PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Jumaat, 25 Mac 2011

Syabas terus usaha jamin bekalan air bersih

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana empat bahagian ini mengupas beberapa isu air khususnya di Malaysia sempena Hari Air Sedunia 2011 yang disambut pada 22 Mac 2011. Tema sambutan tahun ini "Air Untuk Bandar: Respons terhadap Cabaran Bandar".

Ini bahagian akhir daripada empat bahagian.

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Setiap kali berlaku gangguan bekalan air, lazimnya pengguna akan cepat melenting maka keluarlah pelbagai perkataan berbaur kemarahan terhadap pihak yang bertanggung jawab mengendalikan khidmat tersebut.
Emosi yang sama turut mengiringi keluhan apabila membuka paip dan yang keluar air berwarna keruh atau semacam teh tarik.

Bagaimanapun tidak ramai yang mungkin melihat masalah kualiti air itu berpunca daripada faktor lain termasuk premis kediaman mereka sendiri.

"Salah kalau menyatakan Syabas membekalkan air yang kotor atau tak bersih sebab kita sudah merawat air itu menurut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Cuma bila air sampai ke rumah pengguna ada perkara yang menyebabkan kualiti air berubah, paip bocor umpamanya. Kalau berlaku paip pecah, tanah akan meresap masuk ke dalam saluran paip dan air akan berwarna cokelat atau berbau tanah.

"Seperti pencemaran sungai yang disebabkan oleh manusia, begitu juga bila air terawat yang disalurkan melalui saluran yang kotor, mudah pecah dan berkarat. Jadi bila air sampai ke rumah kualitinya sudah terjejas," demikian kata Abdul Halem Mat Som, Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) apabila diajukan persoalan kualiti bekalan air yang sering menjadi rungutan pengguna.

Untuk rekod, Syabas mengambil alih fungsi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 1 Jan 2005.

ADA KEKANGAN

Daripada semua saluran paip yang ada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sepanjang 6,423 km telah dikenalpasti dalam keadaan yang teruk dan perlu diganti kerana faktor usia.

Menurut Abdul Halem, kebanyakan saluran paip yang dipasang sebelum ini diperbuat daripada simen asbestos (AC) yang mudah pecah dan berkarat serta berusia lebih 40 tahun.

"Bukan sahaja bekalan dan kualiti air terjejas tetapi ia juga menyumbang kepada Kadar Kehilangan Hasil Air (NRW)yang tinggi," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di pejabatnya di Jalan Pantai Baharu di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, rancangan Syabas untuk mengganti paip-paip tersebut terpaksa ditangguhkan kerana arahan menangguhkan pelaksanaan Program CAPEX (Perbelanjaan Modal) oleh pihak Kerajaan kecuali kerja berbentuk kecemasan dan kritikal.

"Apabila Program CAPEX ini dibekukan pada 2008, banyak aktiviti tidak dapat dilaksanakan termasuk penggantian paip yang berkarat dan bocor. Kita hanya boleh baiki jika paip pecah dan bila baiki pun pecah lagi," katanya sambil menambah pihaknya terpaksa turun padang untuk menjelaskan keadaan kepada penduduk yang sebelum ini pernah diberi taklimat paip di kawasan mereka akan diganti baru.

INISIATIF SYABAS

Menurut Abdul Halem, Syabas mula mengambil langkah untuk mengganti paip lama pada 2005 sebagai usaha untuk mengurangkan kadar NRW.

"Dari 2005 hingga 2008 Syabas berjaya mengurangkan kadar NRW daripada 42.78 peratus kepada 32 peratus," tambah.

Pencapaian tersebut hasil usaha bersepadu termasuk aktiviti mengganti paip, membanteras kes curi air serta aktiviti 'pemutihan' yang melibatkan kerja memasang meter air untuk mereka yang sebelum ini mengambil air secara tidak sah.

"Hasrat kita memang mahu menurunkan lagi kadar NRW ini tetapi dengan pembekuan Program CAPEX kita hanya boleh melaksanakan usaha supaya kadar yang telah dicapai dapat dikekalkan.

"Antaranya dengan mengambil tindakan segera membaiki jika ada paip pecah kerana kita tidak boleh memasang paip baru sehingga kekangan ke atas CAPEX ditarik balik," kata Abdul Halem.

Di bawah Syabas terdapat 24,000 km paip lama yang perlu dicuci di samping 1,226 kolam takungan air.

TUMPUAN UTAMA

Di sebalik kekangan yang ada, menjadi matlamat utama Syabas untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada 7.5 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui kempen "Mesra Pengguna".

Menurut Abdul Halem, setelah enam tahun beroperasi sehingga akhir 2010, Syabas mencapai prestasi yang memberangsangkan dari segi perkhidmatan bekalan air serta mempertingkatkan infrastruktur agihan bekalan air.

Antara inisiatif yang dibuat ialah menubuhkan Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) iaitu pusat penyelesaian setempat dalam menerima, mengurus dan menyelesaikan segala keperluan mahupun bekalan air pengguna.

Pengguna boleh menggunakan kemudahan komunikasi sama ada talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS 39222, faksimili 03-22955168, emel puspel@syabas.com.my atau menghantar aduann atau pertanyaan ke Peti Surat 11871, Kuala Lumpur.

Sehingga November 2010, Puspel yang beroperasi 24 jam menerima dan mengambil tindakan ke atas 446,890 panggilan.

Menurut Abdul Halem, daripada jumlah panggilan tersebut, hanya 0.7 peratus berkaitan aduan kualiti air.

"Jumlah yang kecil ini bermakna isu kualiti air sudah ditangani dengan baik kerana Syabas melaksanakan usaha memastikan air bersih yang dibekalkan menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia dan Piagam Pelanggan," katanya.

Beliau berkata, antara 2005 hingga 2008, Syabas melabur sebanyak RM$1.756 bilion untuk meningkatkan infrastruktur dan membaikpulih serta menaiktaraf rumah pam, tangki air, memasang paip tambahan/baru untuk meningkatkan kapasiti sistem rangkaian paip dan mengurangkan NRW.

PERMINTAAN BERTAMBAH

Pembangunan pesat menyebabkan permintaan terhadap bekalan air bersih semakin bertambah, justeru menurut Abdul Halem pengeluaran air dari loji rawatan air turut terpaksa dipertingkatkan.

Dari segi jumlah pengeluaran harian loji rawatan air, ia mengalami peningkatan sebanyak 3.59 peratus pada 2009 dengan purata pengeluaran sebanyak 3,922.13 Juta Liter Sehari (JLH) manakala pada Januari 2010 purata pengeluaran air ialah 4,062.94 JLH.

Tambah beliau, kadar keperluan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sedia ada telah menghampiri keupayaan maksimum pengeluaran daripada semua loji rawatan air terutama sekali semasa berlaku pemintaan puncak.

"Dalam beberapa tahun lepas sejak mengambil alih fungsi bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Syabas mula mengenal pasti langkah bagi meningkatkan penggunaan kesemua kapasiti bekalan air yang sedia ada kepada tahap maksimum.

"Langkah tersebut membolehkan beberapa pelan penyaluran air alternatif dilaksanakan. Umpamanya penutupan Loji Rawatan Air Salak Tinggi akibat pencemaran sumber air mentah tidak menjejaskan bekalan air yang disalurkan kepada pengguna yang menerima air dari loji tersebut disebabkan bekalan air alternatif yang diambil dari Loji Rawatan Air Sungai Semenyih," jelasnya.

Abdul Halem turut menyentuh kekerapan berlakunya pencemaran Sungai Langat yang menyebabkan penutupan loji Batu 11 Cheras serta permintaan tinggi dari loji rawatan air Sungai Langat berikutan kepesatan pembangunan persekitaran yang menyebabkan bekalan air di kawasan Cheras berkurangan.

Keadaan tersebut, katanya memaksa Loji Sungai Langat yang diuruskan oleh Puncak Niaga beroperasi melangkaui kapasiti pengeluarannya.

"Pihak Syabas sedang menyiapkan projek saluran paip sepanjang 19 kilometer untuk memindahkan air bersih dari Loji Rawatan Air Sungai Semenyih ke Sistem Agihan Loji Rawatan Air Sungai Langat.

"Ini adalah untuk menampung keperluan bekalan air di kawasan bekalan Loji Rawatan Air Sungai Langat bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih di kawasan tersebut," tambahnya.

RIZAB BEKALAN AIR

Di sebalik usaha Syabas untuk mengatasi masalah pembekalan air akibat permintaan yang semakin meningkat, rizab bekalan air adalah terhad.

Menurut Abdul Halem, Syabas perlu menyediakan rizab yang mencukupi bagi menghadapi keadaan seperti keperluan kemuncak, henti operasi loji rawatan air disebabkan pencemaran sumber air, gangguan bekalan elektrik, musim kemarau yang luar biasa atau pun kejadian paip pecah.

Kata beliau, rizab loji air ke atas purata permintaan air sepatutnya berada pada paras sekurang-kurangnya 20 peratus.

Bagaimanapun, jelasnya buat masa ini purata rizab bekalan air yang ada hanyalah 6.5 peratus dan ia akan menurun sehingga tiada rizab langsung pada waktu penggunaan puncak seperti yang disebut.

"Berdasarkan kepada situasi semasa dan ditambah dengan pembangunan yang pesat di Lembah Klang, tidak mustahil keadaan ini akan menjadi bertambah kritikal sekiranya musim panas dan kering berlanjutan.

"Oleh yang demikian sumber alternatif lain perlu dicari bagi menampung keperluan yang meningkat ini," tambahnya.

KRISIS AIR

Berdasarkan kajian Syabas, jumlah kapasiti bekalan air sedia ada ialah 4,326 JLH manakala keperluan air untuk sepanjang 2010 (Januari hingga Disember) secara puratanya adalah 4063 JLH.

Ini bermakna kapasiti rizab sedia ada tinggal 263 JLH atau 6 peratus daripada keperluan harian.

"Untuk tempoh Januari hingga November 2010, pertumbuhan keperluan air yang dicatat ialah 4 peratus dan sekiranya mengikut kadar peningkatan tahun ini, rizab air akan habis digunakan pada awal 2012 dan krisis kekurangan bekalan air dijangka berlaku.

"Justeru pembangunan sumber air baru adalah perlu dan ianya perlu dilaksanakan dari sekarang," kata Abdul Halem.

Menurut beliau, Syabas telah mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor 10 skim tetapi hanya lapan sahaja yang diluluskan untuk menambahkan sumber bekalan air di mana tiga skim diluluskan pelaksanaan segera.

"Namun sehingga akhir 2010 hanya satu skim sahaja berjaya disiapkan sementara dua lagi ditangguhkan," jelasnya.

Bagi memastikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna tidak terganggu, Abdul Halem memberitahu Syabas turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan beberapa skim bagi mengatasi kekurangan bekalan air.

Projek-projek yang dicadangkan itu, katanya berupaya menghasilkan kapasiti tambahan sebanyak 343 JLH.

GUNA AIR HUJAN

Syabas turut mencadangkan penggunaan bekalan daripada sumber air tadahan hujan sebagai alternatif bagi memenuhi permintaan bekalan air.

Penggunaan sistem tadahan air hujan memerlukan antaranya sistem simpanan, sistem paip dalaman berkembar untuk pembahagian penggunaan air minum dan kegunaan lain serta sistem pengepaman daripada tangki simpanan kepada semua saluran perkhidmatan.

Bagaimanapun, menurut Abdul Halem penggunaan sistem tadahan air hujan lebih mudah digunapakai pada premis yang baru dibina dan memerlukan pelaburan yang agak besar.

"Bagi premis yang sedia ada, pengubahsuaian sistem perpaipan sedia ada kepada sistem tadahan air hujan memerlukan kos yang lebih tinggi daripada premis yang baru dibina.

"Insentif yang secukupnya diperlukan oleh pemilik premis untuk membuat pelaburan tambahan bagi menggunakan sistem tadahan air hujan ini kerana pengguna boleh mendapatkan air paip secara terus yang jauh lebih murah iaitu 57 sen bagi setiap 1000 liter," katanya sambil menambah pelaksanaan besar-besaran memerlukan tempoh masa yang lama untuk mencapai sasaran yang diidamkan.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Sebagai entiti korporat, Syabas tidak lupa turut melaksanakan program tanggung jawab sosial (CR) di mana sepanjang 2010, sebanyak 107 program CR dilaksanakan.

Ini termasuk program 'Kempen Bekalan Air Bersih Untuk Semua' dan Program Air Percuma Untuk Golongan Yang Memerlukan.

Di samping itu, program kesedaran dan pendidikan pengguna terutama untuk pelajar sekolah dilaksanakan untuk mendidik dan memupuk kesedaran kepada generasi muda agar menghargai dan mencintai alam sekitar terutama sungai di Selangor.

Satu lagi program kemasyarakatan Syabas ialah Tabung Budi.

Menurut Abdul Halem, Tabung Budi adalah inisiatif para pegawai SYABAS dan PNSB yang menyerahkan hak air percuma mereka untuk diberikan kepada golongan miskin yang bermastautin di Selangor yang amat memerlukan bantuan untuk terus menerima bekalan air bersih setelah bekalan dipotong kerana kegagalan membayar bil air.

Mereka yang menerima manfaat program ini antaranya ibu bapa tunggal yang mempunyai anak yang ramai dan masih bersekolah, warga tua, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga daif.

Dilancarkan pada 22 Okt 2010, jumlah penerima sumbangan melalui dana Tabung Budi sehingga 24 Feb 2011 ialah 43 orang.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)