PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Isnin, 24 Januari 2011

Sikap ibu bapa pengaruhi kejayaan anak-anak dalam pelajaran Bhg. 1

Oleh Mohd Fuad Razali

SAYA selalu menjadi serba salah setiap kali diminta untuk bercakap kepada ibu bapa mengenai masalah dan sikap anak-anak. Perasaan yang sama saya alami sekali lagi apabila diminta oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar, Mejar Abdul Halim untuk bercakap dalam perjumpaan bersama ibu bapa dan waris pelajar tingkatan tiga sekolah itu, Sabtu lalu.

Sebenarnya saya dijemput ke majlis itu atas kedudukan saya sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, jawatan yang saya sandang sejak 2008 lagi. Bukan saya tidak pernah berucap di hadapan ibu bapa dan waris pelajar sekolah berkenaan. Dalam mesyuarat agung tahunan PIBG sudah tentu. Bahkan, saya pernah dijemput untuk berucap di hadapan ibu bapa dan waris dalam majlis seperti itu pada 2005. Ketika itu anak sulung saya bersekolah itu dan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah pada tahun berkenaan.


Rasa serba salah itu timbul kerana saya merasakan saya bukanlah bapa yang terbaik dibanding dengan bapa-bapa yang lain. Saya percaya ada bapa yang lebih baik daripada saya. Namun, saya berusaha untuk berbuat yang terbaik untuk keluarga dan anak-anak saya.

Setakat ini, alhamdulillah, kerana rata-rata anak-anak menunjukkan pencapaian yang agak memberangsangkan dalam pelajaran mereka. Dua orang anak saya kini berada di universiti, seorang di Maktab Rendah Sains Mara, seorang baru memasuki sekolah menengah vokasional, seorang lagi di sebuah sekolah menengah premier di Alor Setar dan seorang lagi masih bersekolah rendah.Anak yang sulung pernah muncul sebagai pelajar terbaik SPM di SMK Dato' Syed Omar. Anak yang kedua pula muncul sebagai pelajar terbaik PMR dan SPM di Maktab Rendah Sains Mara. Bahkan sejak UPSR lagi, dia mendapat keputusan semua A. Dua lagi adiknya, juga mendapat 5A dalam UPSR.

Memanglah anak-anak menjadi kebanggaan saya dan isteri. Jadi, jika hendak bercakap, rasa taklah janggal. Namun, jauh di sudut hati, bimbang, takut pula timbul rasa riak, angkuh dan takbur. Syukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kami setakat ini. Oleh itu, Sabtu lalu, saya memilih untuk bercerita mengenai apa yang dilakukan oleh ayah saya dalam memberikan pelajaran kepada saya dan adik-adik saya.

Ayah saya, Razali Salleh
Ayah saya (gambar) yang dilahirkan pada 1939 bukanlah orang yang berpelajaran tinggi. Sepanjang pengetahuan saya, dia hanya bersekolah setakat Darjah Empat di Sekolah Melayu di Penaga, Seberang Perai. Persekolahan formalnya terhenti setakat situ. Saya pun tidak tahu kenapa. Ketika hayatnya dia tidak banyak bercerita mengenai perkara itu.

Begitu juga dengan pekerjaan. Sepanjang ingatan saya, ketika saya masih kecil, dia tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Dia mengerjakan sawahnya yang sekangkang kera peninggalan aruah datuk saya. Pada masa yang sama dia memiliki kemahiran membaiki jentera bajak sawah. Saya masih, setiap kali menjelang musim menanam padi, rumah kami menjadi tumpuan pemilik pembajak untuk membaiki jentera berkenaan. Dia pernah menghadiri kursus menternak ayam telur di Cheras, Selangor sekitar 1969 atau 1970. Sekembalinya dari kursus itu, dia memulakan ternakan ayam telur di kawasan rumah kami dengan modal RM5,000 yang dipinjam dari Bank Bumiputera. Namun, nasib tidak menyebelahinya. Sebaik memulakan projek itu, inflasi melanda negara. Harga barang, termasuk makanan ayam meningkat. Akhirnya projek bertahan sehingga 1974 atau 1975 sahaja. Untuk membayar hutang bank tidak lepas ketika itu.

Selepas itu, ayah bekerja sebagai pemandu dengan sebuah syarikat pengeluar kopi Bumiputera. Selepas beberapa bulan ayah berhenti kerana dia tidak suka dengan sikap pemiliknya yang tidak memenuhi janjinya kepada ayah dari segi pembayaran gaji. Saya ingat lagi ayah pernah berkata, pada asalnya orang itu berjanji mahu membayar tetap setiap bulan, tetapi apabila mendapati jualan produknya tidak mencapai apa yang diharapkannya, dia membayar secara komisen. Tidak suka sikap dengan berdolak-daliknya, ayah pun berhenti.

Pada 1975, ayah mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan syarikat Safeguards selama dua atau tiga tahun. Selepas itu, ayah bekerja pula dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sehinggalah bersara pada 1994. Pada mulanya, ayah menjadi formen dengan waktu kerjanya dari pagi hingga ke petang. Ayah merasakan waktu kerja sedemikian tidak membolehkannya buat kerja lain. Ketika itu, dia merancang untuk membaiki rumah kami.Apabila ada kekosongan sebagai pemandu forklift di pelabuhan, ayah memohon. Ayah mendapat pekerjaan itu, dan bekerja mengikut syif. Dengan itu, dia ada masa untuk membaiki rumah. Ayah memang boleh bertukang. Tiga empat tahun sebelum persaraannya, dia dilantik sebagai jurulatih pemandu forklift.
Emak saya, Munah Hamid

Ketika ayah meninggal pada 30 Ogos 2003, dia hanya meninggalkan tanah seluas kira-kira satu ekar yang terdiri daripada dua petak sawah dan sebuah tapak rumah serta sebuah rumah dua tingkat - separuh kayu separuh batu - yang dibina dengan tangannya sendiri. Dia meninggalkan seorang isteri (gambar kanan) yang tidak pernah bekerja, yang tidak tahu membaca dan menulis kecuali membaca tulisan jawi dan al-Quran. Emaklah yang mengajar kami membaca al-Quran. Emak meninggal pada Hari Raya Haji keempat tahun lepas.

Selain itu, ayah meninggalkan lima orang anak yang semuanya berjaya masuk ke universiti. Saya anak yang sulung, memasuki Universiti Pertanian Malaysia dan memiliki diploma dan ijazah dalam bidang Sains Pertanian tetapi bekerja sebagai wartawan. Selepas menimba pengalaman 15 tahun 2 bulan di Berita Harian, saya berhenti dan memulakan perniagaan sendiri. Tetapi kini kembali makan gaji di majalah Pendidik.


Adik saya yang kedua, belajar di sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Perempuan St George Pulau Pinang sehingga tingkatan lima dan kemudian memasuki tingkatan enam di Sekolah Dato' Onn, Butterworth. Kemudian memasuki Institut Teknologi Mara (ITM) Arau dan memperoleh Diploma Pengajian Perniagaan. Dia pernah menyambung pelajaran mengikut program Chartered Institute of Marketing (CIMA) di ITM Shah Alam, tetapi selepas dua tiga kali mengulang, akhirnya dia berhenti dan kemudian memasuki Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka mengikuti Kursus Perguruan Lepas Diploma. Kini menjadi guru.

Seorang lagi adik saya, juga menjadi guru. Dia belajar di Sekolah Menengah Seri Muda Penaga sehingga tingkatan lima. Selepas itu memasuki program Matrikulasi Universiti Utara Malaysia dan melanjutkan pelajaran peringkat sarjana muda dalam bidang Perakaunan di universiti itu. Kini bekerja sebagai guru.

Adik lelaki saya, belajar di Sekolah Menengah (L) Al-Masyhur Pulau Pinang sehingga tingkatan lima. Kemudian berjaya memasuki program Matrikulasi Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan. Kini menjadi peguam.

Seorang lagi, adik kami, belajar di Sekolah Menengah Seri Muda Penaga, kemudian memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dan mendapat Diploma Pengurusan Hartanah. Kini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana muda di UiTM Shah Alam.

Semua kejayaan ini tidak mungkin kami capai tanpa kesungguhan dan pengorbanan ayah dan emak dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Sebab itu, sewaktu berucap di hadapan ibu bapa dan waris pelajar Sabtu lalu, saya menyatakan bahawa sebagai ibu bapa, sama ada kita berpelajaran tinggi atau tidak, berpangkat tinggi atau rendah, berharta atau tidak, itu semua bukanlah syarat untuk anak-anak kita mencapai kejayaan dalam pelajaran mereka. Tetapi syarat utama adalah sikap yang betul dan kesungguhan kita sebagai ibu bapa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab memberikan pelajaran kepada anak-anak kita.
 
Rumah dua tingkat inilah satu-satunya harta peninggalan ayah dan emak kepada kami lima beradik.

1 ulasan:

Unknown berkata...

salam tuan,

sayu bila mengamati pensejarahan hidup apatah lagi mendalami erti pengorbanan ibubapa...terkenang arwah abah yg banyak berkorban membesarkan kami 12 beradik. seingat saya, tidak pernah arwah abah pergi berkelah barang sekali utk hiburkan hati sendiri. mungkin mereka melihat membesarkan dan mendidik anak tidak pernah melelahkan mereka...itulah kehebatan lampau...
zaman telah berubah. dugaan juga makin mencabar. semoga penulisan tuan menjadi bekal motivasi kpd kami yg masih bertatih dlm proses mendidik anak2...ramai mampu membesarkan anak2 tetapi masih belum pasti mampu mendidik mereka-MNo

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)