PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Ahad, 4 Januari 2009

Jika simpan di bank pun tak selamat...

Oleh Mohd Fuad Razali

AKHBAR Berita Harian semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap Biro Pengaduan Awam (BPA), Senator T Murugiah, berkata ada bank tempatan di negara ini yang bersubahat dengan sindiket tertentu bagi membocorkan maklumat peribadi pelanggan mereka sehingga menyebabkan kes kehilangan wang dalam akaun berleluasa. Katanya, perbuatan bank-bank itu yang bersekongkol dengan sindiket tertentu sememangnya wujud berikutan sebanyak 60 hingga 70 kes membabitkan kehilangan wang diterima pihak bank pada setiap bulan daripada orang ramai, sejak 2006.

"BPA percaya ada bank-bank yang bersubahat begitu. Saya yakin ada maklumat dalaman diberitahu kepada sindiket itu yang mungkin membabitkan orang tempatan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya. Pada sidang akhbar itu, Murugiah memberikan contoh kes membabitkan seorang pemegang akaun sebuah bank di Ipoh kehilangan wang kira-kira RM7,200 selepas menyimpannya sejak setahun lalu dan kini cuma berbaki RM56.

Berikutan itu, hari ini, akhbar Berita Minggu melaporkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Razak, meminta Bank Negara menyiasat dakwaan berkenaan dan meminta mereka yang menjadi mangsa tampil membuat aduan bagi memudahkan siasatan dilakukan.

Dalam perkembangan yang sama, akhbar itu melaporkan, Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (Nube) percaya pendedahan maklumat atau pencerobohan maklumat pelanggan bank kemungkinan dilakukan syarikat luar yang dilantik bank. Setiausaha Agung Nube, J Solomon berkata, dakwaan orang dalam atau kakitangan bank terbabit dalam penyelewengan itu tidak tepat kerana jika ada penyalahgunaan atau pencerobohan maklumat membabitkan orang dalam, ia mudah dikesan dan tindakan segera boleh diambil.

Beliau berkata, kebiasaannya bank meminta syarikat luar menguruskan maklumat berkaitan pelanggan, memproses pinjaman, mengurus perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) dan syarikat pengurusan keselamatan yang diamalkan oleh bank tempatan sejak 10 tahun lalu.

"Saya bukan menafikan pembabitan kakitangan atau orang dalam bank tetapi syarikat pembekal maklumat dan sumber luar yang dilantik bank mempunyai kemungkinan besar terbabit menjual maklumat pelanggan," katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Solomon berkata, jika benar ada kakitangan bank terbabit beliau mengesyorkan nama individu dan bank tempatan yang dikenal pasti itu didedahkan dan dikenakan tindakan sewajarnya. Katanya, pendedahan Murugiah perlu disusuli tindakan bagi menghentikan terus kegiatan yang mencemarkan nama pekerja dan bank di negara ini.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, timbul pertanyaan bagaimana kejadian itu boleh berlaku? Adakah ia membabitkan kakitangan dalam bank? Atau adakah ia membabitkan pihak luar yang dilantik bank untuk menguruskan maklumat pelanggan, memproses pinjaman, mengurusan perkhidmatan mesin ATM dan syarikat pengurusan keselamtan seperti didakwa Solomon? Atau adakah sistem maklumat bank tidak cukup kebal dan selamat hingga boleh diceroboh oleh penggodam (hackers)?

Walaupun Najib meminta jangan membuat spekulasi berhubung perkara ini, siapa dapat menghalang orang ramai, terutama pelanggan-pelanggan bank sendiri daripada berbuat demikian. Sebagai pelanggan bank, saya juga bimbang mengenai perkara itu, walaupun duit yang saya simpan di dalam bank tidaklah sebanyak mana. Namun aduan sebanyak 60 hingga 70 kes sebulan bukan satu jumlah yang kecil. Itu yang mengadu. Kita tidak tahu mungkin ada pelanggan yang tidak membuat aduan mengenainya, terutamanya jika ia membabitkan jumlah yang kecil seperti RM1, 50 sen atau 10 sen. Jika 10 sen pun yang hilang, mungkin kita pun tidak perasan, tetapi jika ia membabitkan 100 pelanggan, sudah RM1; jika 1000 pelanggan, RM10; jika 10,000 pelanggan, RM100. Bagaimana jika membabitkan 100,000 pelanggan atau sejuta pelanggan?

Setakat ini Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) belum membuat sebarang kenyataan mengenainya melainkan laporan menyatakan ia akan berbuat demikian minggu depan. Pengarah Eksekutifnya, Chuah Mei Lin, dilaporkan berkata ABM sedang melakukan siasatan berhubung kehilangan wang oleh 'pencuri siber' di Indonesia.

Apa pun, pendedahan ini memang cukup membimbangkan. Jika menyimpan wang dalam bank pun sudah tidak lagi selamat, pada siapakah lagi orang ramai dapat mengharapkan untuk menyimpan wang mereka? Nak simpan bawah bantal dan tilam atau di dalam tempayan seperti nenek moyang kita dulu, sudah tentu lagi tidak selamat.

Bank Negara dan bank-bank tempatan perlu segera menyiasat hal ini dan mendedahkan pihak yang terbabit ke muka pengadilan supaya tidak sewajarnya dapat diambil ke atas mereka, tidak kira sama ada ia membabitkan kakitangan dalaman mahupun syarikat yang dilantik untuk menguruskan hal-hal berkaitan pelanggan bagi pihak bank, ataupun penggodam.

Jika hal ini berterusan, orang ramai sudah pasti bimbang akan keselamatan wang mereka. Jangan pula nanti sampai masyarakat hilang kepercayaan kepada bank tempatan. Mereka yang berharta mungkin akan beralih ke bank-bank luar negara. Bagi yang tidak, mungkin akan balik ke sistem lama - simpan aje bawah bantal dan tilam, atau dalam tempayan - jika simpan di bank pun tidak selamat!

2 ulasan:

LESONGINDEK berkata...

Salam Sdra Fuad- Sekali Bicara,

Bersetuju dengan analisis En. Fuad tu. Menjadi dilema dan menggangu benak fikiran kita" KALAU SIMPAN DIBANK TAK SELAMAT MAKA MAU SIMPAN DI MANA?".

2. Sebelum kita membuat keputusan ,kita perlu tahu Bank mana berlaku kes ini?,. Kes tertinggi di bank mana?. Adakah penyumberan luar@ out sourcing tidak mempunyai ciri keselamata melindungi pendeposit?.Siasat dulu kebenaran nya ?.

3. Pada saya kalau tak yakin simpan di bank tak selamat, kita orang melayu boleh saja SIMPAN DI TABUNG HAJI ATAU ASB DAN PRODUK PNB. TENTU SELAMAT DIJAMIN PULA OLEH KERAJAAN. KEPALA TAK SAKIT, HATI TAK RISAU. DUIT KITA KEPUTUSAN DITANGAN KITA.

Wasallam.

FUAD RAZALI berkata...

Sdr M Sepial,
Ya, mungkin Tabung Haji atau produk PNB mungkin boleh menjadi alternatif tempat menyimpan. Tetapi kita jangan lupa, pendeposit dalam Tabung Haji pun pernah mengalami masalah yang sama iaitu kehilangan wang yang disimpan dalam institusi berkenaan.

Jika kita masih ingat, pada 2001, tiga orang ditangkap, termasuk seorang orang dalam, berikutan kes kecurian wang berjumlah RM7.725 juta daripada dua akaun pendeposit Tabung Haji pada tahun berkenaan. Bagaimanapun, sejak itu kita tidak membaca lagi laporan seumpamanya.

Mungkin langkah Tabung Haji memperbaiki sistem pengurusannya berjaya mencegah kejadian yang sama berulang. Jika benar demikian, mungkin bank-bank tempatan boleh mempelajari sesuatu daripada Tabung Haji. Dan sementara kita menunggu hasil siasatan itu, saranan sdr mungkin boleh dipertimbangkan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)