PETIKAN

PENDIDIKAN hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, kuat jasmani, sempurna akhlaknya, halus dan mulia perasaan dan budinya, cekap dalam melakukan pekerjaan, rajin, tahu bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya, tulisannya, tutur lisannya, perasaan cinta dan sayang kepada dirinya, keluarga dan masyarakat serta mencintai tanahairnya.

- PROF MUHAMMAD ATHIYAH AL-ABRASYI (1897-1981)



PERHATIAN KEPADA PENGUNJUNG

Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.

Isnin, 5 Januari 2009

Kaji semula kaedah pemberian KWAPM

Oleh Mohd Fuad Razali

SEWAKTU membaca akhbar Berita Harian hari ini, perhatian saya tertarik kepada berita mengenai peruntukan sebanyak RM3.39 bilion tahun ini khusus untuk bantuan pelajaran kepada pelajar kurang berkemampuan, pada tahun ini. Peruntukan itu bertujuan membantu meringankan ibu bapa dan pelajar kurang berkemampuan bagi memastikan tidak ada yang tercicir daripada menerima pendidikan berkualiti.

Laporan itu memetik Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, sebagai berkata peruntukan itu diagihkan melalui 17 saluran untuk menjamin semua golongan, termasuk pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah, menerima pendidikan. Antara 17 saluran bantuan itu ialah:

  1. Bantuan Makanan Asrama (RM1 bilion)
  2. Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (RM400 juta)
  3. Rancangan Makanan Tambahan (RM270.4 juta)
  4. Biasiswa Kecil Persekutuan (RM238 juta)
  5. Skim Bantuan Tuisyen (RM180 juta)
  6. Bantuan Geran Perkapita (RM740 juta)
  7. Skim Pinjaman Buku Teks (RM180 juta)
  8. Bantuan Kokurikulum Ke Sekolah (RM79.8 juta)
  9. Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform (RM20.1 juta)
  10. Elaun Murid Bekeperluan Khas (RM72 juta)
  11. Yuran Khas Sekolah (RM42 juta)

Sepanjang pengetahuan saya, daripada 11 bantuan di atas, Bantuan Makanan Asrama dan Rancangan Makanan Tambahan disampaikan kepada pelajar dalam bentuk makanan; Skim Pinjaman Buku Teks pula diberikan terus kepada pelajar dalam bentuk buku teks; Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Beruniform disampaikan kepada pelajar dalam bentuk pakaian seragam.

Skim Bantuan Tuisyen, Bantuan Geran Perkapita, Bantuan Kokurikulum Ke Sekolah dan Yuran Khas Sekolah pula diberi kepada sekolah dan diuruskan oleh sekolah. Skim Bantuan Tuisyen untuk membayar elaun guru yang mengendalikan tuisyen, menyediakan makanan sebelum murid menghadiri kelas tuisyen di sekolah dan belanja pengurusan mengendalikan kelas tuisyen seperti bayaran air dan elektrik.

Bantuan Geran Perkapita diserahkan kepada sekolah untuk kegunaan mata pelajaran dan bukan mata pelajaran, Bantuan Kokurikulum untuk pengurusan kegiatan kokurikulum manakala Yuran Khas yang bernilai RM4.50 di sekolah rendah dan RM9 lebih di sekolah menengah (menggantikan yuran khas yang dimansuhkan oleh kerajaan dan tidak perlu lagi dibayar oleh ibu bapa) pula difahamkan kegunaan perpustakaan, kegiatan pendidikan seni dan sukan.
Hanya Biasiswa Kecil Persekutuan (untuk pelajar sekolah menengah), Elaun Murid Bekeperluan Khas dan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) disampaikan dalam bentuk wang kepada pelajar dan keluarga mereka.

Pada kesempatan ini, saya hanya ingin menyentuh mengenai KWAPM. Penubuhan KWAPM diluluskan oleh Dewan Rakyat mengikut Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957, pada 10 April 2003 , selaras dengan pelaksanaan dasar pendidikan wajib dibawah Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 mulai Januari 2003, yang mewajibkan ibu bapa atau penjaga menghantar anak mereka bersekolah rendah dari tahun satu sehingga tahun enam.

KWAPM ditubuhkan berikutan matlamat kerajaan untuk mencapai matlamat`keciciran sifar' di kalangan murid sekolah rendah yang berpunca daripada kemiskinan dan seterusnya menjana kecemerlangan pendidikan secara menyeluruh. Kumpulan wang amanah itu diletakkan di bawah kelolaan Bahagian Biasiswa Kementerian Pelajaran dengan menggunakan motto `Pelajar Cemerlang NegaraGemilang'. Tabung ini dilancarkan pada tahun yang sama oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengikut laporan akhbar, jenis bantuan yang diberikan kepada setiap murid ialah Bantuan Am Pelajar Miskin (RM100 sebulan), Bantuan Yuran Sekolah/Peperiksaan (RM80setahun), Bantuan Pakaian Sekolah (RM120 setahun), Bantuan Peralatan Sekolah (RM200 setahun) serta Bimbingan dan Latihan (RM50 sebulan) (rujuk laporan Berita Harian, 23 Jun 2003, halaman 7).

Saya difahamkan Bantuan Am Pelajar Miskin diberikan dalam bentuk wang hanya kepada pelajar yang keluarganya benar-benar daif manakala bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah disampaikan kepada pelajar dalam bentuk pakaian dan peralatan sekolah.

Bagaimanapun, daripada maklumat pada peringkat akar umbi, sejak setahun dua yang lalu, saya difahamkan, hanya pada tahun pertama saja, bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah dalam bentuk barang berkenaan disampaikan kepada pelajar. Difahamkan, pada tahun berikutnya hinggalah sekarang, bantuan pakaian dan peralatan sekolah itu kini diberikan dalam bentuk wang kepada keluarga pelajar terbabit. Kononnya, bentuk bantuan itu ditukar ke dalam bentuk wang berikutan komplen daripada kumpulan sasaran sendiri.

Rungutan yang disampaikan guru-guru dan pentadbir sekolah ialah ada di kalangan ibu bapa yang datang mengambil bantuan berkenaan diragui kejujuran mereka. "Bagi ibu bapa yang bekerja makan gaji, tak ada masalah kerana penyata pendapatan boleh digunakan untuk menentukan mereka layak atau tidak. Yang menjadi masalah yang tidak mempunyai penyata pendapatan dan bekerja sendiri. Mereka hanya perlu mengisytiharkan pendapatan mereka dan kemudian mendapatkan pengesahan daripada penghulu atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bahawa mereka miskin. Masalahnya, ada di kalangan mereka ni, ada motosikal, berkereta, ada telefon bimbit lagi," kata seorang guru.

Ini masalah yang sukar diatasi oleh guru dan sekolah. Walaupun setiap kali hendak menerima bantuan berkenaan, taklimat diberikan bahawa bantuan itu hanya untuk mereka yang benar-benar miskin saja, bagaimana hendak memastikan siapa di kalangan mereka yang benar-benar layak. Kata seorang guru besar, ibu bapa yang jujur meminta namanya dipotong daripada senarai penerima bantuan itu selepas merasakan anaknya tidak lagi layak menerima bantuan berkenaan, tetapi jumlahnya tidak ramai. Yang lain, tak peduli hal itu semua, yang penting mereka dapat. Bagi golongan ini hujah al-Quran dan hadis pun tak masuk dalam hati dan kepala mereka!

Di kalangan yang benar-benar layak mendapat bantuan berkenaan pula, ada masalah lain pula. Apabila menerima wang bantuan berkenaan, ada yang telah menyalahgunakannya. Wang itu bukan digunakan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah, sebaliknya digunakan untuk perbelanjaan harian rumah tangga. "Jadi, anak tetap tak datang sekolah juga. Ataupun anak datang dengan pakaian selekeh juga!" rungut seorang guru besar. Padahal wang itu diberikan untuk membolehkan anak mereka belajar. Mudah-mudahan dapat membantu mengeluarkan mereka sekeluarga daripada lingkaran kemiskinan pada masa depan.

Saya rasa Kementerian Pelajaran patut mengkaji semula bentuk bantuan KWAPM ini. Janganlah kita terikut-ikut sangat desakan dan tekanan yang tidak munasabah ini, jika kita benar-benar sayangkan anak bangsa dan masyarakat kita.

1 ulasan:

NOBISHA berkata...

Saudara Fuad Razali,

Nampaknya banyak bantuan yang diberikan oleh kerajaan. Bolehkah kita mengatakan bahawa Malaysia ialah sebuah NEGARA KEBAJIKAN? :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KALENDAR PERSEKOLAHAN 2012

Kumpulan A
(Kedah, Kelantan, Terengganu)

Penggal I:
Hari Persekolahan (03.01.2012-08.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (09.03.2012-17.03.2012)
Hari Persekolahan (18.03.2012-24.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (25.05.2012-09.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (10.06.2012-16.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (17.08.2012-25.08.2012)
Hari Persekolahan (26.08.2012-08.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (09.11.2012-31.12.2012)

------------------------------------------------------------------

Kumpulan B
(Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)

Penggal I:
Hari Persekolahan (04.01.2012-09.03.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (10.03.2012-18.03.2012)
Hari Persekolahan (19.03.2012-25.05.2012)
Cuti Pertengahan Tahun (26.05.2012-10.06.2012)

Penggal II:
Hari Persekolahan (11.06.2012-17.08.2012)
Cuti Pertengahan Penggal (18.08.2012-26.08.2012)
Hari Persekolahan (27.08.2012-09.11.2012)
Cuti Akhir Tahun (10.11.2012-31.12.2012)