembabitan dan penahanan beliau bersama rakannya.
Banduan berkenaan, Jamil Ahmad (gambar) dibebaskan daripada penjara pada 3 Oktober 2006 selepas mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah. Turut dibebaskan bersamanya pada hari yang sama adalah rakannya, Mohd Salleh Taib, 59. Mereka berdua dijatuhi hukuman penajara sepanjang hayatpada 1976 selepas didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata di Baling, Kedah. Metika itu Jamil berusia 26 tahun dan Mohd Salleh pula 27 tahun.
Bagi saya, Jamil yang lebih mesra dengan panggilan Pak Long Jamil, adalah contoh hidup penghijrahan dari segi sikap kerana seperti diakui sendiri oleh beliau, bukanlah mudah bagi seorang banduan yang dibebaskan untuk diterima kembali oleh keluarga dan masyarakat. Namun, Pak Long Jamil tidak menyalahkan keluarga dan masyarakat jika berlaku keadaan sedemikian kerana baginya ia berpunca daripada sikap banduan itu sendiri.
Pak Long Jamil sebenarya adalah anak kepada seorang anggota polis. Bagaimanapun, katanya, sejak kecil lagi dia tidak berminat dengan persekolahan. Dia tidak pernah menyalahkan orang tuanya, namun dia mengakui kekerapan berpindah mengikut bapanya yang bertukar tempat kerja, menyebabkan persekolahannya terjejas.
Ketika di tingkatan satu, Pak Long Jamil mula bercampur dengan remaja yang disifatkannya liar iaitu mereka yang tidak mahu balik ke rumah, sebaliknya bergelandangan di pasar. "Jika di Kelantan dan Terengganu, mereka berada di kuala, menunggu nelayan balik dari laut dan mencuri ikan. Bukan secara curi-curi, bahkan berdepan. Kemudian dijual. Pada 1960-an, jika mendapat RM10, sudah cukup besar kerana gaji kuli ketika itu baru RM4 sehari. Bayangkan jika boleh dapat RM50 hingga RM60. Terpengaruh dengan wang ringgit!" katanya.
Bermula dari situ, Pak Long Jamil kemudian terbabit pula dengan kegiatan pecah rumah. Ketika itu, katanya, beliau langsung tidak ingat mengenai pelajaran dan ibu bapa. Ketika usianya meningkat 18 tahun, beliau mengikut bapanya ke Pulau Pinang. Ketika itu sekitar 1970-an. Kumpulan gengster memang sudah wujud dan kuat ketika itu. Pak Long Jamil juga ada kumpulannya sendiri. Beliau mula terbabit dengan ganja dan heroin. Merasakan kumpulannya belum kuat, Pak Long Jamil berazam memperkukuhkannya dengan melengkapkan anggotanya dengan senjata api. Dengan pemilikan senjata api itu, kumpulannya melakukan pelbagai kegiatan jenayah lain lagi.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat.
Beliau ditahan di Penjara Alor Setar. Mengikut Pak Long Jamil, pada peringkat awal ditahan, beliau masih lagi ganas. "Tidak ada rasa takut kepada sesiapa pun. Saya pernah merancang komplot untuk menawan penjara untuk melepaskan diri dan semua pesalah yang ditahan. Namun, nasib tidak menyebelahi kerana rancangan itu dihidu lebih awal oleh pihak penjara," katanya. Rancangan itu berjaya dihalang dan Pak Long Jamil diasingkan daripada banduan lain selama tiga bulan.
Selepas itu, Pak Long Jamil dihantar ke Taiping. Di sana, dalam satu pergaduhan, beliau membunuh seorang tahanan. Akibatnya beliau diasingkan sekali lagi selama setahun. Tetapi kali ini dalam sebuah bilik kecil dan gelap yang hanya mempunyai dua lubang. Ketika itulah, seorang pegawai agama Jabatan Penjara datang menemuinya yang akhirnya membuka pintu hati dan mindanya untuk berubah.
"Semuanya berpunca kerana tidak ada ilmu." Itulah kesimpulan yang dibuat oleh Pak Long Jamil. Katanya, disebabkan benci kepada ilmu, dia tidak mahu bersekolah. Kerana tidak berilmu, dia terjerumus dengan remaja yang liar. Kerana tidak ada ilmu juga, dia tidak pernah mendirikan solat. Bahkan dia tidak pernah pun belajar mengaji al-Quran dan solat.
Mujurlah di dalam penjara dia dipertemukan dengan pegawai berkenaan. Dalam tempoh setahun itu, ketika dikurung seorang diri dalam bilik berkenaan, Pak Long Jamil segera insaf akan dirinya dan membuat keputusan untuk berubah. Di dalam bilik itulah dia belajar mengaji dan solat.
Ketika Pak Long Jamil dibebaskan, kedua-dua orang tuanya sudah meninggal dunia. Dia tidak sempat berjumpa mereka. Bahkan tidak berkesempatan pun untuk menziarahi jenazah mereka kerana berada di penjara.
Sewaktu berceramah pada malam itu, ketika melafazkan kata-kata, "Saya bersalah kerana menderhaka kepada ibu bapa. Namun saya mengharapkan keampunan daripada Allah. Saya percaya tidak ada ibu bapa yang bencikan anak mereka," air matanya jelas kelihatan mengalir di sebalik cermin mata yang dipakainya. Nadanya penuh sebak dan sayu!
Namun dia tetap tabah meneruskan ceeramahnya sebagaimana dia tabah meneruskan kehidupannya hari ini. Pak Long Jamil memang contoh hidup manusia yang berhijrah daripada kehidupan yang gelap gelita kepada kehidupan yang diterangi cahaya - hidayah dan petunjuk. Dia membuktikan tanggapan bahawa bekas tahanan penjara tidak boleh berubah adalah salah. Bahkan dia percaya, masyarakat boleh menerima bekas banduan asal saja mereka benar-benar berubah dan tidak kembali kepada perangai dan sikap lama mereka.
Kini, dengan berbekalkan ilmu yang mula dipelajarinya ketika di dalam penjara, Pak Long Jamil sudah memulakan kehidupan baru. Beliau sudah berkeluarga dan mempunyai pekerjaan. Bahkan dia sedikit un tidak segan silu mengakui siapa dirinya. Dengan saki baki usia yang masih ada, Pak Long Jamil kini giat membantu memberi kesedaran kepada mereka yang terjerumus ke dalam kancah jenayah. Pak Long Jamil kini kerap keluar masuk penjara kerana dijemput memberi ceramah motivasi dan kesedaran kepada tahanan di samping ceramah yang disampaikan kepada pelajar dan masyarakat.
Pak Long Jamil masih ingat lagi pesanan arwah ibunya supaya berbakti kepada manusia selepas dibebaskan daripada penjara. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan kehidupan Pak Long Jamil untuk meneruskan usaha baktinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan